Jumaat, 8 Januari 2010

Kerajaan Umnobn Niaga Tak Untung

Eye On Malaysia di Melaka disita

MELAKA: Roda gergasi atau lebih dikenali Eye On Malaysia di muara Sungai Melaka yang menjadi antara tarikan utama pelancongan sejak lebih setahun lalu, disita jam 9.30 pagi tadi, sekali gus terpaksa memberhentikan operasinya.

Tindakan menyita kawasan berkenaan dilakukan susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 26 November lalu, membenarkan permohonan pemilik asal roda gergasi berkenaan dari Belgium, Fitraco NV untuk mengambilnya balik dari Eye On Malaysia Sdn Bhd (Eom), pemilik roda itu di sini.

Arahan bagi memaklumkan mengenai tindakan menyita tempat itu disampaikan oleh seorang peguam yang mewakili Fitraco NV kepada Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Eom, Mahadzir Yunus di tapak roda gergasi terbabit, kira-kira jam 9.30 pagi tadi.Berikutan itu, syarikat terbabit melantik RSM RKT Group untuk mewakili mereka bagi menjaga seluruh kepentingan di kawasan tapak roda berkenaan.

Fitraco NV memfailkan saman pada Eom dan MST Ad Suria Sdn Bhd (MST Ad Suria) pada 15 September tahun lalu, selepas syarikat terbabit gagal melunaskan hutang pinjamannya sebanyak RM17 juta bagi menyewa dan membawa roda berkenaan ke Malaysia pada 2006.

Pinjaman selama dua tahun itu sepatutnya diselesaikan pembayarannya pada Mei tahun lalu.Arahan menyita dan mengambil alih roda berkenaan diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 26 November lalu. MST Ad Suria adalah syarikat yang bertanggungjawab membawa masuk roda Eye On Malaysia pada 2006, sebagai sebahagian daripada tarikan utama sempena sambutan Tahun Melawat Malaysia pada 2007. Difahamkan sebanyak RM30 juta dibelanjakan bagi membawa roda berkenaan. Roda ini kemudian beroperasi di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur dari 1 Januari 2007 hingga 31 Ogos 2008.

Sebaik saja ia tamat beroperasi di situ, kerajaan Melaka bersetuju untuk mengambil alih roda berkenaan menerusi Eom, sebuah syarikat usahasama yang ditubuhkan bersama MST Ad Suria. Kerajaan negeri diwakili Kumpulan Melaka Berhad (KMB).Roda itu kemudian dibawa ke Melaka pada September 2008 dan beroperasi secara rasmi sebulan selepas itu.

Sejak dibuka pada Oktober 2008, Eye On Malaysia dikatakan sudah berjaya mencatatkan perolehan sebanyak RM5 juta. -Berita harian-

UMNO Terdesak Sehingga Sanggup Politikkan Kalimah Allah

Oleh : Datuk Zaid Ibrahim.

Semakin sukar untuk Malaysia menjadi sabuah Negara aman damai selagi UMNO terus memerintah. UMNO bila tersepit mempergunakan isu kaum dan agama di negara ini. UMNO yang ada hari ini tak sama dengan UMNO zaman Tunku Abdul Rahman dahulu yang lebih terbuka dan dihormati banyak pihak. Hari ini cara politik UMNO telah meluaskan jurang perbezaan kaum dan agama. Jika UMNO dibiarkan terus memerintah, ia akan menyebabkan negara dan rakyat sentiasa dilagakan kerana kesempatan ini akan diambil oleh pemimpin mereka untuk mempolitikkan perbezaan kaum dan agama. Kita tahu bukan semua ahli UMNO setuju dengan permainan politik seperti ini. Tapi kita juga tahu ada golongan dalam UMNO mahu orang Melayu mengangkat mereka menjadi wira pembela agama. Golongan ini melalui kuasa kerajaan telah melarang akhbar The Herald, yang hanya dijual di gereja-gereja Katolik saja, daripada menggunakan perkataan “Allah”, dan mereka yakin Mahkamah Rayuan akan “memperbetulkan” keputusan yang ada sekarang.

Kita mesti sentiasa waspada bila ada kumpulan menggelarkan diri mereka pembela agama dan Allah. Seperti kata Allahyarham Gus Dur, bekas presiden Indonesia dan pemimpin besar Nahdatul Ulama; Tuhan yang Maha Besar, Maha Agung dan Maha Berkuasa tidak perlu dibela, yang memerlukan pembelaan adalah manusia yang dianiayai dan ditindas. Jadi bila ada kumpulan NGO yang dibiayai oleh UMNO ini berkumpul dan berteriak “Islam dinodai” atau “Selamatkan agama kita”, rakyat mesti berhati-hati dan perlu waspada tentang apa motif sebenar mereka.

Soal penggunaan perkataan Allah (God) atau Tuhan Allah (the Lord God) oleh orang Kristian Bumiputera di Sabah dan Sarawak mesti difahami dari perspektif sejarah pra-Merdeka dan sebelum mereka menyertai Malaya untuk membentuk Malaysia pada tahun 1963. Semasa membaca doa di gereja, ramai penganut Kristian di sana tidak tahu berbahasa Inggeris; lagi pula mereka dari berbagai kaum seperti Iban, Kadazandusun, Bidayuh, Murut, Melanau, Kelabit, Kedayan dan sebagainya yang mempunyai bahasa dan dialek yang berbeza. Jadi mereka memilih satu bahasa yang difahami semua pihak, iaitu Bahasa Melayu. Kitab Bible berbahasa Melayu yang mereka gunakan datangnya dari Indonesia. Bible mereka menggunakan perkataan Allah. Sejak zaman-berzaman orang Islam di Sabah dan Sarawak tidak menghadapi apa-apa masalah tentang hal ini. Begitu juga orang UMNO di Semenanjung yang tak rasa sensitif. Kalau benar orang UMNO marah, mengapa isu ini tak timbul pada masa dahulu?

