Rabu, 23 Jun 2010

Video lucah: Penyanyi Peterpan Ariel ditahan polis

http://media.themalaysianinsider.com/images/uploads/2010/06/22/ariel-luna-jun22.jpg


JAKARTA, 22 Jun — Polis kebangsaan Indonesia mengenakan tuduhan terhadap penyanyi kumpulan Peterpan Nazriel “Ariel” Irham di bawah undang-undang antibahan lucah ekoran tersebarnya rakaman adegan skandal seks membabitkan beberapa artis yang juga bekas teman wanitanya.

Bercakap kepada pemberita di ibu pejabat polis kebangsaan di sini, Ketua Bahagian Detektif Kom Jen Ito Sumardi memberitahu, Ariel sudah pun ditahan.

“Dia tidak hadir dengan sendiri tetapi bersama peguam-peguamnya pagi ini. Dia masih ditahan,” kata beliau kepada Detik.com yang dipetik Jakarta Globe.

Ariel (gambar, kiri) merupakan satu-satunya suspek dikenakan tuduhan berhubung pengeluaran tiga video setakat ini, yang menunjukkan dua teman wanitanya, penyampai televisyen Luna Maya (gambar, kanan) dan Cut Tari, hos program gosip “Insert.”

Ito memberitahu, Luna dan Cut Tari yang telah berkahwin diklasifikasikan sebagai bukti.

Katanya, Ariel akan dikenakan tuduhan di bawah undang-undang antibahan lucah tetapi tidak dinyatakan seksyen yang akan digunakan dalam pertuduhan.

Seksyen 29 akta itu membolehken mereka yang dikenakan tuduhan menghasilkan, membuat, mengedar, menyiar, mengimport, mengeksport, menjual, menyewa atau menyediakan bahan-bahan lucah boleh dikenakan penjara minimum enam bulan atau maksimum 12 tahun.

Jika sabit kesalahan juga boleh dikenakan denda hinga RM2.2 juta (enam bilion rupiah).

Polis juga memanggil rakan Ariel, Andika yang juga bekas anggota Peterpan.

Andika berkata dia dipanggil polis sebagai saksi.

“Sebagai warganegara yang baik, saya mematuhi arahan polis,” kata Andika.

Bagaimanapun dia enggan mengulas mengenai video itu.

“Saya tidak tahu. Saya tidak melihat video itu,” katanya.

Video klip skandal seks penyanyi muda Ariel tersebar sejak awal bulan ini, bukan sahaja mengejutkan Indonesia, malah menjadi bahan perbualan seluruh dunia.

Bagaimanapun Ariel dan Maya, seorang model dan pengacara program televisyen melahirkan rasa terkejut dengan klip video, yang kini diedarkan dengan meluas menerusi Internet.

Setakat ini tiga klip video membanjiri ruang siber.

Video yang kurang jelas itu kelihatan dirakamkan oleh Ariel ketika mereka mengadakan hubungan seks.

Rakaman itu menunjukkan Ariel, penyanyi berusia 28 dari kumpulan Peterpan juga mengadakan hubungan seks dengan Cut Tari, yang kini sudah mendirikan rumah tangga.

Dalam temu bual bersama dengan TVOne baru-baru, Ariel dan Maya berkata, mereka kini menjadi mangsa fitnah dan oleh itu, meminta peminat-peminatnya tidak membuat rumusan tidak berasas sebelum siasatan polis selesai.

Bagaimanapun Ariel dan Maya tidak menafikan dengan tegas yang individu dalam rakaman itu adalah mereka.

Maya, 26, pula mendakwa media sengaja membesar-besarkan perkara itu.

Video pertama yang terdedah membabitkan klip enam minit, menunjukkan Ariel berada di atas katil bersama Maya, model sabun Lux.

Media tempatan menyebut klip video muncul di ruang siber awal bulan ini selepas komputer riba Ariel dicuri dan beberapa rakaman yang serupa, dengan selebriti-selebriti lain juga dikatakan diperoleh.

Video kedua lapan minit juga muncul. Kali ini menunjukkan hubungan intim dengan bekas teman wanitanya.
Related Posts with Thumbnails