Ajakan Nasaruddin Hassan Tantawi  agar Ustaz Dato  Nakhaie Ahmad, Datuk Jamil Khir Baharom, Datuk Ahmad Shabery Cheek dan  Datuk Dr Puad Zarkasi untuk menyertai PAS wajar diberikan perhatian.
Nakhaie Ahmad adalah  seorang yang penting didalam PAS sebelum keluar dari parti itu untuk  menyertai UMNO.  Puad Zarkashi adalah diantara beberapa orang tokoh yang  keluar dari PAS bersama-sama dengan Nakhaie pada waktu itu dan  penyertaan mereka kedalam UMNO diterima oleh Timbalan Presiden UMNO pada  waktu itu, Tun Ghaffar Baba.
Datuk Shabery Cheek adalah jaguh parti pembangkang yang  sama-sama mentadbirkan Parti Melayu Semangat 46 dibawah kelolaan Tengku  Razaleigh Hamzah dan sebelum itu sentiasa berdamping dengan PAS.
Saya tidak pernah kenal  atau berkenalan dengan Datuk Jamil Khir dan sukar memberikan sebarang  ulasan.
Saya  adalah diantara orang yang sangat rapat dengan Nakhaie Ahmad dan bekliau  pernah berbincang dengan saya kenapa beliau mengambil tindakan untuk  keluar PAS.  Tetapi apabila penilaian dibuat kini, apa juga sebab dan  musabab kenapa Nakhaie keluar PAS sudah tidak ujud lagi didalam PAS.
PAS kini adalah sebuah  parti yang memperjuangkan Islam diatas landasan yang sangat solid, dia  bukan lagi parti yang pernah dilabelkan sebagai "parti maki hamun",  "parti mengkafirkan sesama Islam" dan parti konserbatif yang orthodox.
PAS adalah sebuah parti  yang sangat terbuka berlandaskan Quran dan Hadis dan mengambil  pendekatan politik yang sederhana, menolak kefahaman sempit perkauman  dan memberi ruang kepada rakyat Malaysia yang berbilang kaum.
Didalam suasana seumpama  ini, Nakhaie, Puad, Jamil dan Shabery boleh kembali kepada Parti itu dan  memainkan peranan yang luas.
Saya fikir pemimpin-pemimpin itu boleh kembali kepada  PAS melainkan mereka kini sudah memikirkan bahawa kepentingan peribadi  sudah mengatasi kepentingan perjuangan.
Al-maklum, sejak berada didalam UMNO dan berjaya pula  mendapat kedudukan yang agak istimewa dan berstatus kewangan yang baik,  boleh mengubah pemikiran manusia daripada apa yang dianutinya terdahulu.
Bagaimanapun, ajakan dari  Ketua Pemuda PAS itu adalah kerja dakwah yang terpuji.



