Rabu, 23 Jun 2010

KDN: 10 anggota JI ditahan disyaki rancang letup rumah ibadat

KUALA LUMPUR, 23 Jun - Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusop hari ini berkata penahanan 10 anggota Jemaah Islamiah (JI) awal tahun ini adalah bertindak atas maklumat bahawa kumpulan itu akan meletupkan tempat ibadat bukan Islam di Selangor dan Pulau Pinang.

Beliau berkata kumpulan yang diketuai oleh lelaki Syria bernama Ayman serta lapan lagi warga asing dan seorang rakyat tempatan itu ditahan di Sungai Cincin, Gombak pada 21 Jan tahun ini.

Katanya, daripada yang ditahan itu, didapati lima daripadanya adalah pelajar di Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

“Kesemua mereka adalah pendakwah bebas dan penyokong kuat kepada Ayman iaitu ketua kepada kumpulan ini. Warga tempatan itu didapati telah berkenalan dengan Ayman semasa beliau belajar di Pakistan.

“Apa yang diketahui, peranan Ayman selain menjadi ketua kepada kumpulan tersebut, beliau juga merupakan tenaga pengajar bagi kumpulan Al-Qaeda di mana beliau berperanan untuk melatih (rekrut) pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan anggota Parlimen Pokok Sena daripada PAS Datuk Mahfuz Omar yang mencelah ketika beliau menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Rakyat, di sini, hari ini. Mahfuz dalam soalannya mempersoalkan kandungan taklimat keselamatan yang diberikan polis mengenai wujudnya kumpulan pengganas kepada Naib-Naib Canselor universiti dan wakil Kementerian Pengajian Tinggi baru-baru ini yang didakwanya tidak mempunyai bukti yang kukuh untuk mengaitkan bahawa wujudnya sarang pengganas di IPT.

Beliau juga mendakwa bahawa pada sesi taklimat tersebut gambar Ahli Parlimen Marang dari PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, bekas Menteri Besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim, bekas Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Mufti Perlis Dr Juanda Jaya turut ditayangkan seolah mengaitkan fahaman wahabi dengan JI.

Dalam pada itu, Abu Seman berkata Ayman berada di negara ini bertujuan untuk mendapatkan potensi di kalangan pelajar yang boleh dijadikan sebagai kumpulan militan.

“Mereka kemudiannya akan dihantar ke negara ketiga untuk dilatih bagi berjihad,” katanya.

Beliau berkata penahanan 10 anggota JI itu perlu dilakukan kerana ia boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman negara.

Pada 14 Jun lepas, Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan mendedahkan seramai 10 individu warga asing ditahan kerana disyaki terbabit dengan kegiatan kumpulan ekstremis JI sejak awal tahun ini.

Dalam pendedahan itu, Musa berkata ke semua suspek berusia dalam lingkungan 30-an dihantar pulang ke negara asal mereka untuk tindakan undang-undang.

Sementara itu, menjawab soalan yang dibangkitkan oleh Khalid Abd Samad (PAS-Shah Alam) yang pada sesi perbahasan RMK-10 yang meminta kementerian mendedahkan tindakan yang diambil polis bagi mengawal fahaman tertentu diInstitut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS), Abu Seman berkata KDN dan polis telah merangka tindakan bersepadu dengan agensi berkaitan untuk tangani isu keselamatan yang wujud di IPTA dan IPTS.

Agensi-agensi yang terbabit ialah Kementerian Pengajian Tinggi, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Imigresen, Majlis Keselamatan Negara dan Bahagian Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri.

“Isu-isu yang ditangani meliputi dua aspek iaitu kegiatan yang sedang berlaku dan usaha-usaha pencegahan untuk menangani isu yang berkaitan. Kementerian hanya memantau dan melakukan tindakan terhadap apa jua fahaman yang mengancam keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya.

~Bernama

Nota: Mengapa di Selangor dan Pulau Pinang Sahaja?. Ini negeri dibawah Pakatan Rakyat?. Apakah agenda Umno disebalik isu JI ini?.


Related Posts with Thumbnails