Isnin, 21 Jun 2010

Minda Pewaris Umno Semakin Kotor Dalam Ruangan Cyber

Umno Reform


Setelah PRU 12 ramai kepimpinan UMNO sedar bahawa masalah kehadiran media alternatif Internet adalah antara punca UMNO mengalami kemelesetan dalam pilihan raya tersebut. Kesedaran ini telah membangkitkan semangat baru untuk memperluaskan usaha bagi menangani media Alternatif dan Internet. Usaha dibuat untuk memperluaskan partisipasi penyokong UMNO dalam media Internet dan diharap menjadi pemangkin dalam serangan dan monopoli pembangkang melalui siber.

Peningkatan usaha untuk memperluaskan partisipasi ini telah memperlihatkan kemunculan penyokong UMNO dalam usaha untuk terus menangani perkembangan laman-laman media siber pihak pembangkang. Satu usaha yang baik dan partisipasi ini semakin berkembang. Namun adakah kehadiran yang semakin banyak penyokong-penyokong UMNO memberi kesan yang baik dalam usaha UMNO untuk menangani media siber dan media alternatif pembangkang. Adakah kita pernah membuat penilaian yang benar-benar terperinci setakat mana usaha kita ini mendatangkan kejayaan? Adakah dengan kemunculan penyokong kita dalam alam media siber benar-benar memberi kesan positif dalam usaha kita untuk menyedarkan rakyat mengenai isu sebenar dan menerangkan kepada semua usaha UMNO demi memartabatkan agama, bangsa dan negara.

Adakah kita pernah memanggil mereka yang tahu, arif dan mempunyai pengalaman luas dalam media konvensional dan media siber, termasuk mereka dari golongan intelektual untuk menilai dan membahaskan kejayaan partisipasi kita dalam media siber ini? Adakah kita pernah berbincang untuk mencari jalan bagi meningkatkan penerimaan dan memastikan keberkesanan media siber UMNO dan membuat perbandingan dengan penerimaan media siber yang didominasi oleh pembangkang?

Kita harus berhenti sejenak memikirkan apa yang ada hari ini. Kita akur dengan kemunculan ramai penyokong UMNO dalam media siber. Kita sedar partisipasi penyokong UMNO dalam Internet semakin bertambah tetapi – persoalan utamanya adakah partisipasi kita ini mengarahkan kepada kejayaan UMNO atau hanya kuantiti tanpa kualiti. Kita sedar banyak penulis-penulis siber muncul tetapi kita perlu akur – bahawa ada yang berkualiti tetapi banyak yang tidak tahu apa yang mereka sedang lakukan. Penulis berani memperkatakan bahawa majoriti mereka yang mula menceburkan diri dalam penulisan siber – akhirnya gagal memberi impak yang sewajarnya kepada UMNO. Akhirnya sokongan mereka membawa rebah.

UMNO dalam usaha untuk meningkatkan partisipasi penyokong mereka dalam alam siber perlu juga melihat kepada impak yang boleh diperoleh dari kehadiran mereka. Kita perlu adakah perimbangan – penulis dan penyokong yang menulis ikut rasa dan penulisan yang mampu membentuk idealisme dan yang mampu memberi hujah berkesan dalam menangani isu yang dibawa oleh pembangkang. Kita juga perlu ada laman-laman berwibawa – penulis yang mahir bukan sahaja dalam penulisan tetapi dalam mengatur arah jangka panjang – untuk membentuk idealisme serta menyerapkan kematangan dalam berhujah agar kesan penulisan itu dapat menjayakan partisipasi yang lebih menyeluruh dan konklusif. Kita tidak mahu kuantiti melampaui kualiti dan akhirnya kehadiran penyokong UMNO dan ahli UMNO dalam media siber tidak mendatangkan hasil seperti yang di mahukan.

Kita perlu menyeluruh, ada penulis yang hentam kromo, ada yang beremosi, ada yang garang dan ganas tetapi perlu wujud laman-laman yang lebih moderat – yang mampu membuat pembaca berfikir – mematangkan minda mereka agar mereka tidak mudah terpengaruh dengan tuduhan pembangkang. Kita perlu ada media alternatif siber yang dipercayai – jelas dan lebih berwibawa. Kehadiran laman sebegini bukan sahaja membantu mematangkan politik negara ini tetapi dapat juga mematangkan ahli UMNO yang membaca laman ini. Kita tidak mahu – semuanya laman pro kerajaan yang akhirnya dianggap sebagai lidah kerajaan dan dijadikan alat propaganda untuk UMNO, hanya mencari sokongan politik semata-mata demi memenangi pilihan raya sahaja. Kita mahu pembaca disedarkan – kerana kesedaran yang cukup, hujah yang tepat akan membuatkan rakyat lebih percaya, lebih terpanggil untuk menilai semula sokongan mereka pada pembangkang. Penerapan nilai ini akan membuka mata mereka semula untuk melihat kejayaan yang telah dicapai oleh UMNO lantas memilih wadah ini untuk memastikan perjuangan dan kejayaan berterusan untuk orang Melayu.

Namun setakat ini tidak nampak apa yang ada – partisipasi mereka yang semakin ramai dapat memberi mutu khidmat yang berkualiti dan dapat membantu bagi memulihkan persepsi buruk terhadap UMNO. Tidak ada penilaian mengenai kedudukan kita dalam media siber hari ini dan tidak ada penilaian mengenai impak partisipasi mereka. Akhirnya kita terbelenggu dalam satu keadaan yang hanya menyeronokkan tetapi tidak ada kesan mendalam pada pembaca. Mungkin kita perlu menilai semula partisipasi kita – supaya kita tidak dikatakan hanya berseronok dalam media siber tanpa memberi kesan positif terhadap keadaan politik UMNO yang semakin tercabar.

Saya ingin turutkan bagi tujuan penilaian – apa kesan borak-borak sebegini dalam Face Book – adakah ia dapat memberi kesan positif kepada UMNO atau hanya sekadar bergembira – berborak tanpa meninggalkan kesan kerana hujah yang meleset dan tidak berwibawa. Lihat dan nilai.

Image
Komen dalam Face Book penyokong UMNO

Image
Image
Image

Komen terhadap Anwar Ibrahim - mampukah komen ini memberi sumbangan kepada UMNO?
Apa pendapat anda – adakah cara ini pasti akan membawa kejayaan kepada UMNO atau setidak-tidaknya memberi kesan positif, dapat memberi keyakinan kepada yang lain untuk mengundi UMNO atau ia dinilai sebagai omongan berseronok tanpa meninggalkan kesan yang positif pada pembaca. Adakah kita berjaya dalam mengurangkan dominasi pembangkang dalam media siber?

Related Posts with Thumbnails