Mungkin kerana sebelum ini kuasa UMNO dan Barisan Nasional di Parlimen sangat kuat, maklumlah mereka ada 2/3 kerusi, iaitu boleh buat apa saja yang mereka suka. Sekarang banyak hal dengan tiba-tiba menjadi “sensitif”. Ini kerana kedudukan politik UMNO sudah goyang. Persoalannya ialah, mengapa UMNO membenarkan nama Allah digunakan sejak sekian lama. Mengapa tidak arahkan semua doa dan percakapan dalam gereja supaya jangan guna nama Allah? Bila orang bukan Islam diminta menyayi Ya Allah Selamatkan Sultan Kami adakah mereka melakukan kesalahan? Mengapa hanya The Herald diharamkan daripada menggunakan perkataan Allah? Sudah tentu The Herald tidak akan menggunakan perkataan itu kalau penganut dan pembacanya menggunakan perkataan lain dalam ritual sembahyang dan doa mereka. Jadi Perdana Menteri Najib dan Menteri Dalam Negeri Hishamuddin kena semaklah doa orang Kristian di Sabah dan Sarawak – jika didapati mereka menggunakan perkataan Allah, mungkin tindakan keras harus diambil.

Tapi sebelum mengambil tindakan keras, kena semak juga sejarah. Saya difahamkan bahawa pada abad ke-17 sudah ada perkataan Allah untuk Tuhan dalam kamus Melayu-Latin. Allah juga disebut dalam kitab doa Katolik yang dibawa ke Tanah Melayu pada abad ke-19. Persoalannya, jika tindakan keras diambil, adakah ia akan membantu usaha dakwah Islamiah atau mencacatkan imej Islam semata-mata kerana ada orang tertentu mahu jadi wira agama tanpa kajian yang mendalam.

Para alim ulamak seluruh dunia Islam sudah lama menerima orang dari agama lain menggunakan nama Allah sebagai nama Tuhan. Antaranya yang diguna pakai oleh umat Kristian Koptik di Mesir dan Kristian di Lubnan, Palestin, Iraq dan beberapa negara umat Islam yang lain. Sudah tentu ulamak-ulamak UMNO juga sedar perkara ini kerana mereka sudah jauh berjalan dan banyak pengalaman. Tak kan lah ulamak UMNO yang amat tinggi ilmu agama mereka buat-buat tak faham semata-mata nak “bersihkan” Islam dari segala unsur-unsur kaum, budaya dan agama lain. Tak kan mereka tak sedar Bahasa Melayu kita masih lagi mengekalkan Bahasa Sanskrit dari asal usul Hindu untuk Islam seperti perkataan sembahyang, puasa, syurga, neraka, dosa, pahala dan sebagainya.

Kita telah ada cukup undang undang melarang sesiapa sekali pun yang berusaha untok menarik minat orang Islam kapada agama lain. Ini larangan yang jelas. Kepercayaan kapada ajaran agama kita yang tulin adalah benteng untuk kita memberhentikan mana mana usaha untuk membawa orang Islam keluar dari akidah Islam. Kalau ini belum cukup itu bererti pegangan agama kita lemah. Siapa yang perlu disalahkan?

Sumber: myzaidibrahim.

Umno tersepit antara Allah dan Tugu Negara

Oleh Herman Samsudeen

Kepelbagaian agama di Malaysia adalah satu keunikan, tetapi sebagai umat Islam kita harus tahu membezakan yang mana amalan Islam dan yang mana bukan Islam. Sesungguhnya menyembah Patung Salib, Buddha, Hinddu dan apa jua patung boleh membawa kepada kekufuran jika dilakukan oleh umat Islam.Saya teruja bila Umno secara tiba-tiba tampil cuba menjuarai konflik penggunaan nama Allah. Namun di tengah-tengah kekalutan itu, kita tidak lupa bahawa pemimpin Umno juga selalu melanggar keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan yang mengharamkan tindakan bertafakur di Tugu Negara kerana ia boleh membawa kepada perlakuan mensyirikkan Allah dan bertentangan dengan ayat-ayat Surat Al-Ikhlas yang dijadikan Umno bahan hujjah dalam isu nama Allah ini:

“Katakanlah (wahai Muhammad): “(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa. Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat. Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan. Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya”-Surah Al Ikhlas ayat 1-4.

Sesungguhnya Allah adalah Tuhan Yang Maha Esa dan tiada apa pun jua yang layak disembah, melainkan Allah. Allah sesekali tidak boleh disamakan seperti atau dibandingkan dengan Patung Salib, Buddha, Hinddu dan Tugu Negara. Yang jelas Patung Salib, Buddha, Hinddu dan Tugu Negara bukan tuhan kita.

Maka segala iktikad, niat, percakapan, dan perbuatan kita hendaklah selari dengan apa yang Allah sudah sebutkan dalam Surah Al-Ikhlas.

Ini Amalan Agama Bukan Islam…

Inikah Amalan Islam?


Berikut adalah kertas perbahasan dan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan berhubung isu Tugu Negara

HARI KENANGAN RAKAN SEPERJUANGAN
DI TUGU NEGARA
________________________________________

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa : Kali Ke-19
Tarikh : 6 – 7 Oktober, 1987
Tempat : Dewan Syura, Tingkat 11,
Pusat Islam Malaysia, Kuala Lumpur.

1. Ulasan/Hujah

1.1. Muzakarah telah mengambil maklum terhadap kertas kerja yang dibentangkan dan juga penjelasan Sahibul Fadhilah Kol. Haji Abdul Hamid bin Zainal Abidin seperti berikut:

(a) Penubuhan Angkatan Tentera Malaysia (A.T.M) adalah atas model Angkatan Tentera British (A.T.B), boleh dikatakan sebahagian besar mengenai undang-undang, peraturan-peraturan, adat resam dan tradisi yang dipraktikkan oleh ATM tidak banyak berbeza dengan apa yang dilaksanakan oleh ATB. Oleh itu tidak dinafikan terdapat banyak perkara yang terpengaruh dengan ciri-ciri penjajah yang nyata bertentangan dengan ajaran Islam.

