Khamis, 11 Mac 2010

2 Tahun Pakatan Rakyat Di Negeri Kedah

Menjarah ingatan menyusur dua tahun Pakatan Rakyat mentadbir negeri Kedah tidak menemukan bengit kegelisahan menghadapi makar durjana politik lahiran Barisan Nasional (BN). Biarpun tikaman tidak menusuk ke dada Pakatan Rakyat, namun libasannya tetap juga diwaspadai. Tampak Pakatan Rakyat Kedah menepis BN bak lalat hinggap di badan. Ada kala bagai sang ular kapak, kerana diusik ia pun membenam patukan.

Walhal rakan-rakan Pakatan Rakyat di negeri lain jauh lebih jenuh berperisai menghadapi belantan dan panahan rambang BN. Tidak keruan BN kehilangan singgahsana lalu menyembur racun-racun untuk melumpuhkan Pakatan Rakyat di negeri-negeri itu. Lantas ada juga terkapai lemas kerana tersilau kaca yang dipandang mutiara, namun lebih ramai perwira perkasa sedang melangkah ke Putrajaya.


Dalam gelombang propaganda yang dipancarkan, rakyat kebanyakan dilihat lebih punya jati diri. Menilai dan menghukum sebagai kuasa baru menafikan mainan boneka-boneka politik yang tidak punya maruah diri. Manfaatnya, rakyat menerima untung disebalik pelbagai ragam itu. Bersama mengimbas dua tahun Pakatan Rakyat menerajui Kedah dan segala rupa yang telah melatarinya.


KETIDAKCEKAPAN BN

Sekian lama Kedah diperintah BN dan mempunyai ramai Menteri serta Perdana Menteri, Rizab Simpanan Negeri Kedah hanya berjumlah RM200 juta. Itupun telah menyusut kepada RM190 juta semasa hendak diambil alih Pakatan Rakyat. Bahkan memiliki banyak hutang berpunca dari perbelanjaan yang tidak mengikut peraturan termasuk tidak mengambil kira kedudukan kewangan.

BN bukan sahaja tidak cekap misalnya menswastakan bekalan air hingga menyebabkan rakyat terpaksa membayar lebih penggunaan dan menanggung kos keputusan mereka, sebaliknya penswastaan dibuat pula kepada syarikat kroni. Antaranya penswastaan di Langkawi, tahun lalu kerajaan negeri mengutip hasil RM14 juta tetapi terpaksa membayar peruntukan kepada syarikat tersebut RM39 juta.

Penemuan di Syarikat-syarikat Milik Kerajaan Negeri (GLC) pula menunjukkan sebahagiannya diperalatkan untuk melakukan penipuan terancang menyeleweng urusniaga dan sebagainya. Antaranya ada syarikat yang baru beroperasi dua tahun tetapi menanggung hutang sebanyak RM2 juta sedang simpanan dalam akaun cuma RM1,000. Ketika sama, kos operasi bulanan mencecah RM30,000. Ada juga yang membuat pembelian dua utas jam tangan berharga RM340,000 dan pelbagai lagi.

Sebahagian jenayah pecah amanah ini dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), namun tidak terlihat hasil hingga kini.
DISKRIMINASI
Sikap diskriminasi BN jelas sejak awal Kedah diambilalih Pakatan Rakyat. Selain membatalkan kerjasama di bidang pelancongan dan sukan, arahan turut diberi kepada para pegawai pertanian untuk tidak hadir kursus atau program anjuran Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat.

Sebagaimana Kelantan dinafikan Kerajaan Persekutuan dari menikmati royalti minyak, Kedah pula dinafikan bayaran pampasan dikenali sebagai ‘Payment of Enviromental Services’ sebanyak RM100 juta setahun atas kesediaan Kedah tidak menebang balak demi menjaga kawasan tadahan air.

Perangai BN itu turut menjadi-jadi dalam soal pentadbiran. Menempelak sikap itu, Setiausaha PAS Kedah, Senator Muhamad Yusuf Husin pernah menegaskan bahawa, selepas rakyat membuat keputusan pada pilihan raya yang lalu, sepatutnya negeri-negeri tersebut diberi peluang untuk ditadbir mengikut Perlembagaan dan semangat Persekutuan

Jelas beliau, Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri mempunyai tanggung jawab masing-masing mengikut Perlembagaan. Oleh itu tegasnya, antara tanggung jawab itu ialah segala peruntukan dan kemudahan yang sepatutnya diberikan kepada kerajaan negeri termasuk di bawah teraju Pakatan Rakyat, maka ianya hendaklah diberikan.

Tetapi kesal beliau, perkara yang terjadi ialah Kerajaan Pusat bertindak tidak demokratik dan bertujuan menekan Kerajaan Negeri di bawah Pakatan Rakyat antaranya berhubung perlantikan Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) dan perlantikan pegawai di peringkat pusat di lima negeri sebelum ini termasuk Perak.


