from Kerabu Bersuara
***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Sesungguhnya manusia diciptakan bersifat keluh kesah lagi kedekut, apabila dia ditimpa kesusahan, dia berkeluh kesah, dan apabila dia dia mendapat kebaikan, dia amat kedekut, kecuali orang-orang yang mendirikan solat." (Maksud Ayat 19-22 Al-Ma'arij)
***
SEBELUM pemecatan Anwar Ibrahim daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan kemudian Timbalan Presiden Umno pada tahun 1998, saya hanya menjadi pemerhati kepada perkembangan PAS dan akhbar terbitannya, Harakah.
Tidak pernah terlintas di hati untuk menyertai PAS apatah lagi berkhidmat di Harakah. Namun pengalaman bersama aktivis PAS bukan baru kerana ketika menuntut bagi ijazah pertama pun, pada awal tahun 1980-an, saya pernah ke majlis ceramah PAS. Ceramah itu berlangsung di bawah rimbunan pokok, selepas isyak, diterangi lampu 60 watt dengan hanya dihadiri segelintir orang.
Ketika bekerja di syarikat akhbar harian berbahasa Melayu yang sentiasa mendakwa 'akhbar nombor satu negara' mulai pertengahan 1980-an, Harakah hanya menjadi bahan rujukan bagi berita-berita PAS. Setiap keluaran Harakah diikat dalam satu fail besar dan diletakkan di perpustakaan. Ia menjadi rujukan wartawan. Apabila ada kes membabitkan PAS dan menjelang muktamar parti itu, fail Harakah dicari-cari.
Akhbar yang menjadi rujukan itu mungkin keluaran awal Harakah yang mula diterbitkan pada tahun 1987.
PAS dan Harakah tenggelam timbul dalam kehidupan saya sebagai seorang wartawan akhbar arus perdana sehinggalah munculnya gelombang berikutan pemecatan Anwar. Peristiwa ini membawa kepada 'hidupnya' ceramah PAS yang selama ini amat malap di negeri-negeri pantai barat Semenanjung.
Pada 1998 selepas meninggalkan akhbar berkenaan, saya mula berjinak-jinak dengan ceramah PAS yang mendapat sambutan. Ribuan orang membanjiri ceramah sama ada ia diadakan di padang terbuka atau laman rumah individu tertentu.
Penceramah seperti Ustaz Fadzil Nor, Mohamad Sabu dan Mahfuz Omar menarik minat ramai dan sentiasa dinanti-nanti kunjungan mereka tetapi bagi penyokong di negeri-negeri pantai barat, gadingan penceramah PAS dan DAP membuka lembaran baru dan mencelikkan mata pelbagai pihak.
Berikutan kemasukan tokoh seperti Dr Hasan Ali ke dalam PAS menambahkan kemeriahan dan minat saya untuk mengikuti ceramah yang kadang-kadang berlangsung hampir setiap malam di kawasan berhampiran.
Sekalipun ramai hadirin seronok mengunyah kacang rebus atau 'pekena' sup 'gear box' ketika ceramah, setidak-tidak ceramah menjadi pemangkin untuk mengubah pendirian dan sikap.
Masa menganggur memberi lebih banyak masa untuk saya muhasabah diri dan apabila melihat bapa dan ibu mentua serta ramai sanak saudara memberi sokongan tidak berbelah bagi pada PAS, saya pun akhirnya mendaftar sebagai ahli.
Alangkah menakjubkan masa itu kerana mentua dan saudara-mara menawarkan saya menaiki kenderaan mereka jika ceramah itu diadakan di tempat yang jauh. Saya fikir tentulahlah mereka akan menyebelahi saya jika berlaku pertelagahan dengan isteri kerana hampir setiap malam saya keluar rumah dan balik jam 1.00 atau 2.00 pagi.
Pada bulan Mei 1999, saya kembali menjadi pelajar di sebuah universiti tempatan bagi melanjutkan pengajian di peringkat sarjana. Di sinilah saya perhatian betapa hebatnya Harakah dalam minda para pelajar. Daripada tesis pelajar sehinggalah teks khutbah Jumaat universiti, isi kandungan Harakah tidak jemu-jemu dibicarakan.