(b) Di antara sekian banyak amalan tradisi yang berbau ciri-ciri penjajah tetapi masih kuat dipertahankan ialah Hari Kenangan Rakan Seperjuangan yang diraikan di Tugu Negara dengan aturcaranya yang tersendiri. Sebenarnya kenangan ini hanya disambut setahun sekali sempena menyambut Hari Ulang Tahun ATM. Upacara ini merupakan salah satu daripada perkara-perkara yang bercanggah dengan ajaran Islam yang masih diamalkan dalam ATM sekarang ini. Untuk menghapuskan segala perkara ini memerlukan kesabaran dan memakan masa yang agak panjang dan usaha ini perlu dibuat supaya ATM akan bersih daripada sebarang kemungkaran. Kerana kemungkaran-kemungkaran itu akan melemahkan kedudukan ATM dan negara ini sendiri.

(c) Upacara sepertimana yang dijelaskan di dalam kertas kerja ini merupakan satu upacara yang mengandungi ciri-ciri yang nyata bercanggah dengan akidah Islam dan masih kuat dipertahankan oleh pihak ATM terutama oleh pegawai-pegawai peringkat atasan dengan alasan ianya adalah satu tradisi yang perlu dipertahankan.

(d) Di akhir-akhir ini telah timbul suasana keresahan di kalangan sebilangan anggota tentera yang telah menyedari bahawa upacara ini adalah tidak Islam, menyebabkan mereka merasai serba salah. Berbagai cara telah dilakukan oleh mereka bagi mengelakkan diri daripada menghadiri upacara tersebut.

1.2. Muzakarah telah mengambil ingatan terhadap pandangan-pandangan yang dikemukakan oleh para ahli seperti berikut :

(a) Upacara Hari Kenangan ini adalah mengandungi unsur-unsur yang bertentangan dengan akidah Islam dan membawa kepada syirik.

(b) Oleh kerana upacara ini nyata bertentangan dengan akidah Islam, maka hendaklah dicadangkan kepada Kementerian Pertahanan supaya upacara ini ditiadakan dan diganti dengan upacara tahlil.

(c) Aturacara yang tidak menyalahi dengan syarak yang terdapat dalam upacara ini seperti pembacaan sajak bolehlah diteruskan. Aturcara ini boleh disusun dengan lebih baik dan diperbesarkan lagi, misalnya dengan menjemput penyair-penyair yang terdapat di negara bagi mendeklamasikan sajak-sajak yang boleh menaikkan semangat perjuangan dan seumpamanya.

(d) Selain daripada upacara ini terdapat banyak lagi upacara yang perlu difatwakan, umpamanya tos semasa minum ucap selamat dan lain-lain lagi. Perkara-perkara tersebut bolehlah dibawa kepada Jawatankuasa ini dari semasa ke semasa.

2. Keputusan

Muzakarah telah mengambil keputusan bersetuju iaitu :

(a) Amalan-amalan seperti tiupan Last Post bertafakur dengan menundukkan kepala selama 20 saat, meletakkan kalungan bunga, bacaan sajak, nyanyian dan tiupan Rouse yang dilakukan di hadapan Tugu dalam upacara menyambut Hari Kenangan Rakan Seperjuangan olah Angkatan Tentera Malaysia adalah bercanggah dengan Islam dan boleh membawa kepada syirik.

(b) Bacaan sajak yang boleh menimbulkan semangat kepahlawanan adalah diharuskan dengan syarat tidak dilakukan di hadapan Tugu atau di tempat-tempat atau dalam suasana yang dilarang oleh syarak.

Khamis, 7 Januari 2010

Polis Paris siasat Najib


Isu pembunuhan Altantuya Shariibuu dan dakwaan rasuah dalam pembelian kapal selam Scopene terus menghantui Perdana Menteri dengan pihak berkuasa Perancis berkemungkinan memanggil beliau untuk memberi keterangan.

Sumber-sumber mengesahkan sebuah laporan polis akan dibuat di Paris tidak lama lagi bagi menyiasat tuduhan RM540 juta dibayar kepada syarikat kroni Datuk Seri Najib Razak ( gambar ) oleh sebuah syarikat Perancis untuk pembelian kapal selam itu.

Ini berikutan keengganan pihak berkuasa Malaysia, termasuk polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak telus menyiasat dakwaan itu walaupun pelbagai bukti di ketengahkan sejak beberapa tahun lalu, ketika Najib masih Menteri Pertahanan.

Menurut sumber berkenaan semua dokumen dan laporan mengenai kematian Altantuya serta dakwaan rasuah berhubung pembelian dua kapal selam oleh kerajaan Malaysia sudah diserahkan kepada dua peguam Perancis.

"Kedua-dua peguam tersebut tiba di Malaysia kira-kira tiga minggu lalu untuk berbincang mengenai laporan polis yang akan dibuat di Paris tidak lama lagi,” kata sumber berkenaan.

"Pihak kami sudah serahkan semua dokumen termasuk keratan akhbar dan laporan media mengenai isu pembunuhan Altantuya dan Scopene,” tambah beliau.

Altantuya adalah bekas kekasih Abdul Razak Baginda yang dikaitkan dengan syarikat Peri Mekar. Syarikat itu dilaporkan menerima RM540 juta daripada pembekal kapal selam berkenaan menerusi perjanjian yang direstui oleh Najib.

Abdul Razak adalah kenalan rapat Najib malah pernah bertindak sebagai penasihat kepada beliau.

Altantuya mati dibom pada tahun 2006 apabila beliau dikatakan tiba di Malaysia untuk menuntut komisyen USD500,000 dari hasil penjualan kapal selam itu.

Razak dibebaskan dari tuduhan bersubahat membunuh Altantuya tetapi dua pegawai polis disabit kesalahan atas tuduhan itu dan dihukum gantung.

Seorang penyiasat persendirian P Balasubramaniam yang di upah oleh Abdul Razak membuat perakuan bersumpah mengesahkan bahawa Razak sendiri memberitahunya Najib mempunyai hubungan dengan Altantuya .

Bala kini berlindung di luar negara tetapi sanggup memberi keterangan kepada SPRM dengan syarat disoal siasat di negara ketiga kerana bimbangkan keselamatannya jika kembali ke Malaysia. Tawaran itu tidak disahut SPRM.

