Khamis, 11 November 2010

Lagi Lama Umno Memerintah, Lagi Banyak Tanah Melayu Tergadai


HarakahDaily | Kelalaian dan sikap tidak amanah kepimpinan Umno semasa berkuasa punca tanah orang Melayu makin berkurangan di Pulau Pinang akui Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulau Betong, Farid Saad.

Justeru itu, beliau sebagai generasi muda dalam Umno mahu membaikinya sekaligus memastikan lain-lain tanah yang masih dimiliki orang Melayu tidak diambil untuk pembangunan yang tidak terancang lapor Harakah Daily Online.

"Sebagai generasi muda dalam Umno, saya rasa ia perlu diperbetulkan apakah kesilapan lalu supaya tidak terus menjadi persoalan siapakah pengkhianat sebenarnya," ujarnya pada Debat Perdana Pengkisahan Tanah Melayu di Pulau Pinang: Apakah Jalan Penyelesaian di Kompleks Masyarakat Penyayang Pulau Pinang, di sini malam tadi.

Justeru, beliau mahu melupakan kisah lama yang ditinggalkan oleh generasi lama Umno yang nyata gagal menyelamatkan kedudukan tanah tersebut.
Dengan niat ikhlas, beliau mengajak semua parti politik Melayu dan badan bukan kerajaan (NGO) Melayu agar duduk semeja berbincang bagaimana cara terbaik menyelamatkannya.

"Soal parti terpulang pada rakyat. Saya tidak menghalang orang Melayu mahu memilih perjuangan mana yang mereka hendak kerana yang penting ialah ia jaga tanah masyarakat Melayu," kata beliau.

Program anjuran Yayasan Bina Ilmu itu membariskan Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Azmi Abdul Hamid, Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof Rawa dan Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang), Datuk Seri Yusoff Latif sebagai ahli panel.

Rabu, 10 November 2010

Lagi komponen BN bidas Zahid persoal patriotisme bukan Melayu


TMI | KUALA LUMPUR, 10 Nov — MIC juga mengambil pendirian MCA dengan menegaskan, Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak wajar mendakwa semangat patriotisme yang belum cukup tinggi di kalangan bukan Melayu sebagai punca orang Cina dan India tidak berminat menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Semalam, Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek meminta menteri-menteri Umno agar berhenti daripada membuat kenyataan yang mempersoalkan kesetiaan dan integriti bukan Melayu.

Dr Chua berkata tindakan sedemikian hanya akan memudaratkan usaha memperbaiki keharmonian kaum.

Dalam reaksinya hari ini, Dr Subramaniam yang juga Menteri Sumber Manusia berkata, pihaknya menerima banyak aduan dan rungutan bahawa permohonan bukan Melayu tidak berjaya atas beberapa sebab termasuk gagal semasa temu duga fizikal.

“Oleh yang demikian, saya berpendapat untuk mengaitkan isu semangat patriotisme dengan penyertaan kaum bukan Melayu dalam ATM adalah tidak tepat.

“Saya sebagai seorang pemimpin masyarakat, sedih dengan kenyataan ini, lebih-lebih lagi daripada seorang lagi pemimpin masyarakat dan negara,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Selain itu, kata beliau, isu kenaikan pangkat, khususnya di kalangan anggota dan pegawai ATM sedia ada juga merupakan salah satu faktor menyebabkan mereka kurang berminat menyertai perkhidmatan itu memandangkan mempunyai pilihan lain.

“Kita di pihak MIC, bersedia untuk mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pertahanan dan ATM bagi menangani masalah ini,” katanya.

“Saya ingin menyatakan bahawa kenyataan Menteri Pertahanan dalam satu jawapan di Dewan Rakyat semalam bahawa bilangan permohonan bagi pengambilan ATM dari kalangan masyarakat bukan Melayu rendah kerana kurang semangat patriotisme telah menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan kaum bukan Melayu,” kata Subramaniam.

Zahid berkata, hanya terdapat 903 anggota bukan Melayu dalam ATM yang memasuki perkhidmatan itu bagi tempoh dua tahun lepas.

