Sabtu, 12 Jun 2010

Politik Gangster Umno Guna Kekerasan

Oleh Suraaya Hulaimi

PENGKALAN CHEPA 12 Jun - PAS menganggap Umno-Barisan Nasional tidak mempunyai seni dalam menjalankan pemerintahan negara kerana sentiasa menggunakan pendekatan kekerasan ke atas seteru politik mereka.

"Dalam masalah politik kita rela tidak bersama dengan Melayu UMNO kerana politik mereka tidak ada seni, sikit-sikit ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri), sikit-sikit tukar pejabat, tukar pegawai, dia tak ada seni pemerintahan.

"Dia tak tahu bagaimana cara manusia untuk sayang pada Islam, sayang pada Allah, orang Kelantan kata politik UMNO janggal, dia main kasar, ini bukan politik tapi gengstar," kata Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika merasmikan Konsert Naskah Cinta di perkarangan dewan PUTIK semalam.

PAS mencipta sejarah baru apabila menyelitkan hiburan berunsur dakwah dalam muktamarnya sebagai bukti PAS mengiktiraf hiburan berunsur Islam kata Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"Kita biasa mendengar cinta kepada perempuan, cinta kepada harta tetapi kita jarang mendengar cinta kepada Allah. Ini semua disebabkan salah kita dalam menyempitkan soal cinta.

"Bagi orang Islam yang membaca buku-buku Tasauf ada menyatakan pasal cinta tetapi bukan kepada perempuan, lelaki atau harta tetapi kepada Allah, terlalu banyak caranya, melalui syair, sajak,tafsir dan pelbagai lagi supaya dapat meningkatkan rasa cinta kepada Allah.

"Selama ini kita tidak pandai mengolah cinta dalam hati kita kepada Allah kecuali kepada makhluk lain, kita perlu angkat cinta kita kepada Allah dan inilah yang paling tepat," kata beliau lagi.

Konsert Naskah Cinta yang diketuai oleh Pengerusi Lajnah Seni Dan Budaya PAS Pusat, Dr Dulkefly Ahmad mempersembahkan lagu-lagu nasyid oleh penyanyi Muadz, Finale, Kumpulan Dendang Anak, dikir barat dan bacaan puisi oleh Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said.
Related Posts with Thumbnails