Bala sebelum ini turut mendedahkan adik Perdana Menteri, Nazim Razak mengugut beliau untuk menarik balik akuan bersumpah mengaitkan Najib Razak dengan kes Altantuya.

~FMT~

Rabu, 6 Januari 2010

Khasiat dan kesan daripada kambing

Khasiat dan kesan daripada kambing sama ada memakan dagingnya atau digembala sehingga ia digelar terapi kambing.

Pengurai Kolestrol Tepu

Salah satu bahan yang terdapat dalam darah yang menjadi punca kepada penyakit darah tinggi dan obesiti ialah kolestrol daripada sumber seperti berikut;
  • Kolestrol daripada minyak tumbuhan seperti minyak sawit, minyak bunga matahari, minyak soya, minyak jagung dan sebagainya (kecuali minyak zaitun).
  • Kolestrol daging lembu dan ayam.
  • Kolestrol tepu daripada makanan laut (kecuali ikan) iaitu sotong, udang, ketam, kerang, siput.
  • Kolestrol tepu daripada organ dalaman haiwan seperti hati, limpa, perut, usus, dan organ-organ lain seperti telinga, lidah, mata, dan sebagainya.
  • Ikatan kolestrol yang terjadi daripada protein yang disaluti oleh kolestrol tumbuhan seperti keropok lekor, tauhu goreng, taugeh goreng, telur goreng (bahagian kuning telurnya) dan sebagainya.
  • Ikatan kolestrol yang terjadi daripada protein yang disaluti oleh sodium (garam pengawit) seperti daging berger atau daging di restoran makanan segera.
  • Ikatan kolestrol yang terjadi daripada protein yang disaluti Vitamin C seperti daging yang diperah limau atau mengambil herba chitosan (herba slimming) atau kuah laksa yang diperah limau atau amalan meminum jus oren setelah mengambil makanan tinggi protein.
  • Ikatan kolestrol yang terjadi daripada protein yang disaluti karbon seperti ikan bakar, sate atau daging panggang.

Daging kambing tidak memiliki protein yang tinggi, oleh itu ia terkecuali daripada membentuk sebarang ikatan kolestrol akibat amalan pemakanan seperti yang dinyatakan di atas.

Ikatan kolestrol tepu boleh dicegah sekiranya terdapat Omega 3 di dalam darah, tetapi Omega 3 tidak mampu mengurai kolestrol yang telah terbentuk. Hanya ikatan hidrogen dan karbon (kolestrol lembut) sahaja yang boleh menguraikan ikatan hidrogen dan karbon (kolestrol kasar). Oleh itu, kolestrol yang terbentuk dalam badan tidak boleh diurai dengan sebarang bahan melainkan ia hanya boleh diurai dengan kolestrol kambing sahaja.

Vitamin C dan chitosan yang digunakan untuk menyelaputi protein akan mengakibatkan pembentukan kolestrol yang lebih bahaya sekiranya ia diserap oleh darah. Kandungan kolestrol tepu jenis ini sekiranya terdapat banyak dalam darah akan mengakibatkan masalah jantung.

Sodium (sejenis garam) yang digunakan untuk mengawit daging serta untuk menyedapkan rasa daging akan membentuk kolestrol tepu yang halus. Biasanya kaedah ini digunakan untuk membuat daging berger... Selain itu memakan makanan yang tinggi protein yang dicampurkan dengan perasa makanan seperti Mono Sodium Glitumat (MSG) juga akan membentuk kolestrol tepu yang sangat halus. Ia boleh dipam naik ke bahagian otak dan sekiranya tersekat, ia akan menyebabkan strok.

Pencegah Penyakit Darah Tinggi Dan Obesiti

Kolestrol kambing boleh menguraikan kolestrol dalam darah punca kepada penyakit darah tinggi. Kolestrol kambing yang menguraikan darah yang tercemar dengan kolestrol tepu akan menyebabkan isipadu darah meningkat. Pesakit darah tinggi yang mengambil daging kambing akan mengalami gejala penguraian akibat peningkatan isipadu darah seperti pening.

Walaupun daging kambing bertindak sebagai pengurai protein yang terbaik, tetapi pesakit darah tinggi yang tidak tahan dengan kesan pembongkaran penguraian ini dinasihatkan agar tidak mengambil daging kambing sebagai terapi. Tetapi bagi mereka yang tidak mengalami masalah tekanan darah tinggi dinasihatkan agar mengamalkan pemakanan daging kambing untuk mengelakkan penyakit darah tinggi.

Kolestrol yang gagal dicerna oleh hati akan disimpan dalam bentuk lemak di bawah permukaan kulit. Dalam jumlah yang banyak ia akan menyebabkan masalah obesiti (kegemukan). Pesakit obesiti yang mengambil daging kambing akan mengalami masalah tekanan darah yang tidak stabil dan turut mengalami pening kepala akibat kesan pembongkaran kolestrol tepu oleh kolestrol kambing. Selain itu, daging kambing akan membakar lemak yang berlebihan dalam badan. Kesan pembakaran lemak akan mengakibatkan gejala pembongkaran seperti panas badan, berpeluh dan telinga berdengung.

Mencantikkan Kulit

Dalam daging kambing turut terdapat Vitamin C semulajadi yang tidak teroksida. Vitamin C tidak teroksida amat penting untuk pembinaan dan ketahanan sel kulit. Vitamin C yang tidak teroksida akan menyeimbangkan dan mengurangkan bebanan fungsi hempedu dan mencantikkan kulit.

Pengambilan protein tinggi yang berlebihan akan menyebabkan ia tersimpan di bahagian bawah kulit akan mudah teroksida dan bertindak balas dengan sel kulit untuk membentuk tenaga. Proses ini akan menyebabkan kulit kelihatan hangus dan gelap sekiranya berjemur di bawah sinaran matahari. Vitamin C daripada daging kambing akan memberi lebih ketahanan terhadap kulit daripada bertindak balas terhadap protein yang terkena cahaya matahari.

Mengamalkan memakan daging kambing adalah salah satu cara semula jadi untuk mendapatkan kulit yang putih dan cantik.