Beliau berkata, jumlah itu merangkumi 82 anggota kaum India, 26 (Cina) manakala 795 lagi adalah kaum-kaum lain yang meliputi kaum peribumi Sabah dan Sarawak.

“Kementerian mendapati penyertaan kaum bukan Melayu terutama kaum Cina dan India masih berkurangan berkemungkinan disebabkan kekhuatiran terhadap disiplin yang ketat, ganjaran kurang berbanding swasta, tiada galakan daripada keluarga serta semangat patriotisme yang belum cukup tinggi,” kata Zahid yang juga Naib Presiden Umno.

Beliau juga berkata, kerajaan tidak meletakkan sebarang kuota untuk kemasukan dalam ATM kerana penyertaannya adalah berasaskan kelayakan, minat dan secara sukarela.

Apa rosak RM65 juta ubahsuai Seri Perdana

Hazayani Zakaria

HD | KUALA LUMPUR, 10 Nov: Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar terus mempersoal tindakan kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM65 juta untuk pengubahsuaian kediaman rasmi Perdana Menteri, Seri Perdana di Putrajaya.

Mahfuz sewaktu berbahas di Dewan Rakyat petang semalam berkata, peruntukan yang begitu tinggi itu amat tidak wajar hanya untuk mengubah suai kediaman Perdana Menteri yang masih dalam keadaan baik.

"Kenapa peruntukan yang begitu tinggi ini diberikan kepada hal yang tidak sepatutnya? Setiap kali belanjawan, ada peruntukan untuk ubah suai kediaman Perdana Menteri.

"Setiap kali tukar Perdana Menteri, berlaku pengubahsuaian. Apa yang rosak sebenarnya? Kita nak tahu apa yang memerlukan pengubahsuaian sampai memerlukan kos yang tinggi? Setiap kali masuk rumah, ada pinggan mangkuk pecah ke?" soalnya berseloroh.

Naib Presiden PAS itu juga berkata, kerajaan seharusnya mengutamakan belanjawan terhadap keperluan rakyat, bukan untuk kepentingan peribadi.

"Bayangkan sebanyak RM65 juta untuk tempoh dua tahun. Untuk tahun hadapan kos pengubahsuaian sebanyak RM19.5 juta. Maksudnya berbaki sebanyak RM45.5 juta untuk tahun 2012. Sedangkan kos sebanyak itu boleh digunakan untuk kebajikan rakyat yang jauh lebih memerlukan," katanya lagi.

Seri Perdana di Putrajaya mula dibina pada tahun 1997 dengan kos RM24 juta dan siap dua tahun kemudiannya. Bangunan ini diubah suai buat kali pertama pada tahun 2005 yang menelan belanja hampir RM6 juta.

Sebelum ini beberapa wakil Pakatan Rakyat dalam perbahasan Bajet 2011 telah membangkitkan perkara ini antaranya Khalid Samad (PAS-Shah Alam) dan Liew Chin Tong, (DAP-Bukit Bendera).

Presiden AS, Obama Ucap Assalamualaikum

http://kosmo.com.my/kosmo/pix/2010/1110/Kosmo/Dunia/du_01.1.jpg

BARACK OBAMA (tengah) dan Michelle Obama (di belakangnya) berdiri tegak dalam majlis meraikan kedatangan mereka di Istana Merdeka, Jakarta semalam.

JAKARTA - Presiden Amerika Syarikat (AS) yang tiba di Jakarta semalam untuk melakukan lawatan dengan sasaran bagi meningkatkan hubungan perdagangan dan keselamatan dengan Indonesia mengucapkan assalamualaikum serta terima kasih semasa bercakap di depan wartawan di Istana Merdeka.

Dalam ucapan itu, Obama banyak memberikan sokongan terhadap Indonesia, antaranya dalam usaha-usaha memerangi rasuah dan keganasan.

Semasa berucap, Obama sempat mengimbas kemajuan di Indonesia dengan menyatakan semasa beliau kecil, cuma terdapat sebuah bangunan yang tinggi tetapi kini bilangannya semakin bertambah.

Beliau turut menyentuh mengenai hubungan perdagangan antara Indonesia dan Amerika Syarikat, pelaburan serta kerjasama bilateral termasuk dalam bidang ekonomi atau sosial.

