Rabu, 1 Jun 2011

Umnobn Anggap Rakyat seperti Burung Kakak Tua

KUALA LUMPUR, 1 Jun: Kerajaan dicabar memberikan satu formula bagi membuktikan dakwaan mereka bahawa kenaikan tarif elektrik tidak akan membebankan 4.4 juta pengguna domestik.

Ahli jawatankuasa PAS Pusat, Anuar Tahir berkata, dakwaan kerajaan itu sangat tidak masuk akal kerana kenaikan tarif elektrik yang berkuat kuasa hari ini saling berkait dengan kenaikan harga barang lain.

Menurutnya, kerajaan sudah beberapa kali menaikkan harga petrol RON97, harga gula dan disusuli kenaikan tarif elektrik tapi pendapatan rakyat tidak bertambah, akta gaji minima masih belum dilaksanakan.

"Kerajaan perlu sedar pendapatan rakyat tidak bertambah. Bukan tarif elektrik sahaja yang naik. Sebelum ini harga minyak naik, harga gula naik ditambah pula kenaikan tarif elektrik.

"Mustahil tidak membebankan rakyat. Saya nak tahu formula apa yang dipakai untuk mengatakan bahawa kenaikan tarif elektrik kali ini tidak menjejaskan isi rumah sedangkan kenaikannya saling berkait dengan harga barang lain," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Kelmarin, kerajaan mengumumkan tarif elektrik baru dengan kenaikan purata sebanyak 7.12 peratus atau 2.23 sen/kilowatt-jam (kWj).

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui dilaporkan berkata, kenaikan itu tidak akan menjejaskan pengguna domestik yang menggunakan elektrik pada kadar 300 kWj sebulan atau kurang.

Anuar bagaimanapun menolak kenyataan itu kerana katanya kebanyakan isi rumah sangat bergantung kepada penggunaan elektrik menyebabbkan sukar untuk mereka mengurangkan perbelanjaan bagi bil elektrik.

"Kita sekarang ini bukan zaman pakai lampu minyak tanah tapi zaman semua benda pakai elektrik. Di dapur terutamanya banyak pakai perkakas elektrik.

"Sudah pasti susah semua orang nak berjimat. Takkanlah sebahagian pakai elektrik sebahagian pakai minyak tanah, pakai dapur arang, dapur arang, langkah itu tak praktikal zaman ini," katanya.

Menyentuh mengenai kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa pengeluar tenaga bebas (IPP) tidak mendapat manfaat daripada kenaikan dalam tarif elektrik ini, beliau menyifatkan ianya sebagai penafian semata-mata untuk menjaga kepentingan syarikat korporat.

"Kerajaan memang selalu menafikan apa yang mereka buat tapi biasanya yang dinafi itu yang mereka buat.

"Mereka lebih menjaga kepentingan golongan kapitalis, syarikat-syarikat besar dariapda menjaga kebajikan rakyat," katanya.

Rakyat seperti Burung Kakak Tua

Sementara itu, beliau berkata kerajaan seolah-olah menutup kesalahan mereka menggunakan media massa dengan memberikan pelbagai tips penjimatan keapda rakyat.

"Saya perhatikan pihak kerajaan melalui media mereka sangat apologetik memberikan bermacam-macam tips untuk mengurangkan penggunanan untuk menjimatkan elaktrik.

"Ini menunjukkan bahawa tak dapat dielakkan lagi bahawa kenaikan tarif elektrik ini pasti akan meninggalkan kesan tersendiri kepada perbelanjaan isi rumah," katanya.

Menurutnya, rakyat melalui media juga disuruh menjadi seperti burung kakak tua dengan sentiasa mengeluarkan kenyataan menyokong tindakan kerajaan walaupun ternyata membebankan mereka.

"Apa yang kerajaan buat semua rakyat kena sokong. Tidak boleh berkata tidak.

"Rakyat disuruh jadi seperti burung kakak tua yang mengikut apa yang tuannya suruh kata. Disuruh kata selamat pagi, kata selamat pagi. Disuruh kata pergi berambus, kata pergi berambus," katanya.