Selepas 'timbang punya timbang', saya juga memutuskan subjek Harakah sebagai kajian tesis saya. Untuk memulakan kerja tentulah saya perlu ke perpustakaan dan antara tugas utama ialah menyemak dan mengkaji tesis-tesis lama. Alangkah terkejut saya kerana banyak sungguh pelajar menjadikan Harakah sebagai bahan kajian.
Berpandukan rujukan berkenaan, tentulah tidak sukar bagi saya meneruskan projek tesis itu, demikian fikir saya. Tetapi sangkaan saya salah kerana dalam kelas-kelas perbincangan dengan pensyarah kemudiannya, ada yang memberikan 'pandangan aneh' apabila saya katakan kajian saya adalah mengenai Harakah.
Lama kemudian barulah saya faham dengan 'pandangan aneh' itu. Ketika itu satu 'arus pelik' melanda universiti-universiti tempatan dengan pelbagai arahan baru yang akhirnya membawa kepada penguatkuasaan Akujanji. Suara-suara lantang yang membicarakan isu keadilan, kemiskinan dan kebebasan bersuara melalui saat suram dan akhirnya terus hilang kerana 'pelajar tidak sedia menggadaikan masa depan' semata-mata kerana mahu menjadi idealis perjuangan.
Namum pada ketika kekangan dan cengkaman semakin menjerut, masih ada yang berani bersuara, misalnya, dalam pembentangan kertas kerja oleh seorang pelajar Komunikasi. Beliau mengemukakan apa yang didakwanya 'Teori Pembohongan Media'. Baginya media tidak boleh dipercayai, kebanyakannya penipu besar. 'Teori Pembohongan Media' itu memang tidak ada dalam buku rujukan, jadi tidak tahulah nasib pelajar itu selepas membentangkan kertas kerja berkenaan.
Pada bulan September 1999 saya memulakan tugas sebagai Pengarang Berita di Harakah walaupun jawatan yang saya pohon sebagai penyunting. Ketika itu saya masih bergelar mahasiswa. Sebagai pengelola bilik berita, saya menyedari Harakah juga dikunjungi pelajar universiti yang mahu melengkapkan tesis dan membuat kajian. Ini menunjukkan Harakah masih mendapat tempat di hati cendekiawan tetapi cengkaman pemerintah ke atasnya semakin menjadi-jadi.
Kemuncak daripada 'kemenangan besar' pembangkang pada pilihan raya November 1999, keluaran Harakah pada awal tahun 2000 dihadkan daripada dua keluaran setiap minggu kepada dwi bulanan. Selepas pelbagai siri tekanan dikenakan ke atas Harakah seperti dakwaan di bawah Akta Mesin Cetak ke atas pengarang dan pencetaknya, Harakah semakin panas tetapi ironinya jumlah edarannya semakin merosot.
Antara faktor yang menyumbang kemerosotan itu ialah kesukaran mendapatkan Harakah di pasaran. Jika pada kemuncak krisis Anwar dulu (1998/99), Harakah mudah diperolehi tetapi selepas pilihan raya umum 1999, selain premis jualan yang semakin berkurangan, pekedai yang sedia menjual Harakah pun melakukannya secara sorok-sorok.
Seorang pekedai runcit yang saya kenali menjual Harakah di bawah kaunter. Jika pembeli dikenali berhajat, barulah dia menjualnya. Seorang lagi pekedai yang berani mempamerkan Harakah bersama-sama akhbar lain, suatu hari mendapati kedainya dipalang (ditutup) oleh pihak berkuasa tempatan.
Terkejut besar pekedai itu, tetapi itulah risiko yang terpaksa dihadapi penjual Harakah.
Walaupun pelbagai kekekangan dikenakan daripada pekedai kepada cendekiawan di universiti, Harakah tetap tabah mengharungi liku-liku perjuangan Islam. Hari ini ketika di ambang memasuki dekad ketiga, Harakah memerlukan komitmen pejuang untuk bersama-sama membantu membangunkan Islam.