Jakarta merupakan tempat tinggal Obama semasa zaman kanak-kanak pada 1960-an.

Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono dan barisan anggota Kabinetnya menyambut ketibaan Obama dan isterinya, Michelle di Istana Merdeka.

Setelah berkenalan dengan para menteri, Obama dan Michelle bergambar dengan Susilo dan isterinya, Ani Yudhoyono.

Obama kemudian bercakap dalam bahasa Indonesia. "Apa khabar? Selamat sore.'' Semasa bergambar pula Obama memegang tangan Susilo.

Kira-kira 15,000 anggota polis dan tentera dikerah untuk mengawal ketenteraman semasa lawatan Obama di Indonesia.

Obama tiba di Jakarta dengan menggunakan pesawat rasmi Air Force One dari India. Lawatan itu yang dilihat oleh Obama sebagai satu destinasi penting untuk pelbagai sebab strategik dan peribadi telah ditangguhkan dua kali.

Menurut White House, lawatan itu mungkin dipendekkan kerana letusan Gunung Merapi di Pulau Jawa yang meletus sejak 26 Oktober lalu. - Agensi / Kosmo

BBC dakwa Fazley miliki Ph.D Palsu

Kosmo | LONDON – University of Wales di United Kingdom (UK) menggantung hubungannya dengan Kolej Antarabangsa Fazley (FIC) milik penyanyi Malaysia, Fazley Yaakob sehingga satu siasatan dilakukan.

Menurut satu laporan Perbadanan Penyiaran British (BBC), tindakan itu dilakukan ekoran kontroversi berkaitan dengan kelayakan akademik penyanyi tersebut yang dikatakan memiliki ijazah doktor falsafah (Ph.D) dan sarjana palsu dalam bidang pentadbiran perniagaan.

BBC dalam program Week In Week Out: University Challenged mendakwa Fazley memiliki Ph.D palsu dan kini mengendalikan kolej yang menawarkan kursus sarjana muda dari University of Wales.

Dalam program itu, Fazley dituduh memiliki kelulusan itu dari sebuah universiti palsu.

Selasa, 9 November 2010

Kritik Anwar, Azmin: Zaid dapat sokongan ramai?


Siasahdaily | Sebelum ini, kritikan-kritikan Datuk Zaid Ibrahim ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Azmin Ali, dua orang kuat PKR masih tidak terlalu tajam.

Tetapi, dalam sidang media hari ini, Zaid mengambil tindakan tidak boleh berundur lagi apabila terus menamakan Anwar dan Azmin sebagai punca masalah dalam PKR.

Isu ini sudah lama dibincangkan, dan dikaitkan dengan kedudukan presiden parti yang hanya berada di kedudukannya sebagai simbol tanpa kuasa presiden.

Tindakan berani Zaid ini mungkin didorong sokongan kuat banyak pihak, terutama golongan liberal dalam dan luar parti.

Sukar untuk dipercayai Zaid boleh bertindak begitu tanpa sokongan ramai. Ini juga memberi gambaran Zaid dipercayai oleh satu jumlah besar ahli dan penyokong di luar parti sebagai mampu untuk memimpin PKR - sekiranya tidak meninggalkan parti - dan gerakan liberal di Malaysia.

Apa yang menarik lagi ialah kehadiran Mustaffa Kamil Ayub bersama Zaid, yang menunjukkan seolah-olah ada kerjasama antara faksi Abim dengan liberal dalam PKR.

Mustaffa hari ini masih mahu meneruskan perjuangan merebut jawatan timbalan presiden walaupun didakwa kumpulan Abim semakin jauh daripada Anwar dan Mustaffa hanya dipergunakan untuk memperlihatkan ada proses demokrasi dalam PKR.

Tindakan Zaid hari ini bakal memberi impak besar kepada PKR, dan menjadi ujian sejauh mana PKR mampu bergerak sebagai parti yang tidak dikuasai sepenuhnya oleh Anwar.

300 ribu Rela undi pos untuk tawan Selangor?