KELUH KESAH BN

Melihat kemampuan sebenar Pakatan Rakyat mentadbir Kedah, pimpinan BN sudah keluh kesah. Mereka sudah tidak yakin lagi untuk menawan kembali Kedah dan lebih sakit melihat pelbagai program diadakan selain kejayaan-kejayaan yang mula dikecapi Pakatan Rakyat.

Lebih perit menghadapi lontaran ingatan dari Ustaz Azizan agar mereka tidak memikirkan soal habuan walaupun dari projek-projek di bawah Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) kerana ianya mesti melalui proses tender sekaligus bakal menipiskan kantung mereka.

Bagai cacing kepanasan, Umno-BN mula memujuk hati dengan pelancaran tagline “BN Menang, Kedah Senang” namun tidak mendapat sambutan rakyat bahkan kini kembali suram. Maka tidak hairanlah, dalam keadaan tidak tentu arah ini, ada Ketua Bahagian Umno yang sanggup menjadikan wadah-wadah tertentu termasuk dari kerajaan negeri untuk terus bergayut meraih publisiti murahan.

Malah tidak kurang juga yang semakin galak melacurkan media dengan pelbagai perjuangan palsu dan ketika sama memburukkan pimpinan Pakatan Rakyat. Hanya wang ringgit menyelamatkan mereka untuk berada di pentas masyarakat, itupun terpaksa berbelanja besar menabur duit mengalahkan peruntukan Adun-adun dan Ahli Dewan Rakyat dalam parlimen yang sama.


FITNAH & ADU DOMBA

Setelah semakin pudar diarus politik, BN Kedah mencari pelbagai cara untuk meningkatkan semula pengaruh mereka. Malangnya, kaedah kuno seperti fitnah digunapakai.

Selepas memperkakaskan media seperti TV3 untuk mengisukan Tadika Kemas, pengurusan di KHTP, payung kuning dan jet eksekutif, akhirnya BN turut ke lapangan mengadakan pelbagai demonstrasi.

Antaranya memanjangkan isu derhaka di Perak dengan mengaitkan kononnya seorang Exco Kerajaan Negeri telah mengina Sultan Kedah. Mereka juga mendalangi manipulasi kedudukan rumah tangga seorang Exco Kerajaan Negeri dengan mendakwa beliau sebagai terlibat salah laku moral kerana bersekedudukan dengan seorang wanita hingga melahirkan anak.

Begitu juga isu penternakan babi di Bukit Selambau dan rumah sembelihan babi di Alor Setar dimanipulasikan walaupun ianya merupakan keputusan dan kegagalan mereka di masa lalu.

Tidak cukup dengan itu, isu perkauman juga cuba dibangkitkan sepertimana isu pemindahan kubur Hindu di Batu Pekaka, Kuala Ketil untuk tujuan pembinaan Kampus Tetap Kolej Universiti Insaniah di situ. Namun, ‘hero import’ juga gagal menyucuk api perkauman kepada penduduk yang sedar akan agenda peribadi mereka.


JUAL BELI MANUSIA


Gelojoh BN termasuk usaha jual beli manusia untuk menggugat dan merampas kuasa pentadbiran kerajaan negeri.

Kesan tawaran dan tekanan berterusan termasuk ke atas keluarganya, bekas Adun Bukit Selambau, V Arumugam memilih meletakkan jawatan Exco dan Adun demi maruah diri walaupun ditawarkan sehingga RM5 juta. Beliau ‘bersembunyi’ seketika di Chennai, India sehingga Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Bukit Selambau selesai.

Pun begitu, Adun Lunas, Mohammad Radzhi Salleh yang juga Exco Kerajaan Negeri berjaya dipengaruhi hingga kemudian mengisytiharkan diri sebagai Adun Bebas.

Selain dua kejayaan itu, ia turut berselang seli dengan drama keluar parti dari beberapa Cabang KeADILan dalam negeri Kedah khususnya menjelang beberapa PRK sebelum ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak pernah meluahkan rasa kesalnya terhadap perkara seumpama itu dan menyifatkan perkara itu sebagai permainan politik keterlaluan untuk mengganggu tumpuan pentadbiran kerajaan.

“Sepatutnya selepas pilihan raya, kerajaan ini yang diberi amanah oleh rakyat untuk mentadbir, kita kena tumpulah untuk mentadbir. Tak bolehlah ‘politiking’ sangat, tunggulah empat tahun lagi. “Kami tunggu 50 tahun untuk dapat jadi kerajaan melalui proses pilihan raya. Kenapa kena ambil jalan pintas, jalan cepat,” ujarnya menempelak tindakan tidak demokratik pihak-pihak tersebut.


WIBAWA PAKATAN RAKYAT


Menteri Besar, Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak selalu menegaskan, sebagai kerajaan hubungan dengan Kerajaan Persekutuan dan semua pihak dijalinkan dengan konsep reconciliation (berbaik-baik) dan bukan confrontation (bersengketa).

