
Isu
penghapusan Perbadanan Tabung Pinjaman Tinggi Nasional [PTPTN] semakin
rancak apabila reaksi mahasiswa dan anak muda terhadap tindakan kerajaan
menafikan hutang Tan Sri Tajudin Ramli sebanyak RM589 juta. Tan Sri
Tajuddin menyebabkan liabiliti tanggungan RM8 bilion.
YAB Datuk
Seri Najib Tun Abd Razak memutuskan hutangnya sebanyak RM589 juta kepada
Dana Harta dihapus kira walaupun tiga tahun lalu mahkamah memerintahkan
beliau melangsaikannya.
Berbangkitnya isu PTPTN oleh anak -
anak muda dewasa kini, juga ekoran tindakan PTPTN bermaharajalela
melebihi Bank dan dilihat menindas graduan. PTPTN tidaklah dilesenkan
sebagai sebuah institusi kewangan di bawah peruntukan Akta Perbankan dan
Institusi Kewangan, apatah lagi tidak dikawal selia di bawah pengawasan
Bank Negara Malaysia.
Kalau kita disenaraihitamkan oleh bank
kerana tidak membayar hutang, samaada hutang rumah atau kereta, mereka
dakwa kita di mahkamah mengikut prosedur, dan kita masih boleh ke
mana-mana hatta ke luar negara sekali pun.
Along Negara.
Malangnya
kes PTPTN ini, sebagai contoh pada 8 Jun 2011, Mandeep Singh [ isu
pelajar UNISEL ] telah menjelaskan tunggakan sebanyak RM2,330.82 dan
PTPTN telah mengesahkan pembayaran tunggakan itu, tetapi 6 Julai 2011
pelajar terbabit ditahan di LCCT oleh pegawai Imigresen kerana
disenaraihitamkan dalam sistem komputer Jabatan Imigresen Malaysia.
Insiden ini menyebabkan PTPTN dilihat tidak ubah seperti Along berlesen.
Along
berlesen ini terus menjadi igauan ngeri yang sering menghambat
keselesaan hidup anak muda yang terlibat. PTPTN asalnya bukan wajib
dipinjam, ia adalah optional disamping biasiswa negeri dan JPA. Namun
wang PTPTN terpaksa dipinjam kerana ibu bapa tidak terdaya menanggung
bayaran pengajian dan kampus yang tinggi. Sehingga kini negara mempunyai
1.8 juta peminjam PTPTN dan mereka ini antara golongan muda yang
berumur 20 hingga 35 tahun. Tapi lihatlah apa musibah PTPTN ke atas
mereka :
a] Purata sehari seramai 60 peminjam PTPTN ditahan Imigresen di lapangan terbang antarabangsa.
b]
Seramai 69,573 daripada 104,083 peminjam yang disaman oleh mahkamah
sehingga Oktober 2011, kerana gagal menjelaskan pinjaman mereka. (66.9%
disaman)
c] Sehingga September 2011, PTPTN hanya berjaya memungut
RM2.74 bilion iaitu 48.34% berbanding RM6.04 bilion, jumlah yang
sepatutnya diperolehi, maka seramai 132,801 pelajar telah disenarai
hitamkan dan tidak boleh keluar negara kerana tidak menjelaskan
pinjaman.
Kurangkan beban rakyat
Justeru
telah menjadi suatu yang telah diketahui umum bahawa komitmen Pakatan
Rakyat untuk mengambil alih tampuk pemerintahan negara ialah menjaga
kebajikan rakyatnya serta dalam masa yang sama memastikan pendapatan
negara melalui pertumbuhan ekonomi sihat dan subur.
Maka saya
melihat Kerajaan Pakatan Rakyat kelak sangat berpotensi untuk melunaskan
komitmen tersebut melalui pembentukan sebuah pentadbiran yang adil,
amanah, telus dan berintegriti atau menepati piawaian sebuah kerajaan
yang disebut sebagai Good Governence.