Harakahdaily |

KUALA LUMPUR, 9 Nov: PAS mengharapkan supaya penambahan anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) seramai 300,000 di Selangor pada tahun 2011 tidak mempunyai agenda politik Umno BN untuk menawan negeri itu melalui taktik undi pos.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad mengharapkan sasaran pertambahan mendadak anggota Rela di Selangor tidak menjadi tiket untuk mereka didaftar sebagai pengundi pos dalam pillihan raya umum akan datang.

PAS, tegasnya memang meragui kewibawaan undi pos dalam setiap kali pilihan raya kerana ia adalah simpanan tetap BN.

“Sudah lama PAS menuntut undi pos dihapuskan kerana kita mempunyai bukti daripada bekas anggota tentera yang bertugas selama ini tidak tahu siapa yang undi kertas mereka,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Justeru, ujarnya pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu telus dan jangan menjadi tali barut BN ketika mengendalikan urusan pilihan raya.

Baru-baru ini, tambahnya rakyat telah dikejutkan tindakan SPR berhubung kumpulan pengundi 'hilang layak undi awam' yang berjumlah 18,493 orang dalam Rang Daftar Pemilih Suku Ketiga 2010.

Dan lebih mencurigakan, katanya jumlah tiga negeri paling ramai pengundi “hilang layak undi awam” ialah Kelantan (3,187), Kedah (2,876) dan Perak (2,007).

Menurutnya, PAS menganggap itu adalah tindakan untuk mengepung supaya tembok Umno BN tidak runtuh dan diserbu oleh Paktan Rakyat di negara ini.

Justeru, beliau mengharapkan supaya semua jentera pilihan raya di semua peringkat sentiasa mengambil berat mengenai daftar pemilih dan memerhatikan senario tersebut.

“PAS mengharapkan jentera PAS dan Pakatan Rakyat di Selangor perlu serius menanggani perkara ini. Modus operandi untuk tawan Terengganu 2004 dahulu dengan menambah pengundi sedang berjalan di Selangor.

“BN terlalu mengidam Selangor, berbanding negeri-negeri lain, kerana Selangor lubuk emas dan balang oksigen Umno,” ujarnya.

Chegubard ketuai Misi Bantuan Banjir di Kedah

Misi Bantuan Banjir telah dilancarkan dengan gabungan Unit Ehsan P.Pinang, AMK P.Pinang, UKP Permatang Pauh, Persatuan Watami dan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) yang diketuai oleh Chegubard.

Kami berhimpun di R&R Juru sebelum bertolak ke Alor Setar Kedah. Sharpshooter bersama Chegbard dari Petaling Jaya Selatan setelah selesai bertemu anak muda di sana. Kami sampai sekitar jam 4.30 petang di R&R Juru.

One Nie Catering milik Zulkarnain AMK Bayan Baru adalah penyumbang besar makanan kepada mangsa banjir. Gambar - dari kiri Lat Pet Pet dari UKP Permatang Pauh, Dio Sani dari N.Sembilan, Saufi dari N.Sembilan, Faisal Ketua AMK Balik Pulau, Aidil dari Johor dan Yaser dari Negeri Sembilan turut hadir.

Peserta konvoi Misi bantuan Banjir bersiap sedia bertolak ke Alor Setar.


Ketua Konvoi Misi bantuan Banjir, Chegubard bersama Yaser Negeri Sembilan dan Aidil dari Johor turut bersama dalam konvoi ini.

Ketua AMK kedah Saiful berada di Pejabat HQ Keadilan, Tropicana kerana mesyuarat MPP Keadilan. Konvoi kami disambut oleh saudara Budi Ketua AMK Alor Setar dan Nasir Ketua AMK Merbok dan AMK Kedah. Angah Ketua AMK Sik turut bersama konvoi dari Juru.

Kami pergi ke penempatan mangsa banjir Sekolah Kebangsaan Sri Perdana, Mergong. Kami diberi taklimat oleh Ketua Unit Amal di sana.

Zulkarnain Pengasas Unit Ehsan dan juga pemilik One Nie Catering telah sudi menyediakan masakan burger dan hot dog kepada mangsa banjir.

Tanpa berlengah masa, kami aturkan segera persiapan yang dibawa oleh One Nie catering untuk menyediakan 700 burger dan hot dog kepada mangsa banjir.