Meningkatkan Rasa Kasih Sayang Dan Kegembiraan

Sistem darah (NW18) berkaitan dengan kawasan Thalamus (NW3) .. Thalamus berfungsi menjaga kasih sayang. Sistem darah yang sihat dan kuat akan memastikan bahagian Thalamus juga kuat dan membantu mewujudkan perasaan kasih sayang.

Jantung yang menerima kolestrol daging kambing akan lebih lembut dan lancar pergerakannya. Jantung yang lembut akan mewujudkan perasaan yang gembira. Jantung yang lancar pergerakannya akan mudah tersentuh dan terpesona dengan sesuatu yang mengusik perasaannya. Oleh itu ia akan membahagiakan dan mewujudkan perasaan kecintaan.

Mereka yang mengamalkan memakan daging kambing akan merasa tenang dan gembira dan mudah merasa getaran kasih sayang. Sekiranya anda menghadapi masalah sukar merasai nikmat kasih sayang dan getaran kecintaan, silalah amalkan memakan daging kambing.

Selasa, 5 Januari 2010

Bekas Madu Noraniza Idris Dakwa Suami Pernah Tiduri Lebih 10 Wanita

Mastura ketika hadir di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR: Bekas madu kepada penyanyi etnik kreatif Noraniza Idris hari ini mendakwa suaminya, Datuk Muhamad Mustafa Idrus, 54, pernah meniduri lebih 10 wanita sepanjang perkahwinan mereka.

Mastura Bakar, 24, ketika memberitahu Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, di sini berkata, suaminya itu tidak adil dalam berpoligami selain banyak berfoya-foya.

"Dalam berpoligami memang dia tidak adil dan banyak berfoya-foya dengan lebih 10 wanita di hotel kerana saya mengenali dan menghubungi setiap wanita yang pernah tidur dengannya,” katanya hari ini ketika menjawab soalan peguam syarie Roslizam Rahim yang mewakilinya dalam semasa prosiding tuntutan cerai fasakh.

Dalam pada itu, Mastura mendakwa Muhamad Mustafa yang juga ahli jawatan kuasa Umno Tasek Gelugor itu pernah meliwatnya setelah dia enggan tidur bersama.

“Dia (suami) suka paksa saya untuk tidur dengannya dan apabila saya enggan berbuat demikian, dia mengasari saya termasuk pernah meliwat saya.

“Jadi, sebab itu saya tertekan dan ingin memohon cerai fasakh dengannya. Bukan itu sahaja, dia juga pernah memukul, menampar dan menendang saya sebanyak tujuh hingga lapan kali apabila mempunyai masalah dan apabila saya bertanya tentang hubungannya dengan wanita lain.

“Apabila saya melarikan diri dari rumah, dia akan pecahkan barang-barang dan pernah melanggar saya dengan kereta sekali,” katanya pada perbicaraan kes tuntutan cerai fasakh terhadap suaminya itu.

Mastura juga memberitahu Hakim Syarie Mohd Yunus Mohamad Zin bahawa dia merupakan isteri keempat ketika mereka bernikah pada 3 Jun 2006.

Namun, dia hanya mengetahui tentang statusnya itu semasa mahu melahirkan anak sulung mereka.

“Ketika bernikah dengannya, saya langsung tidak mengetahui yang saya merupakan isterinya yang keempat. Saya hanya mengetahui yang dia pernah berkahwin dan mempunyai anak-anak.

“Apabila saya nak bersalin anak pertama, baru saya tahu yang saya merupakan isteri keempat," ujarnya.

Beliau berkata, selepas itu suaminya berkahwin dengan tiga wanita termasuk Noraniza.

“Dia sendiri mengaku telah berkahwin dengan ketiga-tiga wanita itu kepada saya setelah saya mengemukakan bukti-buktinya.

Selepas dua tahun berkahwin, tambahnya, Muhamad Mustafa mula jarang pulang ke rumah apabila selepas dia mengetahui suaminya mempunyai isteri lain.

“Kadangkala, seminggu dia tidak pulang ke rumah. Sekitar Mei 2008, dia hanya pulang sekejap dan tidak bermalam di rumah. Saya rasa seperti tempat persinggahannya.

Menurut Mastura, dia bukan sahaja tertekan sehingga trauma untuk tinggal bersama malah lelaki itu juga didakwa tidak memberikan nafkah kepadanya dan anak-anak sejak Disember 2008.

“Sejak Disember 2008, semuanya (pakaian, makanan dan rumah sewa) saya tanggung sendiri dan mendapat bantuan keluarga,” ujarnya lagi yang kini menganggur.

Sebelum ini, Mastura menanggung keperluannya dan anak-anak menerusi pendapatannya bekerja sebagai pembantu jualan di kedai barang kemas My Diamond di The Curve, Damansara termasuk berkerja di pusat rawatan spa Mustika Ratu.

Mastura dan Muhamad Mustaffa bernikah pada 3 Jun 2006 di Masjid Pengkalan Hulu, Perak dan dikurniakan tiga anak berusia dua hingga lima tahun.

Muhamad Mustafa tidak hadir ke mahkamah dan diwakili oleh peguam syarie Zaidi Ibrahim.

Kes itu ditangguh pada esok, 6, 12, dan 13 Januari di mahkamah yang sama.

~mStar~

Isnin, 4 Januari 2010

Beza Antara Rebut Nama Allah Dan Mempertahankan Akidah

Banyak pihak mendesak saya memberikan pandangan tentang penggunaan nama Allah oleh agama lain khususnya agama Kristian di Malaysia ini. Pada awalnya, saya selalu mengelak, cuma memberikan pandangan ringkas dengan berkata, "Isu ini bukan isu nas Islam, ianya lebih bersifat pentadbiran atau tempatan."

Peraturan ini mungkin atas alasan-alasan setempat seperti kenapa sekarang baru ditimbulkan isu ini? Kenapa hanya Bible dalam bahasa Melayu sahaja yang hendak menggunakan panggilan Allah, tidak pula edisi Inggerisnya? Adakah di sana ada agenda tersembunyi? Maka wujudnya tanda soal dan beberapa prasangka yang mungkin ada asasnya. Maka lahirlah kebimbangan terhadap kesan yang bakal timbul dari isu itu nanti.

