Ancaman JI adalah benar wujud dan bukan perkara yang diada-adakan bertujuan mengalihkan perhatian rakyat seperti didakwa pembangkang.
Najib Razak berkata, ancaman itu melibatkan keselamatan negara dan kerajaan mengetahui adanya pembabitan pensyarah kanan bergelar profesor di universiti tempatan terlibat dalam kegiatan pengganas itu.
Menurutnya, semua pihak perlu meletakkan kepercayaan kepada pihak berkuasa polis dan anggota perisikan yang mempunyai pengalaman dalam menangani ancaman JI dan militan.
“Kerana keberkesanan anggota keselamatan tidak ada sesuatu insiden yang meragut nyawa ataupun merosakkan harta benda seperti mana yang berlaku di negara-negara lain.
“Kalau kita meragui perkara ini dan berlaku sesuatu nanti, kita akan menyesal dan kerajaan pula dipersalahkan kononnya kita tidak ambil tindakan pencegahan. Bila kita ambil tindakan pencegahan mereka pembangkang kata kita ada-adakan isu,”
Menurutnya, pembangkang sengaja memainkan isu itu untuk kepentingan politik mereka dan sepatutnya mereka lebih bertanggungjawab kerana isu berkenaan merupakan soal keselamatan melibatkan kepentingan awam dan nyawa orang yang tidak berdosa.
Beliau berkata, rakyat perlu faham bahawa ia adalah salah satu dakyah pembangkang dan hanya untuk kepentingan politik mereka semata-mata.
“Ini sengaja dimainkan parti pembangkang. Biasalah kita buat pun dia kata kita tak betul, kita tak buat pun dia kata kita tak betul,” katanya.
Anwar Ibrahim dilaporkan berkata isu mengenai JI hanya helah BN untuk mengalihkan perhatian rakyat terhadap isu besar lain yang timbul ketika ini.