YB Chang Lih Kang Adun Teja serta Pengerusi Watami Puan Hamizah dan Sdr Lan Pet Pet dari UKP Permatang Pauh sedang memotong gobis.

Azrizal Tahir Pengerusi Unit Ehsan P.Pinang merangkap Ketua AMK Bayan Baru dan Amir Ghazali Ketua AMK Permatang Pauh turut bertungkus lumus memotong gobis.

Sdr Khairil AMK Jelutong turut bersama. Sebanyak 700 Burger dan hot dog serta air minuman sebanyak 2,400 botol (100 kotak sumbangan YB Ong Chin Wen) kami agihkan ke bilik-bilik mangsa banjir.

Chegubard dan Dio Sani turut menggoreng burger dan hot dog.

YB Chang Lih Kang amat prihatin dengan kanak-kanak kurang upaya .

Pengerusi Persatuan Wanita Mithali (Watami) Puan Hamizah, Zaheerah dan Wanie sedang mendengar keluhan dan rintihan mangsa banjir.

Saufi aktivis SAMM yang tidak pernah mengalami banjir di Negeri Sembilan amat terharu dan sebak bila melihat kanak-kanak dan mangsa banjir berebut-rebut mendapatkan makanan dan tempat tinggal beramai-ramai. Katanya "saya tak pernah alami dan melihat situasi seperti ini. tak sia-sia saya turut serta dalam misi bantuan banjir ini."

Zulkifli Ibrahim kempen manager Chegubard sedang melayan kanak-kanak untuk jamuan nasi yang kebetulan datang seorang hamba Allah yang mahu memberi nasi kenduri lebihan dari rumahnya. Beliau menyerahkan kepada kami untuk hidangkan dan agihkan kepada mangsa banjir.

Hijat panjang dari AMK Bayan Baru sedang melayan kanak-kanak mangsa banjir.

Sebahagian dari kanak-kanak sedang beratur untuk mendapatkan makanan.

Selepas itu, kami agihkan pula pakaian untuk mangsa banjir.

Mangsa banjir sedang memilih pakaian yang kami bawa dan sebahagiannya sumbangan dari Fauzi Johor yang memiliki kedai pakaian di Shah Alam, Selangor.

Selepas itu kami bergegas pula ke Sekolah Agama Kedah. Kami diberi taklimat oleh Ketua Unit Amal Ustaz Basri. YB Chang Lih Kang sedang mendengar taklimat oleh Ustaz Basri.

YB Chang Lih Kang amat sedih dengan keadaan magsa banjir, Berat mata memandang berat lagi bahu memikul.

Beginilah keadaan penempatan mangsa banjir tidur dan berlindung buat sementara.

Sdr Rizal Hamid calon yang tewas kepada YB Ustaz Maktar Adun Sg Bakap semasa pemilihan Keadilan di Nibong Tebal turut hadir dalam misi bantuan banjir tersebut. Biduk berlalu kiambang bertaut. Inilah sikap yang wajar dipuji dan dicontohi biarpun sudah tewas namun semangatnya untuk terus berjuang wajar diberi pujian.


Chegubard telah menjadi anak angkat kepada mak cik ini yang berusia hampir 100 tahun. Kata mak cik tersebut.." terimakasihlah nak kerana sudi tolong bagi makan ubat kepada mak cik, mak cik terharu dengan jasa baik anak dan kawan-kawan yang sudi mai melawat kami dan bagi sumbangan."

Selepas itu sharpshoter bersama Chegubard dan SAMM bergegas semula ke Selangor. Konvoi Misi Bantuan Banjir kedua akan diadakan pada 11 Novembar 2010. Kepada sesiapa yang ingin turut serta dan ingin memberi sumbangan, anda bolehlah menghubungi Azrizal di talian 016-4355488, 012-4984556 atau Zulkarnain 019-5082933.

Treler terbakar berhampiran plaza tol Senawang

Seremban: Laluan ke selatan di Km 253.6 Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran plaza tol Senawang mengalami kesesakan sepanjang tiga kilometer hampir dua jam tengah hari tadi apabila sebuah treler terbabas, terbakar dan melintang di lorong ke selatan lebuh raya itu.

