ALOR SETAR: Penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin,  dikatakan antara pembida utama nombor pendaftaran kenderaan KCT 1 yang  akan diumumkan siapa pemiliknya oleh Jabatan pengangkutan Jalan (JPJ)  Kedah, di sini, tengah hari ini.
Menurut sumber, Siti Nurhaliza  berminat memiliki nombor berkenaan kerana ia mempunyai gabungan nama  beliau dan suaminya, Datuk Khalid Mohd Jiwa.
Katanya, penyanyi  terkenal itu dikatakan sanggup membayar nilai bidaan yang dikenakan  asalkan beliau dapat memiliki nombor berkenaan.
“Saya diberitahu  bidaan untuk mendapatkan nombor itu sudah dibuat kira-kira dua minggu  lalu, namun mereka yang dipilih memilikinya bakal diumumkan tengah hari  esok (hari ini)," katanya di sini, semalam.
Sumber itu berkata,  selain artis, nombor KCT 1 turut menarik minat ramai ahli perniagaan dan  syarikat korporat malah mereka berusaha mendapatkannya sebelum tempoh  21 hari yang disyaratkan.
“Saya diberitahu banyak permohonan  diterima bagi mendapatkan nombor itu. Bagaimanapun ia bergantung kepada  bidaan yang paling tinggi.
“Buat masa ini saya tidak mempunyai  maklumat mengenai pemilik sebenar nombor pendaftaran itu sehingga  keputusan rasmi dibuat tengah hari esok (hari ini)," katanya.
Difahamkan,  penggemar nombor emas itu sanggup berhabis ratusan ribu ringgit untuk  memilikinya walaupun harga minimum yang ditawarkan hanyalah RM10,000.
-  BERITA HARIAN



