CIK Normah membaca artikel dalam sisipan New Straits Times, Life & Times pada 7 Jun lalu. Dalam satu ruangan sisipan itu, ia memaparkan topik yang menjadi pilihan untuk diketahui pelayar laman sesawang, Google. Dalam erti kata lain, topik atau isu paling hangat yang hendak diketahui umum.
Selain, kekejaman Israel yang menyerang misi bantuan ke Gaza dan filem Lagenda Budak Setan, cerita Rozita Che Wan turut menjadi pilihan dalam beberapa tempoh. Dalam senarai berita Top 10 yang disiarkan, janda anak dua itu berada di kedudukan nombor tujuh. Kelas ‘gitu’.
Mungkin Rozita menjadi panas dan bualan apabila memakai skirt mini ketika menghadiri pertandingan akhir Akademi Fantasia musim kelapan baru-baru ini. Tak habis-habis, kakak kepada Ayu Raudhah ini menerima tempias kontroversi yang tak terduga.
Sebelum ini umum tahu kisah yang mengaitkannya dengan golongan VIP dan ahli sukan menjadi-jadi. Malah impiannya untuk bebas kontroversi pada tahun ini juga tidak kesampaian. Sebaliknya, bekas ratu cantik yang menjadi kegilaan ramai itu terus diuji termasuklah kisah dia memakai skirt pendek.
Memang orang cantik macam kami ini sering diduga. Sudahlah popular dan diperhatikan, tak lepas-lepas menjadi mangsa serangan tertentu. Cik Normah sendiri melalui perkara yang sama. Cuma mujur Cik Normah sudah bersuami. Mungkin penamat kontroversi Rozita hanya akan berakhir selepas dia menamatkan zaman jandanya kot.
Tak apalah, Rozita pun sedang bahagia dengan jejaka bermula dengan huruf pangkal S. Siapa tahu jodoh mereka akan ke jenjang pelamin. Cik Normah masih belum berkesempatan melihat wajah arjuna hati Rozita. Tapi menurut teman sepejabat Cik Normah, boleh tahan juga paras rupa lelaki yang bertakhta dalam hati Rozita itu. Elok ‘gitu’. Tapi kalau sudah sama-sama suka, janganlah pula tunggu lama-lama.