Gambar: Rombongan kereta rasmi yang membawa Presiden Austria Dr Heinz Fischer (belakang kereta peronda polis) untuk melakukan lawatan ke Melaka hari ini tergendala seketika ekoran sebuah treler yang sarat membawa kayu terbakar dan melintang dalam kejadian yang berlaku pada pukul 12 tengah hari di Kilometer 253.6 Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran plaza tol Senawang dekat sini hari ini.

Jurucakap polis berkata, dalam kejadian tengah hari itu, treler membawa muatan kayu bergergaji sedang dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Muar.

"Pemandu lori itu Mohd Khatib Ahmad, 26, tidak mengalami kecederaan dan siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca kejadian," katanya.


Kejadian itu juga menyebabkan rombongan kereta rasmi yang membawa Presiden Austria, Dr Heinz Fischer untuk melakukan lawatan ke Melaka hari ini tergendala seketika.

Rombongan itu terpaksa menunggu hampir 20 minit untuk pasukan bomba memadamkan api sebelum mereka dibenarkan melepasi laluan itu.

Jurucakap PLUS berkata, keadaan pulih pada 2 petang apabila laluan itu dibuka semula. - BERNAMA

Isnin, 8 November 2010

Zaid Ibrahim letak semua jawatan dalam PKR, tarik diri saingan timbalan presiden

KUALA LUMPUR, 8 Nov — Datuk Zaid Ibrahim meletakkan semua jawatan dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan menarik diri daripada bertanding jawatan timbalan presiden di sebalik siri dakwaan pemilihan parti dicemari kecacatan dan tidak telus.

Keputusan Zaid itu, yang diumumkan selepas kira-kira 18 bulan menyertai PKR, dilihat akan memberi kesan ke atas parti, diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku penasihat, yang sedang berusaha untuk kembali pulih daripada kekalahan dua pilihan raya kecil berturut-turut dan selepas sekumpulan wakil rakyatnya keluar parti awal tahun ini.

Zaid berkata, beliau mengambil keputusan itu kerana tiada usaha di kalangan pucuk kepimpinan parti untuk menangani pelbagai isu manipulasi dan amalan-amalan pemilihan tidak adil meskipun isu terbabit telah dibangkitkan berulang kali.

“Saya ingin mengumumkan keputusan saya menarik diri daripada sebagai salah seorang calon yang bertanding jawatan timbalan presiden PKR dan kesemua jawatan yang dipegang dalam parti,” kata Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan ini dalam tulisan terbaru blognya, disiarkan awal pagi ini.

Zaid, bekas anggota Kabinet kerajaan pusat, menyertai PKR pertengahan tahun lalu. Beliau kini merupakan anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan menganggotai Biro Politik.

Bagaimanapun beliau tidak menyebut sama ada akan kekal bersama PKR sebagai ahli biasa.

Pucuk kepimpinan parti itu sebelum ini termasuk yang terbaru semalam menafikan wujudnya sebarang elemen manipulasi dan penyelewengan dalam proses pemilihan secara langsung yang julung kali diadakan.

Dalam penafian kira-kira 4 petang semalam, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail menafikan wujudnya elemen manipulasi dengan kertas undi didakwa boleh dibeli sebagaimana didakwa blogger hujung minggu lalu.

Dalam saingan jawatan timbalan presiden, Zaid berhadapan dengan cabaran dua naib presiden Azmin Ali, yang didakwa mendapat sokongan dan restu Anwar, dan Mustaffa Kamil Ayub.

Selepas 87 cabang telah menyelesaikan proses pengundian Azmin berada jauh di depan khususnya selepas pemilihan cabang-cabang Sabah kelmarin dan semalam.

Penyokong-penyokong Zaid mendakwa wujud manipulasi undi dalam proses pemilihan cabang-cabang di Sabah, tetapi ia turut dinafikan oleh jawatankuasa pemilihan pusat.

Dalam tulisan terbaru ini, tegas Zaid, beliau ditawarkan menyertai PKR di bawah kepercayaan bahawa boleh menghidupkan politik kesedaran dan progresif selain memelihara dan mengembangkan nilai-nilai politik berprinsip dan budaya dianggap penting bagi mengembangkan demokrasi dan urus tadbir pemerintahan baik di negara ini.