Melalui prinsip itu, Pakatan Rakyat mewujudkan suasana selesa kepada banyak pihak termasuk tidak memberi sebarang ancaman kepada kakitangannya yang berlainan anutan politik. Sebaliknya kecekapan dan profesionalisme kerja ditekankan selain mematuhi Perintah Am (General Order) selaku penjawat awam. Malah berkali-kali ditegaskan, bukan cara Pakatan Rakyat untuk mempergunakan penjawat awam bagi mencapai tujuan politik.

Jika selama ini Penghulu Mukim sering menjadi mangsa keegoan politik Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), maka di bawah struktur baru yang menggantikan JKKK dengan Majlis Ketua Kampung/Komuniti (MKK), Penghulu dikembalikan peranannya untuk mengetuai kerjasama dengan MKK.

Para pemegang jawatan di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan selaku penggubal dasar pula sering diingatkan agar pantas berubah bersama dengan isu. Selain itu, mereka dituntut agar peka untuk memahami budaya, adat-resam, pantang larang, suka tidak suka masyarakat serta mengamalkan budi bicara.

Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah tidak hanya komited membina persekitaran negeri yang convenient, tenang, aman dan bersih agar rakyat dapat hidup dengan selesa, tetapi juga berusaha membina persepsi baik di kalangan pihak luar termasuk pelabur dan pelancong. Antaranya melalui urus tadbir yang berintegriti, cekap dan memenuhi massa.

Semua usaha itu sepertimana yang dikatakan Ustaz Azizan adalah untuk membina semula imej dan pandangan masyarakat terhadap ahli politik. Selama ini penyelewengan kuasa, rasuah, kezaliman, tiada integriti serta pelbagai pandangan serong dihadapkan kepada ahli politik. Sedangkan katanya, jawatan politik adalah jawatan yang suci dan mulia selain perlu banyak pengorbanan.
Dari sudut pentadbiran juga, Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah menunjukkan wibawanya menanggung segala liabiliti dibuat Kerajaan BN dahulu antaranya berkaitan hutang-hutang.

“Hutang ini bukan Kedah sahaja, semua negeri berhutang. Hutang ini, hutang ‘orang dulu’, saya mai bayar sajalah hutang ni. Kerajaan negeri tidak akan terbantut, hutang tetap hutang. Belanja tetap belanja.

“Macam air masuk telingalah, nak keluarkan air itu kena tambah air lagi, betul tak? Jadi nak selesai hutang, kenalah hutang lagi baru boleh bayar hutang,” ujarnya menjawab pertanyaan berkenaan perkara tersebut sambil berseloroh.

Peningkatan kecekapan terbukti apabila pentadbiran beliau telah menunjukkan prestasi pengurusan yang pantas iaitu mengambil masa 30 hari untuk menyelesaikan permohonan tanah di negeri ini.

Selain itu, penyusunan semula GLC membuktikan kesannya apabila selepas setahun, 11 GLC membayar dividen kepada kerajaan negeri sebanyak RM30 juta yang dikatakan kejayaan pertama kali berlaku di dunia.

Dalam budaya kerja pula, Ustaz Azizan menekankan soal kebertanggungjawaban, dosa pahala serta pembalasan syurga neraka. Malah semua pihak diserunya untuk bekerjasama biarpun pangkat berbeza.

“Pemimpin dengan orang bawahan ini umpama tayar kereta dengan skrunya. Tayar harganya mahal, RM300 atau RM400, tetapi skru dalam RM2 sahaja.

“Tetapi jika skru itu longgar, tidak ikat tayar dengan kuat, tayar boleh tercabut juga walaupun tayar mahal. Bila tercabut tayar, kereta masuk sungai, kita pun masuk sungai sama,” katanya memberikan perumpamaan berhubung perkara itu.


HAK RAKYAT

Di bawah BN, hak rakyat diabaikan melainkan ketika menarik undi. Kes paling banyak berkaitan hak rakyat adalah tanah. Ada rakyat yang telah mengusaha atau mendiami sesuatu tanah kerajaan sekian lama namun tidak pernah diberikan status sementara apatah lagi geran milik. Paling malang, ada rakyat yang telah membayar cukai tanah dan mempunyai geran tetapi terdapat pihak lain juga mempunyai tanah di atas geran sama dipercayai dijalankan secara politik.

Di bawah Pakatan Rakyat, kerajaan negeri komited memberikan hal pemilikan tanah kepada rakyat yang layak mengikut prosedur ditetapkan, malah kadar cukai tanah telah diturunkan semula sehingga 75 peratus. Untuk tanah pendidikan, kerajaan negeri hanya mengenakan bayaran tahunan sebanyak RM10 bagi setiap lot tanah sekolah swasta yang tidak berorientasikan keuntungan.

Bantahan banyak pihak terhadap perusahaan kuari yang mengganggu kehidupan penduduk menjadi dilema yang kerajaan negeri terpaksa teruskan kerana mudarat lebih besar menanti. Misalnya terdapat kuari yang jika ditutup akan menyebabkan kerajaan negeri perlu mebayar pampasan RM25,000 sehari. Oleh itu, jumlah tersebut dilihat lebih penting kepada usaha membantu rakyat.

