SHAH ALAM, 21 Jun (Bernama) -- Setiausaha Perhubungan Umno Selangor  Datuk Mohamed Satim Diman tidak hadir pada mesyuarat pengurusan badan  Perhubungan Umno Selangor malam Isnin.
Sebaik mesyuarat tamat  pada pukul 12.30 malam Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno  Selangor Datuk Seri Noh Omar ketika ditemui pemberita berkata Mohamed  Satim ada menghubungi dan mengatakan beliau tidak dapat hadir pada  mesyuarat malam Isnin kerana ada urusan.
Beliau berkata selain  Mohamed Satim, bendahari Datuk Fateh Iskandar Mohamed Mansor dan Ketua  Pemuda Suhaimi Ghazali juga tidak hadir pada mesyuarat ini kerana mereka  ada urusan di luar negara.
Semalam Noh dilaporkan berkata beliau  akan mendapatkan penjelasan daripada Mohamed Satim berhubung khabar  angin yang mengatakan Mohamed Satim akan melepaskan semua jawatan  politiknya termasuk sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri  Serdang, pada mesyuarat Isnin ini.
Noh berkata mesyuarat malam  ini membincangkan mengenai pengurusan mesyuarat bahagian Umno Selangor.
Sementara  itu Mohamed Satim sehingga kini tidak dapat dihubungi bagi membuat  sebarang ulasan mengenai khabar angin itu, yang dilaporkan oleh sebuah  akhbar sebagai timbul apabila Mohamed Satim tidak hadir semasa mesyuarat  Adun Barisan Nasional (BN) baru-baru ini.
-- BERNAMA