Amat malang katanya apabila Malaysia yang mengaku sebagai nagara demokrasi masih membentuk rakyat menjadi pengikut sahaja.

"Saya dukacita apabila negara demokrasi tapi rakyat dibentuk supaya hidup dalam negara fasis, mesti ikut kata pemerintah. Macam negara komunis rakyat mana boleh lawan cakap pemerintah," katanya.

Isnin, 30 Mei 2011

Subsidi Untuk Orang Susah & Insentif Pada Korporat Besar

Apabila bantuan kerajaan diberi kepada rakyat dan orang miskin, ia dipanggil subsidi. Tetapi apabila subsidi diberi kepada korporat besar, ia digelar insentif.

Pemimpin Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perubahan istilah itu dibangkitkan oleh Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Peter Chin Fah Kui untuk mempertahankan kononnya penjana kuasa bebas (IPP) tidak mendapat subsidi kerajaan.

“Biasalah mereka ini. Untuk orang miskin diberi subsidi, untuk orang kaya dikatakan insentif,” katanya dalam satu dialog tertutup dengan profesional muda pelbagai kaum di sini semalam.

Anwar menjelaskan bahawa sewaktu berada dalam kerajaan, beliau telah dimaklumkan oleh bekas Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad Tan Sri Ani Arope bahawa kumpulan IPP telah memaksa TNB membeli harga elektrik yang terlalu mahal.

Walau pun beliau bersetuju dengan pendirian Ani Rope menolak tawaran IPP yang tidak adil itu, kabinet yang dikuasai Tun Dr Mahathir Mohamad telah membuat keputusan untuk meluluskan desakan korporat-korporat gergasi berkenaan.

Menurut Anwar, syarikat IPP utama itu – YTL Corporation Berhad yang dimiliki oleh Yeoh Teong Lay, Genting Sanyen milik Genting, Tanjung (Ananda Krishnan) dan Malakoff (Syed Mokhtar Bukhari) dan Genting Sanyen – dijamin tidak rugi sama sekali jika berlaku kenaikan harga; yang terpaksa menanggung rugi adalah TNB.

Para pemimpin Pakatan Rakyat telah banyak kali mendesak kerajaan supaya menghentikan pemberian subsidi RM19 bilion setahun kepada IPP sebelum menghapuskan subsidi petrol, diesel dan gula untuk rakyat.
Sebelum ini, Anwar yang juga Ketua Umum PKR menyatakan kadar bayaran elektrik yang dijangka dinaikkan oleh kerajaan BN berkait rapat dengan perjanjian berat sebelah yang dipaksakan ke atas TNB dengan syarikat-syarikat IPP.

Beliau berjanji bahawa apabila kerajaan Pakatan mengambil alih pentadbiran negara, perjanjian tidak adil dengan IPP itu akan dirunding semula bagi memastikan rakyat tidak teraniaya akibat kesalahan kerajaan BN sewaktu membuat perjanjian subsidi untuk korporat itu.

Sebelum ini juga, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek mendakwa subsidi kepada IPP tidak boleh ditarik balik kerana kerajaan telah mengikat janji dengan syarikat-syarikat terbabit sejak bertahun-tahun lalu.

“Oleh kerana kerajaan terikat dengan banyak perjanjian, subsidi kepada IPP tidak boleh dihentikan hanya kerana ikut kata DAP atau kata Anwar,” kata Presiden MCA itu kepada pemberita minggu lalu.

Membalas hujah Chua, Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua DAP telah mencabar kerajaan supaya mendedahkan segala butir perjanjian dengan syarikat-syarikat IPP berkenaan subsidi yang mereka terima.

Katanya pendedahan kepada umum tentang perjanjian kerajaan dengan IPP amat penting kerana rakyat perlu mendapat maklumat penuh berikutan tindakan kerajaan mahu menghapuskan subsidi bahan api dan gula.

“Kita mahu tahu mengapa kerajaan enggan mengstruktur semula kontrak yang berat sebelah itu, sedangkan syarikat-syarikat IPP berkenaan membuat keuntungan lumayan, sementara rakyat menjadi mangsa harga naik,” tambah Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara.
Related Posts with Thumbnails