Seorang menteri kanan hari ini membangkitkan kebimbangan berhubung sikap  sebilangan besar orang Melayu yang tidak ambil peduli tentang  kepentingan mendaftar sebagai pengundi apabila mencapai usia 21 tahun  atau lebih.
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk  Seri Dr. Rais Yatim menegaskan, padahal mendaftar sebagai pengundi hanya  mengambil masa kurang dari 15 minit.
Beliau yang juga Ahli  Majlis Tertinggi (MT) UMNO turut menarik perhatian bahawa sekitar  500,000 ahli parti itu sendiri belum dipastikan sebagai pengundi  berdaftar pada masa ini.
Sedangkan, kata beliau, realitinya  politik masa depan Malaysia banyak bergantung kepada orang Melayu  lantaran bilangan mereka sudah melebihi 54 peratus.
‘‘Secara  keseluruhannya orang Melayu tidak ambil pusing sangat. Dalam Pas  keadaannya lebih baik kerana anggotanya menunjukkan menambah pengundi di  kawasan masing-masing.
‘‘Bilangan orang Melayu sudah melebihi 54  peratus tetapi malangnya mereka berpecah kepada UMNO, Pas dan PKR.  Dalam aluran ini, Melayu kena wajib berfikir secara lantas kalau terus  mahu mengepalai pimpinan kerajaan di negara ini,” kata beliau kepada  Utusan Malaysia hari ini.
Baru-baru ini, Timbalan Pengerusi  Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata,  kira-kira 28 peratus atau 4.39 juta penduduk negara ini yang berusia  lebih 21 tahun dan layak bergelar pengundi masih belum mendaftar sebagai  pemilih sehingga akhir tahun lalu, dengan 65 peratus daripada mereka  adalah bumiputera.
Ketika ini sejumlah 11 juta pemilih pendaftar  telah disahkan oleh SPR.
Datuk Seri Najib Tun Razak semasa  menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri pada 2007 pernah  mengingatkan bahawa kegagalan kira-kira 4 juta rakyat Malaysia mendaftar  sebagai pengundi secara langsung telah menafikan hak mereka untuk  terlibat dalam proses demokrasi negara.
Perkara itu, tegas Najib,  tidak seharusnya berlaku kerana hak mengundi adalah satu keistimewaan  yang diberikan oleh Perlembagaan negara dan semua rakyat wajar  menggunakan hak tersebut dengan sebaik-baiknya.
Justeru, kata  beliau, sesuatu tindakan perlu dilakukan dengan segera supaya golongan  terbabit tidak ketinggalan untuk turut sama mencorak kerajaan serta  menentukan parti yang bakal memerintah pada pilihan raya umum akan  datang.
~Utusan



