Rabu, 9 Jun 2010

Hubungan Rapat Apco-Zionis Israel Tidak Boleh Dinafikan

KUALA LUMPUR 9 Jun - Pertalian rapat firma komunikasi antarabangsa, Apco Worldwide dengan rejim Zionis Israel yang didedahkan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim Mac lalu tidak boleh dinafikan apabila beberapa tokoh utama dan penasihat syarikat yang beribu pejabat di Washington DC itu pernah berkhidmat dengan pentadbiran Israel atau agensi perisikan negara haram itu.

Menurut Ahli Parlimen Selayang, William Leong dalam blognya antara penasihat Apco ialah Itamar Rabinovich, bekas duta Israel ke Amerika Syarikat.

Itamar juga pernah menjadi duta Israel kepada perundingan Perjanjian Oslo pada September 1993 yang membincangkan konsesi wilayah kepada rakyat Palestin sebagai tukaran kepada keamanan.

Bekas duta itu tergolong dalam kelompok Zionis neo-konservatif yang menentang keras Perjanjian Oslo.

Itamar pernah dilaporkan sebagai berkata,"saya menjadi duta ke Amerika Syarikat kepada rundingan damai itu selama empat tahun dan fundamentalis Kristian secara lantang menentang rundingan damai tersebut".

Disamping Itamar, tokoh dan penasihat Apco yang lain termasuk Shimon Shein, bekas Duta Israel ke Jerman, Doron Bergerbest-Eilon, bekas ketua perisikan kepada pentadbiran Israel dan Elliot Abrams, mantan Timbalan Penasihat Keselamtan Negara di dalam pentadbiran Presiden George W. Bush.

Barisan pegawai tinggi Apco di ibu negara Israel, Tel Aviv juga mempunyai hubung rapat dengan rejim Zionis itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Apco di Israel, Gad Ben-Ari pernah menjadi penasihat peribadi kepada mendiang Perdana Menteri Yishak Rabin. Apco di Israel mengendalikan pelbagai program komunikasi dan strategik untuk pertubuhan korporat dan berkaitan kerajaan.

Satu seorang anggota Majlis Penasihat Apco Antarabangsa ialah Doron Bergerbest-Eilon.

Agensi ketenteraan dan perisikan Israel diketahui mempunyai hubungan dengan badan-badan yang tidak sehaluan dengan dasar domestik dan luar Malaysia.

Salah satunya ialah dasar Singapura berhubung dengan pertahanan negara itu.

Adalah menjadi pengetahuan umum bahawa penasihat ketenteraan Israel membantu membangunkan angkatan tentera Sibgapura dengan bermodelkan kepada angkatan tentera Israel.

"Badan perisikan tentera Israel mempunyai hubungan kerja yang rapat dengan Singapura dan juga negara yang menentang negara-negara Arab yang menyokong penyelesaian isu Palestin.

"Oleh kerana itu sebarang maklumat yang diperolehi oleh anggota badan perisikan tentera Israel, samada berstatus bersara atau tidak, sememangnya menjadi ancaman keselamatan kepada negara.

"Adalah jelas kerajaan Umno-BN mengupah sebuah syarikat yang mempunyai hubungan amat rapat dengan rejim Zionis Israel," tulis Leong lagi.

Kini pendedahan Anwar pada 30 Mac dalam Dewan Rakyat telah membawa kepada beberapa rentetan peristiwa yang membawa kepada tindakan Umno-Barisan Nasional mengheret Ahli Parlime Permatang Pauh itu ke Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan pada 8 Jun.

Terdahulu pendedahan Anwar itu adalah sebagai menyahut cabaran Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan yang mahukan beliau memberi penjelasan dalam tempoh seminggu berhubung kenyataan Ketua umum KEADILAN itu pada 22 Mac berkaitan dakwaan konsep 1Malaysia diciplak dari slogan One Israel.

Malah semasa perbahasan Dewan Rakyat pada 7 April, Ahli Parlimen Kuala Krau bangun untuk mengusulkan agar Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfiz Omar dihadapkan ke jawatankuasa itu kerana melaungkan 'Umno Apco' beberapa kali.

Sokongan padu yang dipamerkan oleh Umno-BN mempertahankan Apco menyerlahkan lagi sikap hipokrit dan pro-Zionis pimpinan Umno-BN sehingga ke tahap tindakan mahu menggantung keanggotaan Anwar dalam parlimen.

-SK
Related Posts with Thumbnails