Isnin, 7 Jun 2010

Tokoh Islam setuju penubuhan Baby Hatch

KUALA LUMPUR: Tokoh Islam dalam negara bersetuju dengan penubuhan Baby Hatch atau Pusat Jagaan Bayi Tidak Diingini yang pertama di Malaysia, yang boleh menyelamatkan bayi yang tidak diingini.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, berkata bayi yang tidak lagi diingini mesti diselamatkan, manakala ibu bapa bayi berkenaan harus dikenakan tindakan yang keras supaya memberi pengajaran kepada orang lain.

“Saya menyokong langkah Kementerian Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Baby Hatch dalam isu ini kerana bayi berkenaan tidak berdosa.

“Dulu kita tidak bersetuju dengan idea seperti ini kerana takut menghantar mesej yang salah kepada orang ramai terutama remaja, tapi pada masa sekarang kita sangat perlukan tempat sebegini untuk bayi yang tidak berdosa,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Kelmarin, Penaung OrphanCARE yang juga Sultanah Pahang, Sultanah Kalsom melancarkan Pusat Perlindungan Bayi Tidak Diingini atau Baby Hatch pertama dalam negara.

Presiden OrphanCARE, Datuk Adnan Mohd Tahir, berkata organisasi itu bercadang mewujudkan banyak lagi pusat perlindungan bayi di seluruh negara bagi menyediakan tempat untuk bayi yang dibuang atau tidak diingini lagi. Baby Hatch yang beroperasi 24 jam menyediakan tempat perlindungan sihat dan selamat kepada bayi terbabit sebelum diserahkan kepada keluarga angkat.

Bekas Pegawai Agama Istana Negara, Datuk Abu Hassan Din Al-Hafiz pula berkata, usaha mewujudkan Baby Hatch adalah baik kerana ia menjadi tempat perlindungan bayi yang tidak bersalah serta boleh menjamin masa depan bayi itu.

“Kalau kita pandang dari segi satu sudut memang menggalakkan zina tapi kita tak boleh biarkan bayi yang dilahirkan dibuang dan meninggal begitu saja.

Malahan bayi berkenaan boleh diberikan kepada pasangan suami isteri yang mahukan anak dan Islam menganjurkannya,” katanya.

Penasihat Majlis Agama Negeri Johor, Datuk Noh Gadut, berkata gejala buang bayi pada masa kini sudah semakin teruk dan kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan wajar mengambil tanggungjawab menyelesaikan perkara berkenaan.

“Anak-anak kecil ini tidak berdosa dan wajib kita sediakan perlindungan kepada mereka, mana tahu mereka ini membesar menjadi anak yang soleh dan menjadi pejuang negara pada masa depan.

“Yang bersalah adalah ibu bapa anak kecil itu. Masyarakat harus bersama mencegah penyakit sosial ini termasuk melaksanakan undang-undang cegah zina yang ketat,” katanya.

Beliau turut menyarankan masyarakat supaya berfikiran terbuka dalam menyelesaikan masalah buang bayi serta bertanggungjawab mencegah perbuatan zina di kalangan remaja seperti yang disyorkan oleh Islam.

~BH
Related Posts with Thumbnails