Srikandi Parti Keadilan Rakyat semakin melebar sayap dalam meraih   sokongan pengundi muda khususnya golongan mahasiswa institusi pengajian   tinggi di Malaysia.
Bercakap kepada TV Selangor, Ketua Srikandi   Parti Keadilan Rakyat, Siti Aishah Shaik Ismail berkata kerancakan   kempen Srikandi mendorong mereka menembusi 40 peratus IPT termasuk   Universiti Teknologi Malaysia (UiTM).
Lebih manis lagi, kejayaan   ini datang ketika Pergerakan Puteri Umno dilanda bibit-bibit perpecahan   walaupun ia cuba diselindung Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul   Rashid Shirlin.
Rosnah dipercayai terpaksa membuat kenyataan   media kononnya tiada masalah kepimpinan melanda Puteri Umno berikutan   desas desus mengenai kegagalan pergerakan itu menggamit sokongan   pengundi muda, bukan rahsia lagi.
“Sebenarnya Puteri Umno   sedang mengalami permasalahan yang ketara. Kita lihat di peringkat   negeri pun, pengaruh mereka semakin menurun akibat sikap pemimpin mereka   yang mengamalkan standard tertentu." katanya.
Siti Aishah   menyifatkan kebanyakan pemimpin dan ahli Puteri Umno yang mengejar   populariti dan menonjolkan imej elitis di kalangan rakyat marhaen.
Ini   menyebabkan Puteri Umno tidak popular di kalangan rakyat dan kini,   tidak lagi kedengaran program melibatkan mereka.
“Punca utama   kelemahan mereka ialah kerana mereka dilihat sebagai satu golongan elit   yang hanya mengejar populariti - itu yang menyebabkan mereka gagal   mendampingi pengundi muda.
"Kita melihat Puteri Umno hampir 100   peratus mendiamkan diri dan tidak pun memberikan pandangan atau   idea-idea yang bernas bagi membantu golongan generasi muda,” katanya.
Sebaliknya,   Srikandi PKR bersungguh-sungguh menawan hati rakyat hingga mampu   menambat keyakinan pengundi muda, lebih-lebih lagi golongan terpelajar.
“Kita   berjaya menembusi hampir 40 peratus universiti di Malaysia termasyk   UiTM dan UIA. Bukan bergantung kepada mahasiswa mencari kita di luar   tetapi kita sudah mampu masuk sendiri melalui gerakan yang kita bina.



