Maya Karin di pekarangan Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur, hadir untuk mendaftarkan pernikahan mereka berlangsung dua tahun lalu di Itali. – Gambar Choo Choy May
KL. JUN 24 10: Pelakon dan pengacara terkenal Maya Karin, yang sebelum dikaitkan dengan desas-desus masalah rumah tangga, hari ini ini muncul di Mahkamah Tinggi Syariah di sini untuk membuat pengesahan nikah selepas dua tahun berkahwin dengan Steven David Shorthose atau Muhammad Ali Abdullah.
Pihak media difahamkan Maya dan Steven hadir ke mahkamah untuk mendaftar perkahwinan mereka. Malah ada yang berkata proses pendaftaran perlu jika berhadapan dengan kemungkinan cerai kelak.
“Maya dan suaminya hadir ke mahkamah untuk mengesahkan perkahwinannya.
“Selain itu, mereka juga tiada berbincang apa-apa mengenai penceraian. Jadi status mereka masih suami isteri,” kata pegawai mahkamah itu.
Maya Karin awal tahun ini menafikan mereka akan bercerai. Dia yang berbaju kurung dan bertudung kelihatan tenang ketika memasuki kamar Hakim Rendah bersama peguamnya, Norhusniah Husin kira-kira pukul 2 petang dan keluar dua jam kemudian. Steven pula hadir pada pukul 3 petang dengan memakai kot berwarna hitam dan meninggalkan mahkamah kira-kira 45 minit kemudian.
Pasangan tersebut meninggalkan kawasan mahkamah berasingan. Pasangan itu berkahwin pada 14 Ogos 2008 di Villa Corte de Lago, Itali. Maya dan suaminya Steven bagaimanapun enggan memberi sebarang komen mengenai kehadiran mereka ke mahkamah.
“Tidak bercerai. Tanya Maya,” kata Steven sebelum meninggalkan mahkamah.
Maya pada mula enggan bercakap kepada wartawan tetapi selepas diminta dia berbuat demikian. Menurut Maya, adalah lebih baik baginya tidak memberikan sebarang komen mengenai perkara itu.
“Setakat ini saya berpuas hati dengan pertemuan tadi. Tiada keputusan yang dibuat.
“Minta maaf banyak-banyak,” kata Maya sebelum meninggalkan mahkamah dengan menaiki kereta BMW berwarna biru.
Sementara itu, peguamnya, Norhusniah juga enggan memberikan sebarang komen. “Saya mendapat arahan daripada klien supaya tidak berikan komen,” katanya.
Akhir Februari lalu Maya Karin berkata dia masih berusaha gigih untuk menyelamatkan rumah tangganya berusia 20 bulan (ketika itu), yang bergelora sambil mengakui ia berpunca daripada “kesilapan mereka sendiri”. Maya Karin berkata dia dan suaminya amat bersykur sekiranya perkahwinan yang dibina pada Ogos 2008 dapat diselamatkan.
“Jika sebaliknya berlaku, ia pastinya menyedihkan kami.
“Namun begitu, kehidupan tidak terhenti setakat itu.
“Saya sedar, masalah kami ketika ini boleh berakhir dengan perceraian tetapi kita hidup cuma sekali dan kita berhak mencari kebahagian,” kata beliau.
“Sebagai manusia, kita berhak untuk terus mencuba,” kata pelakon berusia 31 tahun ini sambil menambah “pada masa yang sama semua orang tidak dapat mengelak daripada berdepan dengan cabaran.”
Maya Karin enggan berkongsi masalah sebenar menjadi punca kepada situasi sekarang. Pelakon filem “Pisau Cukur” keluaran tahun lalu pernah digosipkan dengan Remy Ishak yang berlakon bersamanya dalam teater “Natrah” akhir tahun lalu. (AK)