Isnin, 21 Jun 2010

Sabah & Sarawak: Mana api?

Oleh Mohd Roji Kawi

Penduduk Balai Ringin tagih janji bekalan elektrik sejak 20 tahun lalu

KUCHING: "Tolong kami, bantu kami... kami sudah puas mendengar janji. Dua puluh tahun dulu kami sudah dengar janji api (bekalan elektrik) sudah mahu masuk rumah kami, kemudian tahun lalu pun janji sama kami dengar lagi".

Itu luahan penduduk di beberapa kampung di Balai Ringin yang mengharapkan bekalan elektrik segera disalurkan ke rumah mereka.

Penduduk menaruh harapan agar mereka juga menikmati kemudahan moden seperti orang lain, tambahan pula mereka bukannya tinggal di pedalaman, sebaliknya rumah mereka terletak di tepi jalan utama dari Kuching ke Sri Aman.

Bukan satu kampung, tetapi semua kampung masyarakat Iban selepas pekan Balai Ringin hingga ke pekan Lachau dikatakan tidak menerima bekalan elektrik.

Tinjauan di 10 kampung di Balai Ringin iaitu Kampung Ensebang Padang Bilon, Ensebang Kuari, Kampung Sungai Burak, Kampung Ensebang, Kampung Tapang Lebat, Kampung Ensebang Plaie, Kampung Abit, Kampung Telagus, Kampung Jirok dan Kampung Sungai Pinang, mendapati penduduk hanya bergantung kepada jana kuasa untuk mendapatkan bekalan elektrik.

"Adakah kami tidak layak menikmati kemudahan bekalan elektrik, seperti yang dinikmati babi yang diternak tauke besar dekat seberang kampung kami.

"Kami minta tolong dengan semua pihak, berilah kemudahan elektrik dengan kami)," kata Tiup anak Atu, 65, ketika ditemui di rumahnya di Kampung Ensebang. Tiup terkilan kerana beliau belum pernah menikmati bekalan elektrik walaupun rumahnya kian usang dan beliau sendiri semakin uzur.

"Tengoklah kabel elektrik di tepi jalan di depan rumah kami, tetapi mengapa mereka tidak menyambungnya ke kampung kami. Kami bukannya tinggal di dalam hutan)," katanya.

Lala anak Mongko, 55, penduduk Kampung Abit, pula berkata mereka terpaksa membelanjakan RM200 hingga RM300 sebulan semata-mata untuk mendapatkan bahan api bagi menghidupkan jana kuasa.

~Berita Harian
Related Posts with Thumbnails