“(Tetapi) saya silap,” kata Zaid yang sebelum ini pernah mengkritik tatacara pemilihan dan meminta sekretariat membetulkan kelemahan dan kekurangan yang wujud.

Malah beberapa pihak meminta agar pemilihan ditangguhkan sementara segala kelemahan dapat diatasi.

Zaid menambah, di sebalik pemilihan parti insiden-insiden yang disaksikan menunjukkan kepimpinan parti membiarkan kecacatan dan penyelewengan dalam proses pemilihan demi mencapai matlamat disasarkan.

“Saya pasti mana-mana parti politik yang membawa nilai palsu dan hipokrit sedemikian tidak akan berupaya menawarkan pembaharuan bermakna kepada rakyat negara ini,” kata beliau.

Meskipun memutuskan untuk meletakkan semua jawatan dalam PKR, Zaid berkata, beliau akan kekal berpegang pada perjuangan Pakatan Rakyat dan terus membawa isu-isu menyentuh rakyat jelata.

Pakatan Rakyat turut dianggotai DAP dan PAS.

“Akhirnya, saya berharap peminat-peminat taksub Anwar Ibrahim tidak lagi menganggap saya sebagai pengacau dalam usaha menuju Putrajaya. Saya ucapkan mereka semoga berjaya,” kata beliau yang bertindak sebagai penyelaras Pakatan Rakyat dalam proses mendaftarkannya sebagai perikatan yang sah.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada kesemua ahli yang menyokongnya dan meletakkan kepercayaan terhadap perjuangan reformasi selama ini, kata Zaid, adalah sesuatu yang mengecewakan kerana tidak mampu untuk meneruskan usaha itu ekoran proses pemilihan yang cacat ini.
-themalaysianinsider

Ahad, 7 November 2010

Kedah sedia RM1 juta bantu mangsa banjir

Harakahdaily |

ALOR SETAR, 7 Nov: Kerajaan Negeri Kedah telah memperuntukkan hampir RM1 juta untuk membantu mangsa banjir di samping RM500,000 daripada wang zakat yang diumumkan Sultan Kedah semalam.

Exco kerajaan negeri, Datuk Phahrolrazi Zawawi (gambar) berkata, soal kerajaan negeri tidak membantu mangsa banjir tidak berbangkit langsung di negeri ini.

"Yang menjadi masalah adalah media yang tidak membuat liputan untuk kerajaan negeri," kata beliau.

Kerajaan negeri, katanya, telah menubuhkan Bilik Gerakan Banjir peringkat negeri dan daerah.

Di peringkat negeri ia diketuai oleh Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri manakala di daerah di ketuai Pegawai Daerah.

"Memandangkan SUK di Mekah, Timbalan SUK, Datuk Haji Ahmad Mat Isa yang ketuai operasi ini," kata Phahrolrazi kepada Harakahdaily.

Selain jentera kerajaan, NGO dan parti politik khasnya PAS dan Pakatan Rakyat juga terlibat.

"Dakwaan Shahrizat Jabatan Kebajikan Masyarakat agensi pusat tak betul. Pengarahnya staff kerajaan negeri. Ia agensi bersama," katanya.

Beliau mengaku jabatan itu paling banyak membantu magsa di samping kerajaan tempatan, polis, bomba dan juga jabatan kesihatan dan pelajaran.

Hari ini, kata Phahrolrazi, pihaknya bersama JKR akan bersama syarikat yang menjaga konsesi trek berkembar, Gamuda, akan menyiasat kalau projek itu menyebabkan laluan banjir tersekat.

"Memang di Jalan Tun Razak dan Jalan Sultanah ada isu itu, kita akan siasat secara menyeluruh hari ini," katanya.

(Gambar: Pengerusi surau As Siddiqin, Bandar Tasik Puteri, Rawang menyerahkan sumbangan kepada ustaz Ghazali Omar (kanan) untuk diserahkan kepada mangsa banjir di Kedah)

Sementara itu, sumbangan dari luar datang mencurah-curah untuk membantu mangsa banjir di negeri Kedah.