Exco-exco Kerajaan Negeri juga memotong elaun untuk dimasukkan dalam Tabung Tunku Mahmud bagi mengadakan pelbagai projek untuk kepentingan rakyat khususnya golongan memerlukan. Manakala potongan zakat diadakan melalui potongan gaji.

Paling utama kesan kepada persaingan politik, rakyat menerima pembagai ‘manfaat berganda’ yang hakikatnya merupakan hak rakyat. Jika dahulu BN tidak menghiraukan, atau menafikan dari diberi kepada rakyat, belum pun dua tahun Pakatan Rakyat memerintah Kedah, pelbagai peruntukan disalurkan untuk kemudahan rakyat seperti mengatasi banjir, masalah tanah sawah dan pelbagai lagi.

Dalam perkara kebajikan rakyat, Menteri Besar, Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak pernah menegaskan, “Bila kita ketua, bukan rakyat khadam kita, tetapi kita khadam kepada rakyat.”


BANGUNKAN INSAN


Kampus Tetap Kolej Universiti Insaniah seluas 830 ekar yang dibangunkan di Kuala Ketil bakal menjadi komitmen usaha kerajaan negeri terhadap pembangunan insan di negeri ini.

Selain bidang agama, Insaniah melonjakkan diri ke persada global dengan menawarkan juga bidang teknokrat dari peringkat Diploma hingga Ijazah Doktor Falsafah (PhD).

Kedah berhasrat muncul semula sebagai ‘Negeri Ilmu’ dan membayangkan Insaniah akan memberi manfaat kepada rakyat negeri ini hasil lelehan ilmu sepertimana Universiti Cambrigde yang juga berasal dari sebuah perkampungan lalu hasil lelehan ilmu menjadikan penduduknya iaitu golongan petani sebagai intelektual.

Selain itu, kerajaan negeri menyediakan peruntukan besar khususnya untuk golongan pelajar melalui program-program cuti sekolah.
INFRASTRUKTUR

Ketika ini belum wujud kerancakan pembangunan infrastruktur kecuali pembinaan Kampus Tetap Kolej Universiti Insaniah, Sungai Limau Hydrocarbon Hub (Sulihh), pembangunan di bawah pihak berkuasa kerajaan tempatan, membangunkan semula projek terbengkalai dan beberapa perumahan dan pembangunan Bandar Sejahtera di Pokok Sena.

Pun begitu, infrastruktur keperluan rakyat diadakan mahupun dibaiki. Misalnya selama ini papan tanda dan perparitan diabaikan kerajaan dahulu, kini usaha itu giat dijalankan melalui agensi kerajaan.

Selain itu, Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah juga memperkenalkan semula budaya gotong-royong dalam amalan masyarakat. Natijahnya, terdapat projek kecil rakyat yang berjaya menjimatkan sehingga 90 peratus dari bajet asal.

Selain itu, kerajaan negeri terus komited membangunkan projek sedia ada seperti Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP), Pulau Langkawi, bandar-bandar sempadan sebagai pintu gerbang antarabangsa dan kemudahan infrastruktur untuk peningkatan taraf hidup rakyat melalui galakan Perkongsian Awam Swasta.


PENGIKTIRAFAN ISTANA

Walaupun terdapat cubaan untuk melaga-lagakan kerajaan negeri dengan pihak istana, namun semuanya tidak berjaya.

Sebaliknya, Tuanku Sultan Kedah pernah memperakui bahawa kehidupan rakyat berbilang kaum semakin bersatu padu, kewangan kerajaan negeri stabil manakala keyakinan pelabur semakin meningkat.

“Ini merupakan petanda kejayaan Kerajaan Beta mengikis pandangan negatif sesetengah pihak yang tidak yakin kepada kemampuan Kerajaan Kedah Darul Aman,” titah Tuanku melahirkan sukacita.


MENTALITI MILLENIUM

Paling besar ialah perubahan mentaliti rakyat, jika selama ini mereka menganggap hanya BN mampu memerintah, kini mitos itu terpadam sama sekali.

“Kita telah mencipta sejarah! Kita telah memecahkan satu tembok yang lebih besar dari tembok negeri China.

“Iaitu kefahaman yang menyatakan selain daripada BN orang lain tak boleh memerintah dan orang lain tak boleh mengadakan pakatan dan kerjasama untuk memerintah,” ujar Ustaz Azizan pada satu majlis pelbagai kaum dahulu.

Pakatan Rakyat Negeri Kedah sentiasa menyedari bahawa rakyat kini sudah mulai menilai maklumat yang diperolehinya dan menggunakan kuasa memilih dalam menentukan sesebuah kerajaan. Oleh itu terserah kepada rakyat untuk menggunakan ‘kuasa’ mereka dalam mendapatkan hak dan perkhidmatan terbaik daripada kerajaan yang mereka pilih.