Namun, akhir-akhir ini saya terus didesak. Saya kata, jika anda hendak tahu pendirian Islam bukanlah dengan falsafah-falsafah tentang akar bahasa itu dan ini yang diutamakan. Rujuk terdahulu apa kata al-Quran dan al-Sunnah. Lepas itu kita bincang hukum berkenaan bertitik tolak dari kedua sumber tersebut.

Kadang-kala kesilapan kita dalam mempertahankan perkara yang tidak begitu penting, boleh melupakan kita kepada isu yang lebih penting. Isu yang terpenting bagi saya adalah kefahaman mengenai keadilan dan kerahmatan Islam yang mesti sampai kepada setiap rakyat negara ini, muslim atau bukan muslim. Supaya gambaran negatif yang salah terhadap Islam dapat dikikis dari minda mereka yang keliru.

Di samping itu, hendaklah kita jelas bahawa yang membezakan akidah Islam dan selainnya bukanlah pada sebutan, atau rebutan nama Allah, sebaliknya pada ketulusan tauhid dan penafian segala unsur syirik. Di samping, kita mesti bertanya diri kita, mengapakah kita sentiasa merasakan kita akan menjadi pihak yang tewas jika orang lain memanggil tuhan Allah? Mengapakah kita tidak merasakan itu akan lebih memudahkan kita menyampaikan kepada mereka tentang akidah Islam? Maka, apakah isu ini bertitik tolak dari nas-nas Islam, atau kebimbangan disebabkan kelemahan diri umat Islam itu sendiri?

Jika kita membaca Al-Quran, kita dapati ia menceritakan golongan musyrikin yang menentang Nabi Muhammad s.a.w juga menyebut nama Allah dan al-Quran tidak membantah mereka, bahkan itu dijadikan landasan untuk memasukkan akidah Islam yang sebenar.

Firman Allah: (maksudnya) "Dan Demi sesungguhnya! jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: 'Siapakah yang menciptakan mereka?' sudah tentu mereka akan menjawab: 'Allah!'. (jika demikian) maka bagaimana mereka rela dipesongkan? Dan (Dia lah Tuhan Yang mengetahui rayuan Nabi Muhammad) yang berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya mereka ini adalah satu kaum yang tidak mahu beriman!" (Surah al-Zukhruf ayat 87-88).

Firman Allah dalam ayat yang lain: (maksudnya) "Dan sesungguhnya jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: 'siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu dia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya?' sudah tentu mereka akan menjawab: 'Allah'. Ucapkanlah (Wahai Muhammad): 'Alhamdulillah' (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak menggunakan akal (untuk memahami tauhid) (Surah al-Ankabut ayat 63)."

Ayat-ayat ini, bahkan ada beberapa yang lain lagi menunjukkan al-Quran tidak membantahkan golongan bukan muslim menyebut Allah sebagai Pencipta Yang Maha Agung. Bahkan Nabi Muhammad s.a.w disuruh untuk mengucapkan kesyukuran kerana mereka mengakui Allah. Apa yang dibantah dalam ayat-ayat ini bukanlah sebutan nama Allah yang mereka lafazkan, sebaliknya ketidak tulusan tauhid yang menyebabkan akidah terhadap Allah itu dipesongkan atau bercampur syirik.

Justeru, soal bukan muslim mengakui Allah tidak dibantah oleh Islam, bahkan kita disuruh bersyukur kerana pengakuan itu. Cuma yang dibantah ialah kesyirikan mereka. Umpamanya, jika kita mendengar bukan muslim menyebut "Allah yang menurunkan hujan, atau menumbuhkan tumbuhan", maka kita tentu gembira kerana dia mengakui kebesaran Allah.

Apakah patut kita kata kepadanya: "awak jangan kata Allah yang menurunkan hujan, atau mencipta itu dan ini, awak tidak boleh kata demikian kerana awak bukan muslim, sebaliknya awak kena kata tokong awak yang menurun hujan". Apakah ini tindakan yang betul? Tidakkah itu menjauhkan dia dari daerah ketuhanan yang sebenar? Kita sepatutnya berusaha mendekatkan dia kepada ajaran yang benar. Namun, jika dia berkata: "Tokong ini adalah Allah". Saya kata: "Awak dusta, itu tidak benar! Maha suci Allah dari dakwaan awak".

Maka, ketika Allah menceritakan peranan peperangan dalam mempertahankan keamanan dan kesejahteraan manusia,

Allah menyebut: (maksudnya) "..dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang (pencerobohan) setengah yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak dalam semua tempat itu dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong ugamanya (ugama Islam); Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Perkasa. (Surah al-Hajj ayat 40)."

Ayat ini mengakui tempat-tempat ibadah itu disebut nama Allah. Adapun berhubung dengan orang Kristian,

Allah menyebut: (maksudnya) "Sesungguhnya telah kafirlah mereka yang berkata: 'Bahawasanya Allah ialah salah satu dari yang tiga (triniti)'. padahal tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan Yang Maha Esa..(Surah al-Maidah ayat 73)."

Ayat ini tidak membantah mereka menyebut Allah, tetapi yang dibantah adalah dakwaan bahawa Allah adalah satu dari yang tiga.

Justeru itu kita lihat, orang-orang Kristian Arab memang memakai perkataan Allah dalam Bible mereka, juga buku-buku doa mereka. Tiada siapa pun di kalangan para ulama kaum muslimin sejak dahulu yang membantahnya. Jika ada bantahan di Malaysia, saya fikir ini mungkin atas alasan-alasan setempat yang saya sebutkan pada awal tadi. Cuma yang diharapkan, janganlah bantahan itu akhirnya memandulkan dakwah Islam dan menjadikan orang salah faham terhadap agama suci ini.

Saya selalu bertanya sehingga bilakah kita di Malaysia ini akan begitu defensive, tidak memiliki anti-bodi dan tidak mahu berusaha menguatkannya dalam diri? Akhirnya, kita terus bimbang dan takut kepada setiap yang melintas. Padahal itu bukan sifat Islam. Islam agama yang ke hadapan, misi dan intinya sentiasa disebarkan.

