Oleh Faizal Ezzany
KUALA LUMPUR 7 Jun - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menganggap usul 15 perkara yang dibentangkan Perdana Menteri hari ini bagi mengutuk serangan kejam tentera Rejim Zionis Israel ke atas konvoi kapal 'Freedom Flotilla' yang membawa bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza tidak mempunyai kesungguhan dan tekad menunjukkan Malaysia serius dalam isu antarabangsa tersebut.
Usul khas itu kata Anwar menunjukkan sikap sebenar kerajaan terhadap dalam kejadian yang meragut 9 nyawa aktivis dan lebih 30 mangsa yang cedera.
Anwar Ibrahim berkata usul itu perlu ditambah bagi menunjukkan Malaysia benar-benar prihatin kepada apa yang berlaku.
"Usul yang dikatakan oleh Najib nampak kesungguhannya tetapi ia perlu ditambah agar menampakkan lagi ketegasan kita dalam hal sedemikian. Apa yang ingin saya katakan Najib mengusul agar Israel dirujuk kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa disebabkan sebelum ini belum ada negara yang mengusulkannya, maka Najib mengarah Turki mengemukakan usul tersebut agar Israel diadili.
"Saya ingin membuat penambahan agar Najib dan kerajaan Malaysia bekerjasama dengan Kerajaan Turki dalam mengemukan usul membawa Israel kemuka keadilan, dengan sikap ini dapat menunjukkan kita bertegas dan tidak boleh berkompromi dengan kezaliman Israel.
"Keengganan masyarakat antarabangsa menerima keputusan rakyat Palestin yang membuat pilihan secara demokrasi yang memilih Hamas sebagai kerajaan mereka menyebabkan kesempatan ini digunakan oleh Israel untuk turut tidak mengiktiran Hamas. Amerika Syarikat juga mengambil tindakan membatalkan kemenangan Hamas itu kerana sikap mereka yang bersekutu dengan peperintahan Israel.
"Saya menyeru agar Perdana Menteri mengkaji semula agar Malaysia tidak tunduk kepada kuasa Amerika dan Israel dan mengiktiraf apa yang dilakukan oleh rakyat Palestin adalah pilihan mereka melalui proses demokrasi. Usaha menafikan suara Hamas dan mengikut suara Amerika akan meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara yang bacul, penakut dan bukan negara yang merdeka.
"Tekanan terhadap Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dalam mengeluarkan ketetapan dilihat sangat lemah, Malaysia perlu tahu kenapa PBB gagal mengeluarkan ketetapan tersebut, ini disebabkan oleh tekanan yang diberikan oleh Amerika.
"Sebab apa kita mahu Malaysia tegas dalam hal tersebut dan jangan tunduk kepada kuasa Amerika kerana Israel menjadi kuat dan angkuh disebabkan oleh kuasa Amerika dibelakang mereka," bahasnya.
Anwar memberitahu jika usul yang tegas dilakukan oleh Perdana Menteri akan menunjukkan Malaysia sebagai sebuah negara yang merdeka tidak akan berdiam diri dalam soal keganasaan terhadap serangan kapal bantuan kemanusiaan dan juga penduduk Palestin mahupun Gaza, selain tidak akan tunduk dengan suara kuasa besar dunia seperti Amerika.
Sebelum itu Najib telah mengemukakan Usul Khas terhadap kekejaman Israel dengan mengambil beberapa ketetapan :
1. Mengutuk sekeras-kerasnya serangan tentera rejim Zionis di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu ke atas kapal misi bantuan kemanusiaan ke Gaza yang telah mengakibatkan kehilangan banyak nyawa dan kecederaan kepada orang awam.
2. Merakamkan rasa kecewa tidak terhingga tindakan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di atas kenyataan yang begitu lemah terhadap serangan ganas Rejim Zionis ke atas kapal misi bantuan tersebut.
3. Memutuskan untuk mendesak Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu supaya mencela Israel dan bukannya semata-mata membuat kenyataan yang lemah.
4. Memutuskan bagi Malaysia untuk bekerjasama dengan negara-negara Anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), Pergerakkan Negara-negara Berkecuali (NAM), Liga Arab dan negara-negara sependapat untuk mendukung prinsip undang-undang antarabangsa termasuk undang-undang hak asasi manusia, undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam menangani krisis kemanusiaan di Gaza.
5. Mengesa negara-negara sependapat untuk mengemukakan usul kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi merujuk situasi akibat serangan tentera rejim Zionis Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
6. Mengesa negara-negara sependapat untuk mengemukakan usul kepada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi mendapatkan Advisory Opinion Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
7. Memohon supaya negara Turki mempertimbangkan untuk mengambil tindakan di bawah peruntukan Statut Rome, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
8. Menyeru supaya satu siasatan bebas yang penuh dibuat terhadap serangan Tentera rejim Zionis dan bukannya setakat siasatan yang tidak berpihak.
9. Menyokong sepenuhnya desakan masyarakat antarabangsa terutamanya Majlis Hak Asasi Manusia melalui Resolusi yang telah diterima pada 2 Jun 2010, supaya siasatan yang berakauntabiliti dan bebas sepenuhnya dibuat mengenai serangan ini.
10.Menuntut Israel supaya tidak menghalang sebarang konvoi bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin, khususnya di Gaza, selaras dengan Resolusi 1860 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
11.Mengalu-alukan tindakan negara Mesir membuka sempadan Rafah tanpa syarat bagi memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan tanpa sebarang halangan.
12.Merayu kepada masyarakat antarabangsa supaya terus menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Wilayah Palestin di Gaza tanpa menghiraukan dan gentar kepada ancaman rejim Zionis.
13.Merakamkan penghargaan kepada negara-negara Jordan, Turki, Ireland, filipina dan juga negara-negara lain yang terlibat dalam usaha-usaha membebaskan rakyat malaysia yang ditahan oleh rejim Zionis.
14.Menyeru rakyat Palestin supaya bersatu dengan tujuan mempertahankan hak mutlak mereka bagi menubuhkan negara Palestin yang bebas, merdeka dan berdaulat.
15.Menzahirkan sokongan padu rakyat Malaysia kepada perjuangan rakyat Palestin ke arah pembentukan negara yang bebas, merdeka dan berdaulat.