Isnin, 24 Mei 2010

Majlis Peguam Bantah SPRM Siasat Saksi Tanpa Batas Waktu

Majlis Peguam Malaysia membidas keputusan Mahkamah Persekutuan memberikan kuasa kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk menyiasat saksi di luar waktu pejabat.

Presiden Ragunath Kesavan berkata keputusan Mahkamah Persekutuan ini akan menghakis hak asasi para saksi kerana SPRM diberi ruang mutlak untuk menekan saksi semasa soal-siasat.

Majlis Peguam berpendapat agensi penguatkuasa tidak boleh diberi kuasa untuk menyoal siasat saksi mahupun suspek tanpa batas kerana ia cenderung untuk disalahgunakan.

Ragunath berkata kuasa siasatan harus dibatasi kedaulatan undang-undang dan tidak mengugat hak asasi mana-mana saksi atau suspek.

"Saksi yang membantu agensi penguatkuasaan undang-undang perlu diberi perlindungan dan hak sepertimana yang diberikan pada individu tertuduh, yang ditetapkan Peraturan 20 dari Peraturan Lokap 1953," tegas Ragunath.

"Saksi akan tergerak untuk membantu siasatan (jika hak mereka dijamin) kerana mereka tidak mempunyai sebab untuk takut kepada proses soal-siasat atau bimbang ditahan untuk tempoh waktu yang melampau," tambah beliau.

Majlis Peguam mengalu-alukan ketetapan baru SPRM yang menetapkan pegawai penyiasat perlu menjustifikasikan alasan untuk menahan dan menyoal-siasat saksi selepas waktu pejabat.

"Kita mengulangi pendirian bahawa saksi boleh disiasat di luar waktu pejabat hanya dengan persetujuan saksi terbabit, selain menghadiri sesi tersebut ditemani peguam. Keputusan Mahkamah bagaimanapun memberi kuasa kepada SPRM untuk memaksa saksi disiasat untuk tempoh siasatan yang panjang," katanya.

Ragunath menyeru kerajaan untuk mengambil inisiatif melindungi hak saksi, dan memupuk ketelusan dan ketanggungjawaban dalam siasatan SPRM.
Related Posts with Thumbnails