Rabu, 10 Mac 2010

Pelaksanaan pilihan raya PBT

Najib berkedip dulu

Barisan Nasional tak boleh mengadakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri-negeri Pakatan Rakyat sahaja. Jika pilihan raya PBT diadakan, maka ia perlu melibatkan seluruh negara. Apakah natijahnya kalau hanya empat negeri Pakatan Rakyat yang mengadakan pilihan raya PBT, sedangkan negeri-negeri Barisan Nasional tak berbuat demikian?

THE CORRIDORS OF POWER

Raja Petra Kamarudin

Sebenarnya, pelaksanaan pilihan raya PBT adalah berbahaya bagi kedua-dua Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat. Anda benar-benar tak tahu hasil pilihan raya itu nanti. Anda membaling dadu dan berharap bahawa nombor yang diperoleh memenuhi kehendak anda. Tapi siapa yang mampu mengawal balingan buah dadu?

Sedarkah anda bahawa sejak 8 Mac 2008, Pakatan Rakyat begitu lembab dari segi pelaksanaan pilihan raya PBT? Sebenarnya, saya tak salahkan mereka, pun. Kita ambil contoh Kelantan. Apa akan jadi jika PBT di Kelantan (yang dikuasai PAS) dikuasai UMNO? Kacaulah jadinya dek kerana PBT tak mengikut arahan kerajaan negeri. UMNO dapat memperalatkan PBT bagi mensabotaj PAS dan menjatuhkan kerajaan negeri.

Inilah yang menjadi kebimbangan Pakatan Rakyat, dan inilah sebabnya mereka sangat berhati-hati dalam dua tahun kebelakangan ni. Perkara ni seterusnya mendapat perhatian daripada pelbagai pihak. Gerakan masyarakat sivil, badan bukan kerajaan, blogger dan sebagainya mengeluh tentang betapa Pakatan Rakyat cakap tak serupa bikin. Ini (pilihan raya PBT) adalah salah satu janji yang dibuat Pakatan Rakyat pada pilihan raya Mac 2008, yang mana ia masih belum ditunaikan sehingga sekarang.

Akhirnya, Pakatan Rakyat tak boleh lagi bertangguh. Suka ataupun tidak, mereka terpaksa mengumumkan pelaksanaan pilihan raya PBT. Tapi ia bukanlah sesuatu yang boleh dilakukan Pakatan Rakyat secara sendirian. Pelaksanaan pilihan raya PBT bukannya macam nak adakan jualan hujung minggu. Ia melibatkan hal undang-undang yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.

Pihak yang mempunyai kuasa bagi melaksanakan pilihan raya PBT adalah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Misalnya, Pakatan Rakyat boleh membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas mendapat kelulusan daripada Sultan (ataupun Gabenor bagi negeri-negeri yang tidak bersultan). Tapi selepas tu, mereka perlu memaklumkan kepada SPR Majlis bahawa DUN telah dibubarkan (ataupun kerusi tertentu kini kosong), dan terserahlah kepada SPR untuk memutuskan masa pilihan raya akan diadakan.

Hakikat yang sama terpakai bagi pilihan raya PBT. SPR adalah pihak yang mempunyai kuasa bagi menguruskan pilihan raya itu. Tapi ia hanya boleh dilakukan jika terdapat peruntukan undang-undang bagi melaksanakannya. Kalau tak, maka undang-undang baru perlu diperkenalkan, yang membolehkan dan memperuntukkan pelaksanaan pilihan raya PBT.

Inilah masalah yang akan dihadapi Pakatan Rakyat. Parlimen dikawal oleh Barisan Nasional dan bukannya Pakatan Rakyat. Barisan Nasional tak mahu pilihan raya PBT diadakan atas sebab yang sama yang menghantui PAS. Jadi, usaha ini (pengenalan undang-undang baru) pasti akan dihalang di Parlimen.

Mari kita ambil Perak pula sebagai contoh. Katakanlah mereka mengadakan pilihan raya PBT di Perak, yakni sebuah negeri Barisan Nasional. Katakan pula Pakatan Rakyat menguasai semua ataupun sebahagian besar PBT. Bolehkah anda bayangkan betapa peningnya Barisan Nasional nanti? Perak akan menuju ke arah yang bertentangan dengan arahan kerajaan negeri. Dalam keadaan itu, Pakatan Rakyatlah yang menguasai Perak, dan bukannya Barisan Nasional.

Selain tu, Barisan Nasional tak boleh mengadakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri-negeri Pakatan Rakyat sahaja. Jika pilihan raya PBT diadakan, maka ia perlu melibatkan seluruh negara. Apakah natijahnya kalau hanya empat negeri Pakatan Rakyat yang mengadakan pilihan raya PBT, sedangkan negeri-negeri Barisan Nasional tak berbuat demikian? Kalau begitu, maka pada pilihan raya akan datang, para pengundi di negeri-negeri itu akan mengundi Pakatan Rakyat supaya mereka juga dapat mengadakan pilihan raya PBT.

