PAS menganggap sumbangan duit hasil judi bernilai RM 525 juta yang diberikan oleh Tan Sri Vincent Tan bagi tujuan kebajikan melalui Yayasan Better Malaysia Foundation adalah satu rasuah dan penghinaan kepada rakyat yang menentang kelulusan judi bola baru-baru ini.
Sumbangan ini diberikan dengan harapan rakyat menutup mulut mereka dari menentang kelulusan judi bola yang diberikan Kerajaan kepada syarikat beliau.
PAS melihat bahawa beliau cuba mempermain-mainkan tuntutan rakyat yang mahu lesen judi ditarik balik.
Sumbangan beliau ini adalah datang dari sumber yang haram dan sesuatu yang haram tidak boleh digunakan untuk melakukan perkara kebaikan kerana ia diperolehi melalui penindasan kepada orang lain.
Kaki-kaki judi dinegara ini bertambah setiap tahun berikutan pertambahan pusat-pusat judi dan jenis lesen judi yang diluluskan Kerajaan.
Masalah sosial, beban hutang, kemiskinan, keruntuhan keluarga dan masyarakat akibat gejala judi adalah antara sumbangan lain Vincent Tan kepada masyarakat yang tidak diceritakan oleh media.
PAS berharap agar Kerajaan serius menangani masalah masyarakat ini dan menarik balik kelulusan judi yang diberikan.
Ustaz Idris Ahmad,
Ketua Penerangan PAS Pusat.