Sehingga Allah menyebut: (maksudnya):"Dan jika seseorang dari kalangan musyrikin meminta perlindungan kepadamu, maka berilah perlindungan kepadanya sehingga dia sempat mendengar keterangan-keterangan Allah (tentang hakikat Islam itu), kemudian hantarlah dia ke tempat yang selamat. Demikian itu (perintah tersebut) ialah kerana mereka itu kaum yang tidak mengetahui (hakikat Islam). (Surah al-Taubah ayat 6)."

Ada orang tertentu yang berkata kepada saya: nanti orang Islam keliru kerana sebutan nama Allah itu sama antara mereka dan Islam. Lalu rosak akidah orang Islam kita nanti. Saya berkata kepadanya: "Jikalaulah sebutan nama tuhan itulah yang menentukan akidah Islam, tentulah golongan musyrikin Mekah tidak memerlukan akidah yang dibawa oleh Nabi s.a.w. Mereka telah sekian lama memanggil tuhan dengan panggilan Allah."

Lihatlah bapa Nabi kita Muhammad bernama 'Abdullah yang bermaksud hamba Allah. Tentu sekali bapa baginda lahir pada zaman jahiliah sebelum kemunculan baginda sebagai rasul. Nama itu dipilih oleh datuk Abdul Muttalib yang menjadi pemimpin Quraish pada zaman dahulu. Quraish pada zaman jahiliah juga bertawaf dengan menyebut: LabbaikalLahhumma yang bermaksud: Menyahut seruanMu ya Allah!

Al-Imam Muslim dalam sahihnya meriwayatkan hadis mengenai perjanjian Hudaibiah antara Nabi s.a.w dengan Quraish Mekah, seperti berikut:

"Sesungguhnya Quraish membuat perjanjian damai dengan Nabi s.a.w. Antara wakil Quraish ialah Suhail bin 'Amr. Sabda Nabi s.a.w : barangkali aku boleh tulis Bismillahirrahmanirrahim. Kata Suhail: Adapun Bismillah (dengan nama Allah), maka kami tidak tahu apa itu Bismillahirrahmanirrahim. Maka tulislah apa yang kami tahu iaitu BismikalLahumma (dengan namaMu Ya Allah!)". Dalam riwayat al-Bukhari, Nabi s.a.w menerima bantahan tersebut. Ternyata mereka menggunakan nama Allah.

Maka yang membezakan akidah Islam dan selainnya adalah tauhid yang tulus yang menentang segala unsur syirik. Ketidak jelasan dalam persoalan inilah yang menggugat akidah jenerasi kita. Mereka yang berakidah dengan akidah Islam sangat sensitif kepada sebarang unsur syirk agar tidak menyentuh akidahnya. Bukan semua yang mengakui Allah akan dianggap beriman dengan iman yang sah selagi dia tidak membersihkan diri dari segala unsur syirik.

Lihat, betapa ramai yang memakai serban dan jubah, berzikir sakan tetapi dalam masa yang sama menyembah kubur-kubur tok wali tertentu dengan cara menyeru dan merintih pemohonan darinya. Ini yang dilakukan oleh sesetengah tarekat yang sesat. Apa beza mereka ini dengan yang memanggil nama-nama berhala yang asalnya dari nama orang-orang saleh juga, yang mati pada zaman dahulu.

Firman Allah: (maksudnya) Ingatlah! Untuk Allah agama yang suci bersih (dari segala rupa syirik). dan orang-orang musyrik yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi pelindung (sambil berkata): "Kami tidak menyembah mereka melainkan supaya mereka mendekatkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya. Sesungguhnya Allah akan menghukum antara mereka tentang apa yang mereka berselisihan padanya. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang tetap berdusta (mengatakan Yang bukan-bukan), lagi sentiasa kufur (dengan melakukan syirik)". (Surah al-Zumar ayat 3).

Di Malaysia kita pun ada yang memakai gelaran agama menentang pengajaran tauhid rububiyyah, uluhiyyah, asma dan sifat. Mereka ini menyimpan agenda musuh-musuh dakwah. Padahal pengajaran tauhid yang sedemikianlah yang mampu menjadikan muslim memahami dengan mudah hakikat tauhid. Mampu membezakan antara; sekadar mempercayai kewujudan Allah dengan mentauhidkan Allah dalam zatNya, ibadah kepadaNya dan sifat-sifatNya.

Persoalan tauhid anti syirik ini begitu mudah dan ringkas untuk memahaminya. Nabi s.a.w telah menyebarkannya dengan begitu pantas dan mudah. Seorang badawi buta huruf yang datang berjumpa baginda mampu memahami hanya dalam beberapa sessi ringkas. Bahkan mampu pulang dan mengislamkan seluruh kaumnya dengan akidah yang teguh. Namun, di kalangan kita, pengajaran akidah yang dinamakan ilmu kalam begitu berfalsafah dan menyusahkan.

Bukan sahaja badwi, orang universiti pun susah nak faham. Sehingga seseorang bukan bertambah iman, tetapi bertambah serabut. Bertahun-tahun masih dalam kesamaran. Diajar Allah ada, lawannya tiada, dengar lawannya pekak, lihat lawannya buta..lalu ditokok tambah dengan falsafah-falsafah dan konsep-konsep yang menyusahkan. Padahal penganut agama lain juga menyatakan tuhan itu ada, melihat, tidak buta, mendengar, tidak pekak dan seterusnya. Apa bezanya jika sekadar memahami perkara tersebut cuma?

Maka, anak-anak orang Islam kita gagal memahami hakikat tauhid anti-syirik yang sebenar. Padahal ianya begitu mudah semudah memahami kalimah-kalimah akidah dalam surah al-Ikhlas yang ringkas. Kata Dr Yusuf al-Qaradawi: "Tambahan pula, perbahasan ilmu kalam, sekalipun mendalam dan kepenatan akal untuk memahami dan menguasainya, ia bukannya akidah…Lebih daripada itu perbahasan ilmu kalam telah terpengaruh dengan pemikiran Yunan dan cara Yunan dalam menyelesaikan masalah akidah. Justeru itu imam-imam salaf mengutuk ilmu kalam dan ahlinya serta berkeras terhadap mereka" (Al-Qaradawi, Thaqafah al-Da’iyah, m.s. 92 Beirut: Muassasah al-Risalat). Dahulu kelemahan ini mungkin tidak dirasa, tetapi apabila kita hidup dalam dunia persaingan, kita mula menderitai kesannya.