Lim Guan Eng telah mengambil langkah yang begitu bijak dan saya memang angkat topi padanya. Dia merenung Najib dan Najib yang berkedip terlebih dahulu. Khalid Ibrahim juga telah membuat pengumuman yang serupa. Ustaz Azizan dan Tok Guru Nik Aziz juga harus mengumumkan bahawa Kedah dan Kelantan akan mengikut jejak langkah kedua-dua negeri itu. Ini pasti memerangkap UMNO.

Jika Najib bersetuju untuk mengadakan pilihan raya PBT, habislah dia. Banyak negeri akan terlepas dari genggaman Barisan Nasional. Sebaliknya, kalau Najib tak bersetuju, maka akibat lain pula menantinya. Pakatan Rakyat akan memperoleh kelebihan kerana mereka tidak hanya dianggap lebih demokratik, tetapi juga lebih progresif.

Seperti yang saya katakan tadi, Lim Guan Eng telah mengambil langkah yang bijak. Barisan Nasional kini dah masuk ke dalam jeratnya. Guan Eng, saudaralah wira kami! Hidup Guan Eng!

Perkasa Semarakkan Api Perkauman

Oleh Rusnizam Mahat

SHAH ALAM 10 Mac - Pertubuhan Peribumi Perkasa (Perkasa) semakin kuat meniupkan dan menyemarakkan api perkauman di negara ini susulan beberapa kenyataan berbahaya dari pemimpinnya yang berupaya mencetuskan ketegangan kaum.

Semalam, Yang dipertua Perkasa negeri Pahang, Dr Zubir Harun memberi amaran bahawa masyarakat Cina akan menggunakan platform pilihan raya akan datang untuk mengambilalih pentadbiran di negara ini. Perkasa menegaskan keputusan yang dicatat pada pilihanraya lalu menunjukkan kedudukan orang melayu semakin lemah manakala kaum Cina pula semakin kuat.

Dr Zubir, yang juga Pengarah Biro Ekonomi Perkasa, seperti yang dilaporkan Malaysian Insider juga mahukan Model Ekonomi Baru yang dikemukakan kerajaan menyerap semangat Dasar Ekonomi Baru. Beliau turut menyatakan kebimbangan sekiranya dasar itu dijadikan agenda kaum Cina.

"Perkasa percaya perpecahan di kalangan melayu telah melemahkan Umno menyebabkan bukan melayu lebih vokal dalam tuntutan mereka. Mereka berkata kaum Cina turut ditindas kerajaan untuk memberi tuntutan mereka dengan mengugut mengundi Pakatan Rakyat,"beliau dilapor berkata.

"Orang Cina rasa pada pilihanraya akan datang adalah peluang untuk mereka mendapat kuasa di negara ini. Itu sebabnya NGO Cina, seperti Ziong Dong dan Dewan perniagaan Cina menggunakan peluang itu membuat tuntutan kepada kerajaan. Jika tuntutan mereka tidak dipenuhi, mereka akan mengundi Pakatan Rakyat yang bersedia memberikan apa sahaja kepada kaum Cina,"tambah beliau.

Pada masa yang sama, Pengerusi PERKASA, Ibrahim Ali dalam satu temubual dengan portal berita Malaysiakini menyatakan kononnya perjuangan Pertubuhan itu dilindungi perlembagaan.

Mengulas hal ini, Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul berkata, kenyataan yang dibuat pemimpin PERKASA tidak mencerminkan pendapat yang matang dan tidak berpijak di bumi sendiri, melainkan hanya menjadi boneka kepada Umno.

"Apa masalahnya dengan melayu yang tiba-tiba kata Cina nak mengambil alih negara ini?,"Soal Johari.

"Kalau Perkasa merasa orang melayu sahaja yang boleh hidup di negara ini, dan kaum-kaum lain tidak penting, bermakna mereka hidup dalam ilusi mereka sendiri. Samada suka atau tidak mereka perlu menerima hakikat negara ini dihuni oleh bukan sahaja Melayu, tetapi kaum-kaum lain termasuk peribumi di Sabah dan Sarawak. Realitinya samada suka atau tidak kita perlu belajar hidup dengan kaum-kaum lain"ujarnya.

Menurutnya, soal kerakyatan yang ditimbulkan Perkasa sudah menjadi satu catatan sejarah yang telah diputuskan pemimpin-pemimpin terdahulu sebelum Malaysia mencapai kemerdekaan lagi.

"Kita tak boleh patah balik. Sejarah telah menunjukkan pemimpin dahulu yang telah memberikan kewarganegaraan kepada mereka.Tetapi Untuk maju ke depan, kita perlu bersama secara kolektif dan mesti bekerjasama dengan kaum lain untuk membangunkan negara ini,"ujarnya.

"Apakah orang melayu yang tidak menggunakan peluang untuk belajar dan malas, maka kita nak menyalahkan orang Cina? Sebab itu orang Melayu mesti belajar dari kesilapan mereka. Dalam sesebuah negara, memang ada polisi untuk pertahankan sesuatu bangsa, tetapi affirmative action ini pada satu segi hanya akan melemahkan bangsa itu sendiri, tegas beliau.