Kerajaan selayaknya menjadi
Payung Rakyat bukan menjadi Along Negara yang menghambat rakyat. Guna
kekayaan anugerah Allah kepada negara kita untuk rakyat dan bangunkan
negara melalui pembangunan yang memulangkan manafaat kepada rakyat
terbanyak bukan hanya kepada kelompok elit dan kroni. Sebelum ini,
sejarah Kerajaan UMNO dan BN sering dilihat menggunakan wang negara
bernilai tinggi untuk bailout dan menjaga kepentingan syarikat GLC dan
kroni yang mengalami kerugian besar dan hampir bankrap. Sebagai contoh
mudah ialah :
a] MAS yang rugi sebanyak RM478 juta dan kerugian
bersih setakat ini, sebanyak RM 1.2 billion. Bagaimana syarikat MAS
mampu survive jika tanpa campur tangan kerajaan yang menyokong syarikat
berkerugian besar ini ? persoalan lain yang berkaitan ialah bagaimana
syarikat yang sepatutnya membawa pulang keuntungan besar tiba - tiba
mengalami kerugian berskala besar pula ?
b] Syarikat milik penuh
kerajaan Malaysia, 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) dilaporkan telah
membeli Tanjong Energy Holdings, sebuah syarikat penjanakuasa bebas
milik Ananda Krishnan yang memiliki loji janakuasa di serata Asia.
Dilapor oleh The Singapore Straits Times bahawa 1MDB telah mengambil
alih kepentingan Ananda dalam Tanjong Energy pada nilai RM8.5 Bilion.
c]
Menyuntik modal RM750 juta kepada BBMB, sebuah bank milik kerajaan
sebelum diambil alih oleh bank milik UMNO, Bank of Commerce dan
membentuk Bank Bumiputera Commerce (BCBB)
d] Pembelian saham Technology Resource Industries (TRI) oleh Dana Harta
e] Pengambilalihan Celcom, anak syarikat TRI oleh Telekom
f] Memaksa KWSP membiayai projek LRT Putra serta menyelamatkan L&G dan PLUS
g] Memaksa Petronas membeli saham Proton dan ambil alih Litar Sepang
h] Pengambilalihan semula MAS oleh kerajaan daripada Tan Sri Tajuddin Ramli yang bernilai RM 1.8 bilion
i] Pengambilalihan syarikat UMNO, Renong dan UEM oleh kerajaan melalui Dana Harta
j]
Pelaburan Tabung Haji melalui TH Technologies Sdn Bhd dalam projek ERL
dengan penguasaan 80% saham yang menguntungkan kroni Perdana Menteri
yang menjadi rakan kongsi YTL Corporation
k] Mamaksa Dana Harta menanggung hutang lapuk berjumlah RM39.326b milik BBMB, Sime Bank dan 66 institusi kewangan yang lain.
l] Memiliknegarakan IWK setelah ia mengalami kerugian.
Melalui
pentadbiran jimat cermat dan bebas rasuah, saya berkeyakinan Kerajaan
Pakatan mampu melunaskan komitmen yang diberi. Selama ini, dibawah
pentadbiran UMNO dan BN, dana negara tiris dan bocor lalu mengalir ke
longkang projek yang tidak mendatangkan manafaat kepada rakyat
terbanyak. Sebagai contoh : [ wang negara boleh dijimatkan jika tiada
perkara ini ]
a] Projek Menara 100 tingkat
b] kediaman
rasmi Perdana Menteri di Putrajaya bakal menelan RM65 juta untuk kos
tambahan dan pengubahsuaian, menjelaskan bagaimana peruntukan kepada
Jabatan Perdana Menteri memecah rekod dengan catatan RM 15.8 bilion.
c]
PERMATA [Rosmah] projek tanpa hasil signifikan kepada pembangunan
negara. Perlaburan yang kabur dan tiada pulangan dalam masa terdekat.
Realitinya,
sejumlah RM 28 bilion kerugian yang terpaksa ditanggung oleh negara
setiap tahun akibat ketirisan, penyelewengan perolehan dan rasuah yang
berleluasa sebagaimana yang dinyatakan dalam Laporan Audit Negara 2009.
Jika ketirisan wang negara [peruntukan kerajaan] dapat dikawal, RM 28
bilion dan untung Petronas RM 90 bilion sepatutnya mampu untuk
meringankan beban rakyat terutama dalam menjamin masa depan pendidikan
rakyat.
Bagaimana PTPTN boleh mansuh.
Sebenarnya
tidaklah sukar untuk melihat PTPTN ini dimansuhkan. Justeru PTPTN
adalah simptom akibat tradisi korporat, komersial dan kapitalisme dalam
kampus tempatan sehingga menyebabkan pendidikan tinggi sebagai suatu
perjudian sehingga mahasiswa dan keluarga mereka terpaksa bergolok
gadai.
