Oleh Fazli Othman
KUALA LUMPUR 25 Jun - Menteri Pertahanan, Datuk  Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengelak menamakan dua buah syarikat yang  membida projek untuk membangunkan Lapangan Terbang Tentera Udara DiRaja  Malaysia di Sungai Besi apabila diasak oleh Ahli Parlimen Gombak, Azmin  Ali dalam parlimen semalam.
Ketika penggulungan perbahasan Azmin  meminta Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan kepada Dewan mengapa  pengambilalihan lapangan terbang TUDM Sungai Besi tidak dibuat secara  tender terbuka.
Beliau mempertikaikan jawapan menteri dengan  ambil merujuk kepada kenyataan Perdana Menteri yang berulangkali  mengatakan projek penswastaan khususnya dalam penjualan aset negara dan  penjualan tanah yang strategik akan dibuat secara tender terbuka.
"Mengapa  dalam kes lapangan terbang Sungai Besi perkara ini tidak dilakukan.  Jika ini dilakukan pastinya rakyat akan mengetahui berapa pendapatan  kerajaan dalam urus niaga daripada ketelusan seperti ini.
Ahli  Parlimen Tumpat, Datuk Kamruddin Jaafar kemudiannya bangun mencelah  meminta kepastian daripada menteri berhubung kedudukan sebenar lapangan  terbang tersebut.
Beliau memetik laporan media pada bulan April  lepas yang memetik Ahmad Zahid  sebagai berkata tiada cadangan bangunkan  tanah lapangan terbang itu sebagai hub komersial.
"Panglima  Tentera Udara Di Raja Malaysia mengatakan pihaknya sedia mengosongkan  kem Sungai Besi dan yang terkini pada 11 Jun, menteri mengumumkan kepada  media bahawa lapangan terbang akan ditutup.
Menteri dalam  penjelasannya kepada soalan yang dibangkitkan dalam ahli parlimen  Pakatan Rakyat berkata cadangan untuk membangunkan tanah lapangan  terbang itu telah di bawa oleh 1Malaysia Development Berhad bersama  Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) di samping cadangan dua lagi  syarikat lain yang dikemukakan kepada kabinet.
Azmin kemudiannya  mencelah meminta menteri menamakan dua lagi syarikat yang membida projek  tersebut tetapi Ahmad Zahid berkata beliau tidak mempunyai maklumat  berhubung dua lagi pembida projek itu dan akan memberikan jawapan secara  bertulis kepada beliau.
Beliau membidas jawapan menteri tersebut  di mana Menteri dan Timbalan Menteri turut menggelak untuk menjawab  atau pun beliau tidak mahu menjawab.
"Ada satu lagi kategori hari  ini apabila menteri menjawab tidak ingat, saya rasa sebagai Menteri  Pertahanan, Naib Presiden Umno yang paling kanan, mustahil beliau tidak  ingat.
"Ini bukanlah perkara baru dan saya telah bangkitkan dalam  perbahasan sebelum ini, saya telah membangkitkan siapakah pembida yang  menyertai pembangunan ini.
"Sudah pastilah Kementerian  menyediakan jawapan untuk menteri menjawab dan saya juga mahu tahu  mengapa pegawai di kementerian tidak menyenaraikan dua lagi nama  syarikat yang membida projek ini," soal Azmin lagi.
Azmi turut  mempersoalkan apakah pengalaman 1Malaysia Development Berhad sebagai  pemaju hartanah yang mempunyai pengalaman membangunkan tanah yang begitu  strategik dan mahal.
Apabila ditanya berhubung penglibatan tiga  individu iaitu bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin,
Datuk  Desmond dan Datin Cindy berhubung projek tersebut, Ahmad Zahid berkata  beliau tidak dapat
memastikan sama ada individu yang disebut Ahli  Parlimen Gombak terlibat atau tidak.
Timbalan Speaker, Datuk Wan  Junaidi Tuanku Jaafar kemudiannya menghentikan perbahasan usul selepas  mendapati menteri yang diasak dengan soalan berhubung isu tanah lapangan  terbang Sungai Besi TUDM oleh ahli parlimen Pakatan Rakyat tidak dapat  memberikan jawapan dengan jelas.