Jika akidah generasi kita jelas, apakah mereka boleh keliru antara ajaran Islam dan Kristian? Adakah mereka tidak tahu beza antara ajaran yang menyebut tuhan bapa, tuhan anak dan ruhul qudus dengan akidah Islam yang anti-syirik, hanya disebabkan adanya sebutan Allah? Begitu jauh sekali perbezaan itu! Bagaimana mungkin sehingga mereka tidak dapat membezakan antara malam dan siang? Apakah juga nanti kita tidak membenarkan pihak lain menyebut nama nabi Ibrahim, Ishak, Ya’kub, Daud dan lain-lain kerana budak-budak kita akan keliru lagi. Akidah apakah yang mereka belajar selama ini di KAFA, JQAF dan berbagai lagi sehingga begitu corot. Kalau begitu, sama ada sukatan itu lemah, atau tenaga pengajarnya perlu dibetulkan.

Maka sebenarnya, isu ini adalah isu kelemahan kita umat Islam dalam memahami akidah yang sebenar. Generasi kita tidak mempunyai benteng akidah yang kukuh. Lalu kita semua bimbang mereka keliru dengan akidah orang lain. Untuk mengatasi masalah ini, kita cuba mengambil pendekatan undang-undang. Agar dengan halangan undang-undang, kelemahan akidah generasi kita dapat dipertahankan.

Persoalan yang patut kita fikirkan, sehingga bilakah kita akan mampu terus hidup hanya berbekalkan oksigen dari saluran undang-undang sehingga kita yang majoriti, dengan segala peruntukan yang ada; TV, radio, berbagai-bagai institusi dan agensi yang dilindungi, masih takut kepada gerakan minoriti? Di manakah kehebatan Islam yang selalu kita sebut dan ceritakan sejarah kegemilangannya? Atau sebenarnya, kita tidak memiliki Islam seperti hari ia diturunkan? Maka kempen Islam kita selalu tidak berkesan.

Bagi saya, bukan soal nama Allah itu yang terlalu perlu untuk direbut atau dijadikan agenda besar. Tetapi, gerakan membina semula akidah yang sejahtera dan memahamkan generasi kita wajah Islam yang sebenar agar mampu bersaing dan menghadapi cabaran zaman.

*Tulisan ini dipetik daripada blog Dr.Mohd Asri bin Zainul Abidin, bekas mufti Perlis. Beliau sebenarnya enggan mengulas mengenai isu nama Allah yang telah diputuskan di mahkamah, sebaliknya tulisan ini merupakan artikel lama yang telah ditulis beliau dan dicadangkan untuk pembacaan.

**Kenyataan pertama Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin berkenaan isu ini boleh dibaca di blog beliau.

~MerdekaReview

Ahad, 3 Januari 2010

Maiza Akhiri Zaman ‘Solo’ Pada Februari Ini?


KALENDAR tahun baru selebriti Maizawati Zainal pastinya sarat dengan perancangan perkahwinan memandangkan ibu kepada enam orang anak ini dijangka akan menamatkan zaman ‘solo’nya pada Februari ini.

Selepas rumah tangga yang dibina dengan penyanyi dan penceramah Akhil Hayy ‘runtuh’ pada 15 Julai 2009, wanita yang dikenali dengan panggilan Maiza ini akui kini sudah mempunyai calon yang berjaya mencuri hatinya.

Apa-apa pun, jelas Maiza, dia hanya memikirkan perkahwinan yang mendatang ini sebagai salah satu kebaikan untuk masa depan anak-anaknya.

Apabila ditanya tentang gerangan lelaki itu, Maiza berkata cukuplah sekadar memberitahu bakal suaminya itu merupakan orang Sabah.

“Tunggu dan lihat… Insya-Allah, saya akan menjemput peminat yang selalu memberikan sokongan kepada saya selama ini untuk hadir ke majlis yang akan dilangsungkan di Ipoh, Perak nanti.

“Seperti yang dirancang, saya akan membuat majlis nikah dan bersanding tetapi setakat ini persiapan dilakukan secara ala kadar mengikut hukum,” ujarnya ketika menghubungi mStar Online kelmarin.

Maiza berkata setakat ini, sudah ada beberapa pihak yang ingin menaja majlis perkahwinannya. Namun, dia tidak menolak jika ada mana-mana pihak yang ingin menaja perkahwinannya nanti.

Ditanya mengenai bagaimana cintanya dengan jejaka itu bertaut, Maiza dalam nada ceria memberitahu semuanya berlaku dalam masa yang pantas.

“Hati saya sudah dicuri... mungkin dia paling memahami saya dan mempunyai persamaan dalam beberapa perkara dengan saya.

“Saya baru mengenalinya selepas penceraian lalu. Kebetulan waktu itu saya selalu berulang-alik dari Ipoh ke Kuala Lumpur untuk berurusan dengan peguam,” ujarnya.

Maiza mengaku ikutkan dia sudah ‘membujang’ sejak setahun lalu, lantas merasa tidak terlalu cepat mempunyai ‘pengganti’ selepas beberapa bulan habis edah.

“Lagipun anak-anak perlukan seorang ayah sebagai pelengkap hidup mereka dan boleh tengok-tengokkan mereka belajar.

“Saya kasihan juga dengan anak bongsu saya yang berusia dua tahun lebih dan tidak kenal siapa ayah dia.

"Saya rasa terguris hati dan dizalimi kerana anak-anak perlukan kasih sayang seorang ayah... kalau dulu saya boleh beri alasan ayahnya sibuk bekerja tetapi sekarang bagaimana... Alhamdulillah, anak-anak pun setuju,” beritahunya yang turut sibuk menguruskan bisnes madu dan pemakanan minda Intel-X jenama Maiza.

~Mstar Online~

Related Posts with Thumbnails