Jika Pakatan Rakyat benar - benar mampu mengawal
pentadbiran dan dana negara dari pembaziran, rasuah, ketirisan dan
penyelewengan ditambah pula keupayaan menjana pertumbuhan ekonomi sihat
dan subur, maka kerajaan boleh menyediakan pakej kos pengajian tinggi
yang paling minima dan tidak membebankan, malah boleh sampai ke
peringkat menyediakan tawaran pendidikan percuma kepada rakyat. Apabila
ini boleh dilakukan dan sepatutnya kerajaan boleh melakukannya, maka
dengan sendirinya tiada siapa yang akan pergi menjerut leher di pintu
masuk PTPTN.
Pendidikan percuma dari peringkat asas sehingga pengajian tinggi .- Suatu Sorotan .Kelihatan
retorik dan tidak relevan tetapi ia [pendidikan pengajian tinggi
percuma] adalah suatu kewajipan asas bagi sesebuah kerajaan adil perlu
diberikan kepada rakyat. Negara Libya [era Gaddafi ] pernah mencipta
rekod pendidikan percuma dan elaun khas untuk mahasiswa yang berjaya ke
menara gading. Libya hanya memutar wang minyak sahaja kepada kebajikan
rakyat bukan melalui sumber lain selain polisi kerajaan untuk berjimat.
Belum
ada kes atau rujukan negara yang muflis atau mundur kerana pendidikan
percuma, sebaliknya pendidikan tinggi adalah modal pembangunan kerajaan
bahkan negara akan mudah maju dan makmur jika ramai mahasiswa dapat
dihasilkan.
Mahasiswa atau graduan yang kurang atau tiada hutang
akan menjadikan mereka lebih fokus untuk memajukan diri, industri dan
negara bukan sekadar bekerja over time siang malam untuk memikirkan
hutang keliling pinggang. Natijahnya mahasiswa yang gradusi dengan
hutang tinggi akan menghasilkan modal insan robot yang bekerj untuk
tembolok sendiri.
Negara yang mengekalkan pelaksanaan pendidikan percuma sehingga peringkat pendidikan tinggi ialah :Sweden
Norway
Finland
Arab Saudi,
Kuwait
Cuba
Sri Lanka
Selepas
yuran kampus dihapuskan, tiada lagi keperluan institusi kewangan atau
tabung tertentu untuk memenuhi kehendak kapitalisme menara gading. Jua
tidak lagi perlu berhutang dari Along Negara dan Along Negara bolehlah
gulung tikarnya.
Contoh pengiraan [Universiti Malaya]
a] 20,000 orang pelajar dengan yuran sebanyak RM3,000 setahun.
b] RM3,000 x 20,000 orang berjumlah RM60 juta.
c] Jumlah IPTA terkini 20 buah :
1. Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur,
2. Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Selangor,
3. Universiti Putra Malaysia (UPM), Selangor,
4. Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang,
5. Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Johor,
6. Universiti Malaysia Pahang (UMP), Pahang,
7. Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), KL,
8. Universiti Utara Malaysia (UUM), Kedah,
9. Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Sarawak,
10. Universiti Malaysia Sabah (UMS), Sabah,
11. Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Perak,
12. Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), N9,
13. Universiti Teknologi MARA (UiTM), Selangor,
14. Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Terengganu,
15. Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Johor,
16. Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Melaka,
17. Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Perlis,
18. Universiti Darul Iman Malaysia (UDM), Terengganu,
19. Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Kelantan,
20. Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), KL
d] 20 buah x RM 60 juta = RM 1200 juta [RM 1.2 bilion]
Jumlah
ini masih mampu ditanggung kerajaan jika pembelian atau bailout
syarikat kroni tidak dilakukan secara berleluasa serta wang tiris
dikawal sementara wang untung seperti yang dihasilkan oleh Petronas
diurus secara telus. Rakyat terbanyak akan mendapat manafaat dari konsep
Negara Berkebajikan yang jelas menepati kehendak Allah swt dan
melandasi WahyuNya.
وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا
وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ
وَلَٰكِن كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ
Dan
(Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta
bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka ( pintu pengurniaan
rezeki ) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi
mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab
seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan. - Surah al A'araaf : 96
*** Artikel ditulis oleh Nasrudin bin Hassan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.