Selepas menang di pilihan raya kecil Hulu Selangor tidak lama dulu, semangat Umno dan Barisan Nasional (BN) pulih dan melonjak buat seketika.
Perkembangan pada masa itu memang cukup positif untuk Umno di mana kemenangan di negeri ditadbir Pakatan Rakyat (PR), Selangor yang ditawan pada pilihan raya umum ke-12 berlaku seiring dengan masalah kesepakatan dalam PKR dan PR.
Selepas Hulu Selangor, beberapa analisis menunjukkan masalah dalaman dihadapi PR seperti masalah dalaman PKR dan pencalonan Datuk Zaid Ibrahim yang sukar diterima sebilangan ahli PAS.
Tetapi selepas itu berlaku pilihan raya kecil di Sibu, yang menyaksikan BN tewas kepada DAP dalam satu keputusan yang mengejutkan kerana rata-rata mempercayai kekebalan BN di Sarawak dan Sabah.
Bank undi yang konsisten buat BN mula terjejas dengan keputusan ini yang telah menyampaikan kepada umum bahawa BN boleh dikalahkan di kubu kuatnya.
Kemudian, kerajaan BN mengumumkan untuk membenarkan perjudian dalam sukan bola sepak dengan lesen diberikan kepada sebuah syarikat besar yang mempunyai hubungan baik dengan kerajaan.
Di kalangan komponen BN, MIC menghadapi masalah yang besar, yang terbesar dalam sejarahnya sekaligus mengaitkan juga krisis ini dengan Umno yang dipercayai berperanan dalam agenda memastikan parti India terbesar ini dapat dikawal.
Semua perkembangan terkini ini memberi kesan berpanjangan kepada Umno dan kepimpinan Datuk Seri Najib Razak dalam menuju pilihan raya akan datang.
Pilihan raya akan datang akan menjadi pengukur prestasi Najib dan kabinetnya. Najib telah memperkenalkan slogan 1Malaysia yang mendasari formula penyatuan parti komponen BN dan rakyat pelbagai kaum Malaysia yang disasarkan untuk mengundi BN.
Beliau juga memperkenalkan standard pencapaian NKRA, bidang-bidang yang menjadi penilaian utama prestasi kerajaan.
Bagaimanapun, semua itu mungkin tidak bermakna apabila isu-isu panas yang menjadi perhatian dan mudah mencetuskan emosi seperti judi menghambat Umno pada masa ini.
Musuh tradisi Umno, PAS terus-menerus mengeksploitasi isu judi sebagai modal politik menghadapi Umno dan setakat ini, kempen PAS ini menunjukkan kesan yang sangat negatif kepada Umno, tidak kira apa yang dilakukan Umno selepas ini untuk memulihkannya.
Dalam persaingan kedua-dua Umno dan PAS dalam menjuarai isu agama dan moral, isu judi memberikan point politik yang besar kepada PAS.
Isu politik Melayu yang menjadi kempen Umno mungkin boleh menjadi tumpul akibat isu judi yang boleh dilihat sebagai tindakan untuk memenangi sokongan bukan Melayu yang merosot sejak 2008.
Tetapi isu judi ini juga mendapat tentangan kuat bukan sahaja PAS tetapi juga DAP dan PKR yang mengeluarkan kenyataan demi kenyataan mengutuk tindakan Umno itu.
Kerajaan DAP Pulau Pinang pula bertindak lebih jauh dengan mengharamkan judi bola sepak di negeri itu, memalukan lagi Umno dan kerajaan BN pimpinan Najib.
Isu judi yang besar ini sukar untuk didiamkan atau dibiarkan berlalu ekoran tindakan konsisten Pakatan dalam menanganinya.
Isu yang menyentuh emosi seperti judi memang satu isu yang sensitive dan tindakan Umno mengumumkan kebenaran untuk aktiviti itu mengundang padah, memandangkan tidak nampak persediaan perhubungan awam yang disusun oleh Umno.
Dalam usahanya menarik sokongan bukan Melayu yang tidak dapat dilihat hasilnya setakat ini, jaminan terhadap undi Melayu mungkin terancam dengan isu judi.
Pada masa yang sama juga, PAS dan PKR dua parti yang didakwa mengabaikan Melayu mula menyusun rancangan untuk mendapatkan undi Melayu.
Ketua umum PR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan sendiri matlamat baru ini manakala PAS akan mengadakan perbincangan panjang untuk mengatur strategi meningkatkan undi Melayu.
Dalam masa yang sama, PAS menubuhkan dewan untuk penyokong bukan Islam yang boleh mengancam kempen 1Malaysia Najib.
Tindakan PAS ini juga berlaku pada masa yang sama MIC yang menjadi salah satu tunjang BN bergolak, menjadikan slogan “PAS for All” lebih realistik untuk dilaksanakan berbanding 1 Malaysia.
Sebelum ini, Umno dilihat cuba campur tangan dalam pergolakan MCA. Kali ini, isu yang hampir sama berlaku melibatkan MIC pula.
Apa yang akan dilakukan Umno selepas ini akan menunjukkan kebijaksanaannya dan pengaruhnya terhadap parti-parti komponen dalam BN.
Cuma pengaruh yang berlebihan terhadap parti komponen BN akan menunjukkan sikap berlebihan parti dominan itu dalam mengawal rakan-rakan dalam BN.
Dengan pelbagai isu yang dihadapi Umno pada masa ini di dalam BN dan kerajaan, laluan menuju kejayaan dalam pilihan raya akan dating kelihatan terus mencabar.
The Malaysian Insider