Tengahari ini, Exco kerajaan negeri Selangor, Dr Halimah Ali menyerahkan sumbangan RM400,000 dari kerajaan negeri Selangor kepada kerajaan negeri Kedah.

Bantuan juga diserahkan oleh kawasan-kawasan PAS di seluruh negara di samping kutipan dibuat di masjid dan surau untuk diserahkan kepada mangsa banjir.

Pemuda PAS kawasan Selayang telah menghantar kira-kira 50 kampit beras dan diserahkan di bilik oeparasi banjir PAS yang terletak di Kompleks PAS Kedah, dekat Kota Sarang Semut.

Artis Raikan Hallowean Boleh Jadi Syirik -Mufti S'ngor




BUDAYA ASING... gambar Fasha bersama kenalannya meraikan Halloween yang terpapar pada Facebook kelab peminat.
Budaya asing... gambar Fasha bersama kenalannya meraikan Halloween yang terpapar pada Facebook kelab peminat.

MyMetro | Mengaibkan apabila ada artis tanah air tergamak menyambut Halloween pada 31 Oktober lalu, sedangkan perayaan itu jelas bertentangan dengan ajaran Islam. Sekurang-kurangnya dua artis dikesan berbuat demikian, dipercayai di sebuah kelab malam sekitar ibu kota, biarpun jumlahnya mungkin lebih ramai.

Artis terbabit ialah pelakon kontroversi, Fasha Sandha dan penyanyi popular, Joe Flizzow. Gelagat mereka dikesan selepas lapan gambar Fasha berpakaian seksi ala ‘Genie In The Bottle’ dimuat turun dalam laman sosial Facebook milik kelab peminatnya. Daripada jumlah itu, tiga gambar Fasha bersama teman lelakinya, Rizal Ashram atau Jejai, dua gambar solo Fasha dan masing-masing satu gambar Fasha bersama Joe, dengan seorang rakannya dikenali Azian dan gambar bertiga bersama Jejai dan Azian.

Satu gambar solo Fasha ketika menyambut hari itu turut dipapar dalam sebuah laman web hiburan tanah air. Tindakan Fasha turut mendapat reaksi berbeza daripada peminatnya dalam laman sosial berkenaan. Daripada 29 komen, ada yang menyokong pelakon berusia 26 tahun itu, ada peminat memberi nasihat secara baik dan tidak kurang juga yang mengkritiknya. Bagaimanapun, Fasha atau nama sebenarnya Nur Fasha Sandha ketika dihubungi Metro Ahad, enggan mengulas berkenaan isu itu.

Halloween berasal daripada perkataan Hallowe’en iaitu singkatan daripada ‘All Hallow’s Eve’ (malam sebelum hari ‘All Hallow’). Selain itu, perayaan ini ditentukan mubaligh Kristian bertepatan dengan hari perayaan orang gasar kerana mahukan kaum itu mempercayai agama mereka.

Bagi penganut Kristian, Halloween biasanya dikaitkan dengan syaitan, iblis, ahli sihir, hantu, goblin dan makhluk mitos yang menyeramkan. Selain itu, perayaan itu disambut dengan menghiasi rumah dan pusat beli-belah dengan simbol tertentu seperti labu yang diukir membentuk wajah menyeramkan iaitu nama Jack-o’-lantern dan berpakaian aneh.

Mengulas mengenai budaya itu, Mufti Selangor, Datuk Seri Mohd Tamyes Abd Wahid berkata, orang Islam tidak boleh terpedaya hingga terbabit dalam perayaan berkait dengan agama lain seperti Halloween kerana adalah jelas ia satu daripada upacara orang Kristian.

“Jika berkaitan dengan agama lain selain Islam, kita seharusnya berhati-hati walaupun menyertainya sekadar untuk suka-suka. Apa matlamat kita meraikannya, sedangkan ia bukan dalam budaya Islam.

“Dalam Islam, ada perkara yang boleh untuk kita raikan, kenapa kita perlu cari budaya yang berkaitan dengan agama lain seperti menyambut Halloween.

“Tidak kira hanya suka-suka atau apa juga tujuannya, orang Islam patut mengelak menyambut perayaan Hallowen kerana ia boleh mendatangkan syirik,” katanya.
Related Posts with Thumbnails