Menurutnya lagi, Setelah 50 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan dan setelah tamatnya Dasar Ekonomi baru pada tahun 2000 BN masih gagal mempertahankan hak-hak dan mengangkat kedudukan orang Melayu.

"Kenapa kerajaan tidak mengambil segala peluang dan kuasa yang ada pada masa itu untuk memenuhi hasrat dan cita-cita DEB? Kegagalan DEB disebabkan pemerintah sendiri, bukan disebabkan kaum Cina atau kaum-kaum lain,"jelas beliau.

Sementara itu, Pakar budaya dan tokoh akademik, Profesor emiritus Datuk Dr Khoo Kay Khim berkata, kenyataan Perkasa bahawa orang Cina akan menggunakan pilihan raya akan datang untuk mengambil alih pentadbiran negara ini, sebagai sesuatu yang mustahil.

"Mustahil, sebab bilangan orang Cina di negara ini hanya 30 peratus, sebilangan besar mereka duduk di kawasan bandar. Kerusi yang ada di kawasan bandar yang dibolot oleh orang Cina tidak akan menyebabkan orang Cina memerintah negara ini,"katanya.

Beliau berkata, kenyataan itu hanya bertujuan untuk membangkitkan perasaan bimbang di kalangan orang Melayu dan menimbulkan kebencian antara kaum di Malaysia.

Katanya, kebimbangan orang melayu sebelum perang dunia kedua dan sebelum mencapai kemerdekaan mungkin berasas di sebabkan jumlah kaum Cina yang hampir menyamai kaum Melayu pada waktu itu. Namun, katanya keadaan itu sudah jauh berbeza pada masa kini.

"Apabila British menguatkuasakan Malayan union, orang Melayu bangkit menentang kerana hak yang sama mahu diberikan kepada orang Cina. Tetapi kini keadaannya berbeza kerana jumlah orang Cina lebih rendah berbanding Melayu,"katanya.

Tambah beliau, perkara itu juga sukar dilaksanakan kerana memerlukan 2/3 majoriti di parlimen Malaysia .

"Apatah lagi Yang Di Pertuan Agung diberi tugas untuk melindungi masyarakat Melayu dan menjaga kepentingan orang Melayu. Tentera, polis dan perkhidmatan kerajaan juga dikuasai Melayu. Jadi perkara itu adalah mustahil,"ujarnya.

Beliau juga tidak menafikan Perkasa hanya menjadi jurucakap kepada Umno dengan cuba menimbulkan kebimbangan kepada orang melayu mengenai politik kaum Cina, dengan menyatakan kononnya orang Cina bertambah kuat untuk melemahkan kedudukan melayu di negara ini.

"Ikut nada mereka itu jelas, jika dianalisis dari apa yang mereka sebutkan. Jika dikata orang Cina semakin kuat, lihat MCA adakah mereka bersatu?,"soalnya.

Selasa, 9 Mac 2010

Sumpah Laknat Saiful tidak sah - Zahid Hamidi

Sumpah laknat yang dilakukan oleh Saiful Bukhari Azlan bahawa dia diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dulu rupanya tidak sah seperti yang diperkatakan oleh ramai tokoh ulamak Islam.

Malah, kami berjaya menjejaki satu video rakaman satu rancangan yang pernah disiarkan oleh Bernama TV tentang isu sumpah tersebut. Kenyataan telah dibuat oleh Naib Presiden UMNO yang juga Menteri Di Jabatan Perdana Menteri ketika itu iaiu Zahid Hamidi dengan jelas mengatakan bahawa sumpah hanya boleh dibuat selepas perbicaraan mahkamah.

Ini bermakna dalam kes liwat Saiful, sumpah yang dilakukan oleh beliau ternyata adalah satu sumpah main-main yang dilakukan dalam keadaan terdesak atas arahan pihak tertentu.

Malah, sumpah yang dibuat sehari sebelum hari pencalonan Pilihanraya Kecil Permatang Pauh dimana Anwar menjadi calon adalah sesuatu yang telah dirancang oleh pihak tertentu bagi memastikan mantan TPM itu tumbang di Permatang Pauh.

Maka atas alasan itu yang telah diputuskan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan, bahawa sumpah perlu dilakukan selepas perbicaraan mahkamah maka ternyatalah Saiful kini berhadapan dengan laluan sukar untuk menyakinkan rakyat hatta puak-puak UMNO sendiri bahawa dia memang mangsa liwat.

Ini bermakna, Saiful sememangnya telah diupah oleh pihak-pihak tertentu untuk menjatuhkan maruah Anwar dan bukan seperti apa yang dikatakan oleh sesetengah penyokong fanatik beliau selama ini.

Terbukti, pemimpin UMNO sendiri tidak menerima sumpah Saiful yang dibuat sebelum perbicaraan mahkamah berjalan. Oleh itu, rakyat wajar melihat dan memberi sokongan padu kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bakal berhadapan dengan permohonan Qazafnya di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan pagi esok. Harapan kita, agar Allah akan memberi petunjuk kepada semua mereka yang berniat jahat untuk menzalimi pemimpin terbabit.






