Jumaat, 28 Mei 2010

Vincent Tan Mohon Lesen Judi Dari Pas, Husam Simpan Surat Permohonan

Kerajaan Persekutuan pimpinan Umno Barisan Nasional (BN) harus mencontohi Kerajaan Kelantan yang tegas, komited dan tidak berkompromi dalam isu perjudian.

Tidak seperti kerajaan Umno BN, kerajaan Pas Kelantan yang didatangi Tan Sri Vincent Tan tetap tidak tunduk kepada keinginan ahli korporat itu.

Timbalan Pesuruhjaya Pas Kelantan, Datuk Husam Musa menyatakan Vincent Tan datang memohon untuk memperoleh lesen judi selepas tamat pilihan raya umum 2008 tetapi ditolak mentah-mentah.

Vincent Tan melalui Kumpulan Berjaya yang memperoleh lesen judi bola yang diluluskan kerajaan Umno BN baru-baru, sempena kejohanan Piala Dunia Jun ini.

"Pada Jun 2008, ambo (saya) diberi satu surat dari Vincent Tan. Surat itu dialamat pada Menteri Besar Kelantan dan untuk ambo. Nak suruh lulus semula lesen judi 4 nombor ekor di Kelantan.

"Surat itu masih simpan, tak tunjuk pada Tok Guru kerana ambo jawab balik kepada wakil Vincent Tan - tak payah sampai Tok Guru. Aku bagitau, permohonanmu tidak layak sama sekali," kata Husam ketika berucap di Majlis Ceramah Perdana Isu Judi di sini, malam tadi.

Husam menegaskan tidak ada lesen judi diluluskan kerajaan Kelantan sejak Pas memegang tampuk kuasa negeri pada 1990 dan kesal kerana Datuk Dr Awang Adek Hussin bersetuju dengan pelaksanaan judi bola.

Kata Husam, pengumuman yang dibuat Dr Awang Adek mengecewakan penduduk Bachok yang mengundi Timbalan Menteri Kewangan ini, sebagai Ahli Parlimen pada pilihan raya umum lalu.

"Munasabahlah Islam larang perjudian dan munasabahlah bagi seorang yang waras pemikiran mementingkan akhlak dan nasib rakyat untuk berfikir bagaimana untuk kurangkan tabiat ini.

"Di Barat, mereka tubuhkan NGO untuk mendidik rakyat hentikan ketagihan judi. Tetapi malangya, ada orang Kelantan, orang Melayu, orang Islam sokong judi," katanya lagi. -TVS
Related Posts with Thumbnails