Datuk Seri Shahidan Kassim berkata bekas mufti Perlis, Dr  Mohd Asri Zainul Abidin, yang diura-urakan akan menyertai parti itu akan  berbuat demikian "bila sampai masanya" semasa mengadakan sidang media  selepas dikatakan 40 orang ulama muda menyerahan borang UMNO malam tadi.
"(Kemasukan  dalam Umno) ini berperingkat-peringkat. Dalam Umno ini ada ahli Umno,  dan ada penyokong Umno... Melihat dari aspek tersebut, saya rasa (Asri)  tak ada masalah. Ini peringkat pertama.
"Beliau (Asri) akan masuk  dalam kumpulan yang kedua," katanya dalam sidang media itu.
Borang  kemasukan kumpulan pertama itu, telah diserahkan oleh ketua kumpulan  tersebut, Fadlan Mohd Othman kepada Presiden Umno Datuk Seri Mohd Najib  Tun Razak sebelum mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di PWTC.
Kumpulan  itu diketuai oleh Fadlan Mohd Othman, pensyarah Fakulti Pengajian Islam  Universiti Kebangsaan Malaysia.
Dalam pada itu Fadlan berkata   idea untuk menyertai Umno dibincangkan secara mendalam sejak beberapa  bulan yang lalu untuk mencari ruang berdakwah menerusi parti politik.
“Kami  berharap langkah memasuki Umno ini akan menyemarakkan lagi usaha  berdakwah menerusi Umno, kami masuk Umno bukan untuk berpolitik walaupun  Umno adalah sebuah parti politik,” kata beliau.
Ketika  ditanya mengapa tidak memilih PAS sebagai parti politik, Fadlan berkata  tiada sebab khusus tetapi dalam parti komponen Pakatan Rakyat itu sudah  ada ramai ulama.
Kata beliau, pihaknya merasakan  penyertaaan dalam Umno akan menyediakan ruang yang lebih besar untuk  tujuan berdakwah.
Rakannya Fathul Bari Mat Jahya berkata Umno  memberi ruang yang dicari-cari untuk tujuan berdakwah selepas mereka  berhadapan dengan pelbagai sekatan.
Beliau yang merupakan  penasihat agama sebuah agensi perubatan di ibu negara tidak menjelaskan  sekatan yang dimaksudkan tetapi difahamkan ia berkaitan dengan syarat  tauliah yang diwajibkan oleh jabatan-jabatan agama.
Rakan mereka,  Asri kini berhadapan dengan tindakan undang-undang Jabatan Agama Islam  Selangor (Jais) kerana menyampaikan kuliah agama tanpa tauliah.
Shahidan  pula menjawab mulai sekarang mereka tidak akan berhadapan dengan  masalah memandangkan Umno mempunyai 3.2 juta ahli, jumlah yang cukup  besar untuk mereka menyampaikan dakwah.
“Yang saya bimbang,  mereka nanti tak cukup masa untuk balik rumah, nanti hanya balik rumah  dua kali sebulan,” kata beliau pada sidang media yang sama selepas  majlis penyerahan borang.
Ketika ditanya sama ada Umno akan  menyediakan golongan ulama sebagai bakal calon pilihan raya umum ke-13,  Shahidan berkata, “saya tidak tahu tentang perkara itu.”
“Tetapi  saya sebagai Ketua Umno Bahagian Arau merasakan kepimpinan masa depan  bahagian, saya merasakan perlu terdiri daripada golongan ilmuan macam  ini,” kata beliau.
Ini kali pertama Umno menerima golongan ulama  dalam jumlah yang ramai pada satu-satu masa.
Mereka yang terdiri  daripada pensyarah, bekerja sendiri dan pekerja swasta menjadi ahli  Cawangan Dataran Merdeka dan akan beralih ke negeri masing-masing  kemudian.
Pada Sabtu lalu Setiausaha Kerja Umno mengumumkan Asri  akan menyertai Umno hari ini.
Asri tidak mengesahkan ataupun  menafikan perkara itu sebaliknya memberitahu perbincangan sedang  diadakan dengan pucuk kepimpinan Umno.
Ketika ditanya sama ada  Asri tidak menyertai mereka untuk memasuki Umno malam kerana isu fahaman  wahabi dan Jemaah Islamiah sejak seminggu dua ini, Fadlan berkata,  beliau tidak pasti.
“Yang itu kena tanya pada Dr Asri sendiri,”  kata beliau sambil menambah, pihaknya tidak memaksa mana-mana ulama  menyertai Umno pada hari ini.
Beliau merupakan rakan Asri.
Ketika  ditanya sama ada mereka menyertai Umno kerana ada kaitan dengan  siasatan amalan wahabi dan JI, Fadlan berkata, “ia tiada kaitan.”
Katanya,  Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah juga sudah  mengatakan bahawa ini masalah peribadi, yang dikaitkan dengan pegawai  kanan Institut Latihan Islam Malaysia.