Saya menghadiri perhimpunan Protes tentang bantahan kenaikan harga minyak. Anwar dalam ucapannya menegaskan beliau sedia bersumpah bukannya takut hendak bersumpah. Ucapan ini tidak pernah disiarkan dalam TV3. Kalau cari dalam TV3 suku memang sampai khiamat tak jumpa.

Saya sajikan video clip yang pernah saya siarkan untuk tontonan umum.



* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *

Kalau Takut Dipukul Badai...
Usah Berumah Di Tepi Pantai...

Amizudin Ahmat

http://sharpshooterblogger.blogspot.com/

DEBAT 2010 : Pemuda UMNO Pulau Pinang Tak dak Teloq





Sebagaimana yang telah dijadualkan hari ini(kelmarin) 07 Mac 2010, di tapak Ekspo Seberang Jaya, Seberang Perai tepat jam 8.45 malam majlis ‘DEBAT PERDANA RAKYAT 2010’ yang dianjurkan oleh Sekretariat Muafakat Pemuda Pakatan Rakyat Pulau Pinang telah dimulakan.

Pengerusi majlis telah meminta kesemua yang hadir untuk mendengar perdebatan yang akan dilangsungkan itu masuk memenuhi dewan.

Dimulakan dengan lafaz Bismillah majlis dimulakan dan Pengerusi Majlis secara rasminya menyerahkan majlis kepada Moderator yang di bawa khas dari Selangor iaitu Tuan Haji Mohd Suhaimi Ahmad seorang usahawan yang tidak menyertai dan memihak kepada mana-mana parti politik.



Selaku Moderator Tuan Haji Mohd Suhaimi telah menjemput pendebat-pendebat dari Pakatan Rakyat ,UMNO, GPMS dan juga dari DPMM Pulau Pinang.

Pemuda Pakatan Rakyat Pulau Pinang telah diwakili oleh Ustaz Husni Mat Piah dari PAS, YB Rayar dari DAP dan PKR diwakili oleh Saudara Hazri Abu Bakar naik kepentas.

Yang dicabar mereka iaitu Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang Norman Zahalan, Rizal Faris Mohideen Yang DiPertua DPMM Pulau Pinang dan Jais Abdul Karim Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung masih tidak kelihatan.



Setelah melakukan panggilan kali kedua ketiga-tiga mereka yang dicabar itu masih lagi belum kelihatan, atas dasar perikemanusiaan kerana memikirkan mungkin mereka masih sibuk mengumpul banyak data-data yang membuktikan Melayu dan Islam di Pulau Pinang ditindas dibawah pentadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang, Moderator telah memberikan masa tambahan 15 minit lagi kepada mereka untuk muncul diatas pentas.



Ribuan hadirin yang hadir mulai gelisah, kerana mereka telah datang untuk mendengar sendiri hujah-hujah yang beserta dengan fakta yang mengatakan bahawa Melayu dan Islam di Pulau Pinang ditindas dibawah pentadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang.

Namun begitu setelah 15 minit masa tambahan diberi berlalu… mereka tetap tidak muncul termasuk Jais Abdul Karim Presiden Gabungan Pelajar Melayu yang telah menyatakan kesediaannya untuk hadir.





Inikah sikap sebenar Pejuang dan Pembela nasib Melayu dan Islam Pulau Pinang? Takut untuk berhadapan dengan rakyat yang kononnya dibela oleh mereka. Takut untuk mempertahankan hujah mereka selama ini.

Peribahasa ada mengatakan ‘Berani kerana benar, Takut kerana salah’. Jadi kalau mereka merasakan diri mereka benar mereka pasti muncul diatas pentas yang disediakan.. nyatalah juga kini kenyataan-kenyataan yang mereka keluarkan hanyalah hujah-hujah kosong yang tiada sokongan sebarang data hanya auta semata-mata.

Hujah-hujah kosong yang dikeluarkan dengan niat untuk memburuk-burukkan pentadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang yang telah dipilih oleh rakyat..

Apakah kita perlu Pejuang Bangsa seperti ini? Pejuang Bangsa yang yang hanya berani berbicara dihadapan media yang dikuasai mereka tetapi takut untuk berhadapan dengan bangsa yang kononnya diperjuangkan mereka.

Perlukah kita ada Pejuang Bangsa seperti ini?

Kalau bangsa yang diperjuangkan mereka sendiri mereka takut untuk menghadapinya.. perlukah mereka mengaku bahawa mereka itu pejuang bangsa ?

Nyatalah kini sikap mereka itu umpama ayam jantan yang kokoknya berderai-derai tapi ekornya bergelumang najis…

Memang mereka itu Ayam Jantan.. kerana walaupun Jantan Telurnya tiada…..

darisungaiderhaka
Related Posts with Thumbnails