Khamis, 27 Mei 2010

Perhimpunan GAS Ahad Ini Dapat Permit Polis

KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Polis akan tetap memantau perhimpunan Gerakan Anti Samy Vellu (GAS) di sini Ahad ini walaupun telah diberikan permit, kata Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman.

Beliau berkata walaupun perhimpunan itu diadakan di lokasi tertutup (Dewan Merdeka PWTC) namun anggota polis akan tetap ditempatkan bagi mengelak sebarang insiden tidak diingini.

"Difahamkan ribuan penyokong akan turut serta, jadi kita akan tetap memantau kerana kita tidak mahu sebarang insiden yang tidak diingini berlaku yang boleh mengganggu gugat ketenteraman," katanya ketika dihubungi Bernama Rabu.

Beliau diminta mengulas permohonan permit bagi perhimpunan itu oleh bekas Timbalan Ketua Pemuda MIC, V Mugilan Isnin lepas.

Mugilan membuat permohonan itu di Balai Polis Dang Wangi dan seramai 10,000 orang dijangka menghadiri perhimpunan tersebut bagi mendesak Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu berundur dari jawatannya Julai depan dan bukan pada 2011 seperti yang dihasratkan beliau.

-- BERNAMA
Related Posts with Thumbnails