Rabu, 2 September 2009

Peruntukan RM100 Juta Bantu Golongan Miskin Di Bandar

KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan peruntukan kerajaan sebanyak RM100 juta dalam bentuk saham amanah bagi membantu golongan miskin di bandar.

Perdana Menteri berkata kerajaan kini sedang mengumpul maklumat mereka yang miskin tegar dan relatif di bandar bagi menentukan bilangan yang layak menerima bantuan itu.

"Kita akan beri bantuan kepada mereka secara percuma dan sekiranya dapat dikumpulkan (maklumat), kita akan bagi mereka (golongan miskin) supaya dapat menambah pendapatan mereka terutamanya mereka yang miskin tegar," katanya berucap pada majlis berbuka puasa bersama warga Kuala Lumpur anjuran Yayasan Al-Bukhary di Masjid Al-Bukhary di sini, Jumaat malam.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Jamil Khir Baharom, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, Pengerusi Yayasan Al-Bukhary Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Ahmad Fuad Ismail.

Najib berkata Kementerian Wilayah Persekutuan telah juga menawarkan penjualan rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sekitar Kuala Lumpur kepada warga kota yang miskin dan akan mula dijual pada 10 Okt ini.

Beliau berkata tawaran penjualan rumah itu merupakan sesuatu yang amat ditunggu-tunggu oleh mereka yang berkenaan dan ia sekaligus membuktikan perjuangan berterusan kerajaan bagi membantu golongan miskin di bandar raya ini.

Perdana Menteri berkata masalah kemiskinan tidak harus dikaitkan dengan kawasan luar bandar sahaja kerana masalah itu turut dihadapi di kawasan bandar.

"Sehubungan itu, kerajaan amat prihatin dengan masalah golongan ini dan penilaian terhadap mereka (golongan miskin) pun berbeza.

"Katakanlah dengan pendapatan RM2,000 sebulan untuk luar bandar seperti Baling di Kedah dan Pekan di Pahang, ia amat selesa sekali. Tetapi kalau pendapatan begitu di bandar ia belum lagi selesa," katanya.

Sebelum ini, Raja Nong Chik dilaporkan berkata pendapatan isi rumah yang dikategorikan sebagai miskin ialah RM2,500 sebulan.

Najib menegaskan bahawa usaha untuk memerangi kemiskinan akan terus diperjuangkan kerajaan.

Perdana Menteri turut bersama-sama masyarakat tempatan menunaikan solat Maghrib, Isyak dan tarawih di Masjid Al-Bukhary di Jalan Hang Tuah di sini.

-- BERNAMA
Related Posts with Thumbnails