PASIR MAS, 25 Jun (Bernama) -- Parti pembangkang sebenarnya cemburu  dengan kejayaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang berjaya  membangunkan negara terutama memastikan golongan miskin terbela, kata  Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin.
Awang Adek  berkata apa yang dilakukan Najib itu sebenarnya tidak mampu dilaksanakan  pembangkang yang diberi peluang untuk memerintah beberapa buah negeri  selepas pilihan raya umum lalu.
"Pembangkang cemburu dengan  Perdana Menteri dan sebab itu sanggup menaburkan fitnah agar rakyat  mempercayai dakyah-dakyah mereka itu untuk memburukkan kerajaan.
"Tetapi  akhinya percayalah rakyat akan membuat penilaian apa yang dilakukan  pembangkang dan apa yang dilakukan kerajaan yang dipimpin Perdana  Menteri," katanya kepada pemberita selepas majlis Perasmian Klinik  1Malaysia Pasir Mas pada hari Jumaat.
Awang Adek berkata  pelancaran Program Amanah Saham Wawasan 2020-Bandar (ASW-2020-Bandar)  yang dilancarkan Najib semalam denngan peruntukan RM100 juta turut  menyerlahkan keperihatinan Perdana Menteri itu dalam membela golongan  miskin yang bukan sahaja di pedalaman tetapi di bandar-bandar.
Katanya  program itu yang membabitkan semua kaum membuktikan keadilan dalam  merasai nikmat pembangunan.
Awang Adek yang juga Timbalan  Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan itu juga yakin masyarakat yang  satu ketika dahulu menolak kerajaan akan menerima semula BN dan ia akan  dibuktikan pada pilihan raya umum akan datang.
Beliau berkata  rakyat Kelantan wajar berterima kasih kepada Najib yang banyak membantu  membela nasib penduduk dengan terbaharunya melawat Kelantan baru-baru  ini dan mengumumkan beberapa insentif membantu rakyat terutama kepada  penduduk berbangsa Siam.
"Kata-kata Kelantan negeri kalah (kepada  Barisan Nasional) dan tidak perlu dibantu sama sekali tidak benar  sebaliknya banyak limpahan pembangunan dibawa untuk rakyat Kelantan,"  katanya.
-- BERNAMA



