KUALA LUMPUR 9 Jun - Jemaah menteri telah memutuskan bahawa bangunan parlimen baru akan dibina di Putrajaya, manakala bangunan sedia ada di Kuala Lumpur akan dijadikan bangunan warisan.
Menurut jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Kota Melaka Sim Tong Him, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz berkata perkara itu diputuskan oleh jemaah menteri baru-baru ini.
Nazri bagaimanapun tidak memberikan butiran lanjut berhubung pemindahan itu kerana perkara itu masih dalam kajian awal oleh Jabatan Kerja Raya.
Sementara itu Nazri yang ditemui selepas beliau menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan pagi tadi berkata bangunan parlimen yang sekarang ini akan dibaikpulih dan tidak akan diruntuhkan.
"Kita anggar kos RM150 Juta untuk menaik taraf bangunan parlimen yang ada sekarang ini untuk membaiki elektrik dan bumbungnya.
"Pada masa akan datang kalau kita nak bina bangunan parlimen yang baru akan menggunakan kos RM800 juta," ujar Nazri.
Tambah Nazri lagi, belum ada keputusan muktamad dan masih lagi dalam pertimbangan.