Selasa, 25 Mei 2010

Akur tubuh syarikat usaha sama S'pura-M'sia

Firma akan bangunkan projek ikonik di Wilayah Pembangunan Iskandar di Johor

MENCARI DAN MENCAPAI HURAIAN: Delegasi Singapura (kanan), diketuai Perdana Menteri Lee Hsien Loong, mengadakan perbincangan dengan delegasi dari Malaysia, yang diketuai Perdana Menteri Datuk Seri Najib, untuk menghuraikan isu-isu tertunggak POA antara dua negara itu. -- Foto M.O. SALLEH



Oleh
Hisham Hasim

SINGAPURA dan Malaysia bersetuju menubuhkan sebuah syarikat usaha sama bagi pembangunan projek ikonik di Wilayah Pembangunan Iskandar Malaysia, yang akan menjadi mercu tanda hubungan erat dua negara ini.

Selain itu, pembinaan sebuah Bandar Kesejahteraan dalam wilayah di Johor Bahru itu turut dibincang dalam pertemuan retreat antara Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan rakan sejawatannya dari Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang berada di sini dalam rangka lawatan dua hari.

Menurut satu kenyataan bersama yang dikeluarkan sejurus selepas pertemuan tersebut semalam, dua pemimpin itu bersetuju syarikat Khazanah Nasional Berhad dan Temasek Holdings Limited akan menubuhkan sebuah syarikat usaha sama 50-50 bagi pembangunan Bandar Kesejahteraan itu.

Kededua pemimpin ghairah untuk melihat pelancaran projek tersebut dalam masa setahun, tambah kenyataan itu.

Projek tersebut kali pertama diketengahkan Mei tahun lalu ketika lawatan pertama Datuk Seri Najib ke Singapura selaku Perdana Menteri Malaysia selepas menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi sebulan sebelumnya.

Dalam satu sidang media sejurus selepas pertemuan tersebut semalam, Datuk Seri Najib berkata beliau dan Encik Lee bersetuju harus terdapat kemajuan ketara mengenai pembangunan ikonik.

'Pertemuan hari ini mengenal pasti rangka kerja bagi pembangunan ikonik itu, (seluas) 500 ekar, konsep sebuah pembangunan bandar kesejahteraan. Kedua-dua pihak, Khazanah dan Temasek, telah dikenal pasti. Diharap apabila kita bertemu lagi tahun hadapan, sudah ada sesuatu di wilayah pembangunan Iskandar itu,' kata Datuk Seri Najib.

Kededua pihak menyokong konsep 'tinggal bekerja beriadah' bandar kesejahteraan itu yang disaran Jawatankuasa Bersama antara Kementerian bagi Iskandar Malaysia (JMC), yang dipengerusikan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, dan Menteri Pembangunan Negara, Encik Mah Bow Tan.

Projek itu melibatkan sebuah pembangunan yang direka untuk menjadi bukan saja sebuah bandar yang mempunyai ciri-ciri kebudayaan dan bertenaga bahkan sekitaran sosial yang harmoni dan mesra alam.

Salah satu ciri unik projek itu ialah penerapan aktiviti kesejahteraan dalam bandar tersebut, di samping gabungan perubatan tradisional, moden dan alternatif.

Menyentuh tentang perjanjian air pula, Encik Lee memberitahu Datuk Seri Najib Singapura akan menyerahkan semula loji air di Johor kepada Malaysia sejurus selepas tempoh Perjanjian Air 1961 tamat pada 31 Ogos tahun depan.

'Kami juga berbincang tentang soal air, dan secara khusus Perjanjian Air 1961, yang akan tamat tahun depan.

'Terdapat sebuah loji air di Skudai di Johor yang digunakan Singapura untuk mengambil air dari Sungai Skudai. Singapura akan menyerahkan loji itu kepada Malaysia dalam keadaan baik secara percuma apabila perjanjian tersebut tamat,' kata Encik Lee.

~Cyberita

Related Posts with Thumbnails