Sabtu, 26 Jun 2010

MCA cadang tabung khas kutip hasil judi

KUALA LUMPUR 26 Jun - MCA hari ini mencadangkan supaya kerajaan menubuhkan tabung khas bagi mengutip segala perolehan dan keuntungan daripada syarikat perjudian berlesen agar ia tidak bercampur dengan pendapatan lain.

Presidennya, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek berkata, sekiranya tabung itu diwujudkan, ia boleh digunakan untuk membiayai projek pembangunan yang membawa faedah kepada semua kaum di negara ini.

"Sudah sampai masanya kerajaan membayangkan cukai-cukai kerajaan kutip dari lesen perjudian yang dibenarkan sejak dulu, seharusnya tidak masuk "consolidated fund"...tabung berlainan ini boleh digunakan untuk pendidikan, kebajikan dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-31 Koperasi Serbaguna Malaysia Berhad (KSM) di Wisma MCA di sini, hari ini.

Soi Lek mengulas keputusan kerajaan untuk tidak mengeluarkan lesen pertaruhan sukan kepada Ascott Sports Sdn Bhd setelah mengambil kira pandangan pelbagai pihak yang majoriti daripadanya tidak bersetuju lesen itu dikeluarkan.

Beliau berkata, selain itu, kerajaan seharusnya sentiasa meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap sebarang aktiviti perjudian haram di kalangan rakyat, khususnya pertaruhan perjudian dalam sukan.

~Bernama


Related Posts with Thumbnails