Jumaat, 28 Mei 2010

Kekayaan 40 Individu Terkaya Malaysia Naik 42 Peratus Kepada RM168 Bilion

SINGAPURA: Harta semua 40 individu terkaya negara kini bernilai AS$51 bilion (RM168 bilion), meningkat daripada AS$36 bilion (RM118b) tahun lepas, dan lebih tinggi daripada rekod sebelum ini iaitu sebanyak AS$46b (RM151b) yang dicatatkan pada 2008.

Menurut Forbes Asia dalam Senarai Terkaya Malaysia 2010 yang diterbitkan hari ini, kekayaan bersama mereka telah meningkat 42 peratus, didorong oleh pertumbuhan ekonomi negara.

Peningkatan keseluruhan kekayaan juga sejajar dengan kenaikan 32 peratus di Indeks Kompposit Kuala Lumpur dan kenaikan 11 peratus Ringgit Malaysia berbanding dolar AS sepanjang 12 bulan ini, kata Forbes.

Tempat pertama senarai masih lagi Robert Kuok Hock Nien yang memegang kedudukan itu semenjak 2006 apabila Forbes Asia mula menyenaraikan 40 individu terkaya Malaysia.

Forbes berkata kekayaan Kuok meningkat kepada AS$12b (RM39b), peningkatan AS$3b (RM10b) sepanjang tahun lepas.

Ananda Krishnan pula kekal pada tempat kedua dengan AS$8.1b (RM27b), peningkatan AS$1.1b (RM3.6b) daripada tahun lepas.

Syarikatnya, Maxis Communications, pembekal perkhidmatan telefon mudah alih terbesar negara, disenarai awam tahun lepas dan mengumpul AS$3.4b (RM11b) dalam IPO terbesar negara.

Masih di tempat ketiga adalah Tan Sri Lee Shin Cheng dengan AS$4.6b (RM15b), lebih tinggi daripada AS$3.2b (RM10b) tahun lepas.

Jutawan berusia 71 tahun itu mengetuai IOI Group, salah satu penggendali utama penapisan minyak sawit. Syarikat itu dilaporkan melabur AS$300 juta (RM987j) untuk mengembang.

Forbes berkata bukan hanya tiga jutawan itu menyaksikan peningkatan pada kekayaan mereka, bahkan 27 orang lain dalam senarai itu juga mencatatkan pertumbuhan pada nilai bersih mereka, terutamanya jutawan teknologi Goh Peng Ooi, disenaraikan pada No. 16, yang mengalami peningkatan peratusan terbesar.

Kekayaannya meningkat kepada AS$425j (RM1,398j) daripada AS$112j (RM368j) sebelum ini, satu peningkatan sebanyak 280 peratus.

Forbes berkata tahun ini, nilai bersih minimum sebanyak US$110j (RM362j) diperlukan untuk layak memasuki senarai itu berbanding AS$90 (RM296j) tahun lepas.

Ia berkata bilangan jutawan juga telah meningkat dengan kini seramai 10 jutawan mempunyai nilai bersih sepuluh angka berbanding sembilan, tahun lepas.

Individu baharu yang memasuki senarai ini termasuk Datuk Shahril dan Shahriman Shamsuddin yang berkongsi tempat ke-23 dengan nilai bersih AS$270j (RM888j).

Kedua-dua mereka mempunyai kepentingan sama banyak dalam Sapura Group, yang diasaskan oleh ayah mereka.

Satu lagi wajah baharu ialah kontraktor Datuk A K Nathan, 54, yang disenaraikan pada tempat ke-24 dan bernilai AS$250 juta.

Syarikatnya, Eversendai, terlibat dalam banyak pembinaan di Timur Tengah termasuk Burj Khalifa di Dubai.

Forbes berkata tiga individu kembali tersenarai selepas terkeluar sebelum ini, iaitu Datuk Seri Nazir Razak, seorang ketua perkhidmatan kewangan di CIMB.

Beliau disenaraikan pada tempat ke-32 dengan nilai bersih US$145 juta.

Senarai 10 individu terkaya di Malaysia ialah: 1) Robert Kuok Hock Nien; AS$12 bilion 2) T. Ananda Krishnan; AS$$8.1 bilion 3) Tan Sri Lee Shin Cheng; AS$4.6 bilion 4) Puan Sri Lee Kim Hua; AS$3.9 bilion 5) Tan Sri Quek Leng Chan; AS$3.85 billion 6) Tan Sri Teh Hong Piow; AS$3.8 bilion 7) Tan Sri Yeoh Tiong Lay; AS$2.5 bilion 8) Tan Sri Syed Mokhtar AlBukhary; AS$1.7 bilion 9) Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun; AS$1.6 bilion 10) Tan Sri Tiong Hiew King; AS$1.2 bilion

Senarai penuh individu terkaya Malaysia boleh didapati dalam terbitan Jun 2010 Forbes Asia yang telah mula dijual sekarang. - BERNAMA

Related Posts with Thumbnails