Khamis, 10 Jun 2010

5 lokasi sesuai loji nuklear - KETUA Pengarah Nuklear Malaysia

KETUA Pengarah Nuklear Malaysia, Datuk Dr. Daud Mohamad. - Foto Saifullizan Tamadi


KUALA LUMPUR: Beberapa kerajaan negeri, termasuk Perak dan Negeri Sembilan menunjukkan minat dan secara tidak rasmi mula melobi untuk memastikan loji jana kuasa nuklear pertama negara yang dianggarkan membabitkan kos antara RM6.5 bilion hingga RM9.75 bilion itu dibangunkan di negeri masing-masing.
Ketika ini, kira-kira lima lokasi dikenal pasti sesuai untuk menempatkan loji berkenaan dan semuanya membabitkan negeri yang mempunyai pesisir pantai, sama ada di timur atau barat Semenanjung, berbanding kira-kira lapan tapak yang didapati sesuai dalam kajian dijalankan pada 1970-an.

Jumlah itu berkurangan berikutan faktor pembangunan dan kadar kepadatan penduduk yang menyukarkan pembinaan loji jana kuasa nuklear dilaksanakan di kawasan berkenaan.

Mengikut kajian, loji yang akan dibina dengan keupayaan 1,000 MegaWatt (MW) itu memerlukan tapak seluas 80 hektar dengan zon penampan sepanjang 10 kilometer bagi memenuhi keperluan tenaga elektrik antara 14,000 dan 18,000 MW.

Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia), Datuk Dr Daud Mohamad, berkata selain agensi berkenaan, kerajaan negeri terbabit juga mencuba nasib dengan melobi menerusi Kerajaan Pusat dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebagai pihak yang bertanggungjawab melaksanakan projek berkenaan.

“Tindakan kerajaan negeri terbabit membuktikan projek berkenaan sesuatu yang mampu memberi kesan pembangunan negeri dan membantu penduduk meningkatkan mutu kehidupan, terutama dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada 4,000 tenaga kerja profesional, separa profesional dan buruh binaan.
“Malah, ia menjadi amalan sama di Korea dan Jepun apabila pihak berkuasa tempatan negara itu akan berlumba-lumba memastikan kawasan mereka dipilih untuk pembinaan loji jana kuasa nuklear kerana ia mampu mengubah kehidupan rakyat.

“Bagaimanapun, keputusan mengenai pemilihan tapak itu akan diputuskan menjelang 2012 dan mula dibina pada 2015, selepas mengambil kira dengan terperinci aspek kesesuaian lokasi dan keselamatan,” katanya kepada Berita Harian di sini, semalam.

Baru-baru ini, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui mengumumkan mengenai kebenaran yang diperoleh kementerian itu oleh Majlis Ekonomi untuk mengenal pasti tapak yang sesuai untuk loji yang dijangka beroperasi pada 2021.

Chin berkata, loji berkenaan perlu dibina di kawasan mempunyai permintaan tenaga yang tinggi dan mempunyai jangka hayat antara 50 hingga 70 tahun dengan mengutamakan aspek keselamatan, sumber manusia dan lokasi.

Bagaimanapun, keputusan akhir membina loji berkenaan tertakluk kepada Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) yang turut menyedia teknologi dari Korea Selatan, China, Perancis atau Jepun.

Daud berkata, kerajaan perlu menggubal dasar bagi menambah opsyen sumber tenaga berbanding sumber sedia ada iaitu minyak dan gas, hidro, arang batu dan tenaga diperbaharui sebelum seterusnya mengisytiharkan pembinaan loji berkenaan serta tujuan pelaksanaan projek itu kepada IAEA secara rasmi.

Mengenai penerimaan masyarakat berkaitan projek berkenaan, katanya, penduduk di kawasan terpilih seharusnya menerima kehadiran projek berkenaan kerana ia akan membawa pembangunan yang berterusan selain peluang pekerjaan sepanjang tempoh pembinaan yang dianggarkan antara tiga hingga enam tahun.

“Risiko yang dihadapi hanya pada kadar peratusan kecil kerana operasi loji akan dikawal selia dengan ketat bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini,” katanya.

~BHarian
Related Posts with Thumbnails