Khamis, 10 Jun 2010

Gertak beri amaran jangan halang program Melayu Bangkit

Oleh Syed Mu’az Syed Putra

KUALA LUMPUR, 10 Jun — Gerakan Kebangkitan Rakyat (Gertak) memberi peringatan kepada semua pihak terutama pembangkang supaya tidak menghalang perjalanan program perhimpunan “Melayu Bangkit” di Kuala Terengganu, Isnin ini.

“Kali ini saya minta semua pihak terutamanya pembangkang supaya tidak lagi menghalang perjalanan program ini,” kata Pengerusi Gertak Razali Idris beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider.

“Sebelum ini pembangkang menjadikan perhimpunan Melayu Bangkit sebagai permainan politik mereka dengan menyebarkan fitnah dan ia telah menimbulkan ketakutan dalam kalangan rakyat sehingga menyebabkan ia terpaksa ditangguhkan,” katanya.

Justeru kata Razali, beliau berharap perhimpunan minggu depan dapat berjalan dengan lancar tanpa sebarang halangan daripada mana-mana pihak.

Perhimpunan “Melayu Bangkit” yang sepatutnya diadakan pada 13 Mei lalu terpaksa ditunda atas aspek keselamatan.

Ia ditangguhkan ekoran bantahan pelbagai pihak termasuk PAS. Malah, MCA dan MIC, komponen Barisan Nasional juga membantah program tersebut.

Razali berkata pengisian program itu tidak berubah daripada rancangan asal iaitu membincangkan isu yang melibatkan kaum Melayu termasuk Dasar Ekonomi Baru (DEB), Wawasan 2020 dan perancangan ke arah penyatuan orang Melayu secara khusus.

“Konsep dan pengisian program tetap sama dan saya harap melalui perhimpunan ini orang Melayu dapat bersatu hati dalam mempertahankan bangsa dan agama tanpa mengira fahaman politk masing-masing.

“Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan menyampaikan ucaptama pada program ini dan saya harap orang ramai dapat hadir dan mendengar apa yang ingin dikatakan oleh beliau nanti,” katanya.

Perhimpunan itu turut mendapat kerjasama Institut Integriti Negeri Terengganu (IINT).

“Kita menyasarkan seramai 10,000 orang terdiri daripada masyarakat setempat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin politik akan menyertai perhimpunan ini.

“Selain itu, kita juga berharap pemimpin parti pembangkang dapat menghadirkan diri dalam perhimpunan ini dan memahami apa erta sebenar penganjuran perhimpunan ini sebelum membuat sebarang keputusan,” kata Razali.

Related Posts with Thumbnails