Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong akan melakukan lawatan sehari  ke Malaysia esok untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara  kedua-dua negara.
Dalam lawatan itu, Lee akan mengadakan  pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Malaysia Datuk Seri Najib Tun  Razak dan mempengerusikan bersama mesyuarat delegasi.
Kedua-dua  Perdana Menteri akan juga mengadakan persidangan akhbar bersama, menurut  kenyataan Wisma Putra di sini hari ini.
Najib dan Lee dijangka  berbincang mengenai susulan penilaian tanah dan cadangan pertukaran  tanah yang dibincangkan oleh kedua-dua pemimpin itu semasa mereka  mengadakan pemukiman di Singapura pada 23 dan 24 Mei lepas.
Lee  akan diiringi oleh Menteri Hal Ehwal Luar republik itu George Yeo  Menteri Pembangunan Nasional, Mah Bow Tan, Menteri Undang-undnag dan  Menteri Kedua Hal Ehwal Dalam Negeri K.Shanmugam dan para pegawai kanan  dari pelbagai kementerian.
Semasa lawatan itu, Najib akan  meraikan Lee dan delegasinya pada jamuan makan malam.
Dalam  lawatan Najib ke republik itu bulan lepas, Malaysia dan Singapura  bersetuju menangani beberapa isu tertangguh, antaranya republik itu  bersetuju memindahkan Stesen Keretapi Tanjong Pagar ke pusat pemeriksaan  kereta api Woodlands pada 1 Julai tahun depan di bawah peningkatan  Perkara-perkara Perjanjian (PoA).
Kedua-dua pemimpin bersetuju  bahawa sebuah syarikat bersama Malaysia-Singapura, dikenali sebagai M-S  Pte Ltd, akan ditubuhkan sebelum 31 Dis tahun ini untuk membangunkan  tanah-tanah yang dikosongkan oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB)  itu di Tanjong Pagar.
Mengenai isu air apabila Perjanjian Air  1961 tamat pada 1 Julai tahun depan, kenyataan itu menyatakan Singapura  akan menyerahkan kerja air Skudai kepada pihak berkuasa air Johor dengan  percuma dan dalam keadaan baik.
~Bernama



