Rabu, 9 Jun 2010

Ascot Sports beroperasi tidak lama lagi

PETALING JAYA: Perniagaan ramalan judi sukan oleh syarikat Ascot Sports Sdn Bhd akhirnya akan beroperasi juga tidak lama lagi, walaupun mendapat bantahan di Parlimen dan orang ramai.

Ascot Sports dimiliki 70% oleh Tan Sri Vincent Tan, yang bercadang untuk menjual sahamnya bernilai RM525 juta kepada Berjaya Corp Bhd, sebuah syarikat di mana beliau sendiri sebagai pengerusi, ketua pegawai eksekutif dan pemegang saham terbesar.

Para analisa berkata, kelulusan untuk pengeluaran semula lesen telah diberi dan sebarang kelewatan adalah ekoran dari isu ini telah dipolitikkan dan langkah melicinkan kaedah operasinya.

Keyakinan bahawa kelulusan ini telah diberi diperkuatkan lagi dengan komen daripada wakil Ascot Sports yang dimuatkan di akhbar harian berbahasa Inggeris dan dihantar kepada Starbiz semalam.

Wakil tersebut menyatakan bahawa berdasarkan surat kelulusan, syarikat (Ascot Sports) kini sedang berbincang dengan kementerian (Kementerian Kewangan) untuk mencapai persetujuan tentang butiran lanjut operasinya.

Isu percukaian

"Ini termasuklah isu percukaian untuk memastikan kelebihan pada tempahan melalui perjudian haram dapat dikurangkan dan supaya Ascot Sports dapat membantu kerajaan mengurangkan aktiviti judi haram," kata wakil itu.

Seorang penganalisa dari sebuah bank pelaburan tempatan berkata "akhirnya kelulusan ini akan diberi walaupun maklum balas dari orang ramai dalam seminggu terus dijalankan."

Beliau merujuk kepada komen daripada Donald Lim, timbalan menteri kewangan yang baru dilantik hari Isnin bahawa kementeriannya sedang mengumpul maklum balas dan akan membuat keputusan pada minggu depan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, dalam jawapan bertulis beliau kepada Ahli Parlimen PKR Batu, Tian Chua di Dewan Rakyat Isnin lalu berkata, kerajaan masih dalam proses mendapatkan maklum balas dari pelbagai golongan mengenai cadangan lesen judi itu yang bertujuan untuk mengurang dan akhirnya menghapuskan aktiviti judi haram.

Penganalisa itu berkata, kerajaan sedang menggubal dasar yang lebih telus supaya tidak memberi gambaran yang salah sepertimana yang difahamkan selama ini.

Beliau berkata, isu ini tidak memberi imej yang baik kepada kerajaan kerana kelulusan telah diberi tetapi maklum balas dan pandangan dari pelagai pihak akan dikumpulkan sebelum lesen dikeluarkan semula.

Seorang lagi penganalisa berkata, tindakan berhati-hati kerajaan setakat ini lebih dilihat sebagai langkah Najib untuk melihat respon daripada rakyat kerana penentangan terhadap isu ini semakin kuat.

Kutipan hasil judi ini boleh mencecah RM6 bilion setahun dan sekiranya kerajaan mengenakan cukai sebanyak 8% sahaja maka hasilnya berjumlah RM480 milion, kata seorang penganalisa.


freemalaysiatoday

Related Posts with Thumbnails