Rabu, 26 Mei 2010

Isteriku, kekasihku sama-sama hamil



PUTRAJAYA: Seorang lelaki ‘mata keranjang’ yang isterinya bakal melahirkan anak pada bila-bila masa ditahan sepasukan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) kerana bersekedudukan dengan teman wanitanya yang hamil di Precint 9, di sini, kelmarin.

Teman wanita terbabit baru menamatkan pengajian di sebuah pusat pengajian tinggi awam (IPTA) dan bakal menerima ijazah dalam tempoh terdekat ini. Tembelang kakitangan awam lingkungan 30-an terbabit dipercayai bersekedudukan dengan ‘isteri luar nikah’ berusia awal 20-an itu terbongkar apabila sepasukan penguat kuasa Jawi, menyerbu kediaman lelaki terbabit, selepas menerima aduan daripada penduduk yang curiga dengan kehadiran wanita mengandung di rumah terbabit.

Siasatan mendapati, lelaki sudah berumah tangga itu menghantar isterinya yang juga kakitangan kerajaan ke kampung kerana wanita berkenaan akan melahirkan anak pada bila-bila masa.

Kesempatan itu digunakan lelaki terbabit membawa kekasih gelap ke rumah dan menjalani kehidupan seperti suami isteri yang sah.

Sumber berkata, maklumat diperoleh mendapati lelaki terbabit sudah berumahtangga dan mempunyai seorang isteri dan anak. “Bagaimanapun, isteri lelaki itu yang sarat mengandung dan dihantar suaminya pulang ke kampung untuk bersalin di sana.

“Kami percaya kesempatan itu membuka ruang lelaki terbabit membawa kekasih gelap yang juga sedang mengandung hasil persetubuhan haram mereka untuk tinggal di rumah berkenaan,” katanya, semalam.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat itu, penguat kuasa Jawi menyerbu rumah itu dan menahan pasangan terbabit yang mengaku bukan suami isteri.

Menurutnya, lelaki terbabit mengaku pasangannya sudah mengandung tujuh bulan, begitu juga isterinya yang bakal melahirkan anak bila-bila masa di kampung.

“Memang tidak ada individu lain di rumah itu dan pasangan terbabit seolah-olah hidup macam pasangan suami isteri.

“Lelaki terbabit memberi alasan dia kini dalam proses penceraian dengan isterinya walaupun pada waktu sama memiliki kekasih yang sudah mengandung.

“Malah, lelaki terbabit mendakwa hubungan dengan kekasihnya itu mendapat tentangan keluarga wanita berkenaan,” katanya.

Sumber itu berkata, siasatan juga mendapati, gadis terbabit turut bertugas di sebuah jabatan kerajaan bakal menerima ijazah dalam tempoh terdekat.

Menurutnya, beliau tidak menolak kemungkinan lelaki terbabit bersekedudukan untuk tempoh agak lama sehingga menyebabkan kekasihnya mengandung.
Related Posts with Thumbnails