Selasa, 25 Mei 2010

Penyeludup ganja tewas di laut



ZULKIFILI (tiga dari kiri) menunjukkan sebahagian daripada 240 kilogram bungkusan ganja yang dirampas daripada dua lelaki di Kuala Perlis semalam.


KUALA PERLIS - Tindakan nekad dua penjenayah yang terjun ke laut bersama 240 ketulan ganja mampat bernilai RM600,000 mengundang padah apabila salah seorang daripada mereka dikhuatiri lemas manakala rakannya dicekup di perairan 6.9 batu nautika dari sini kelmarin. Kesemua dadah itu seberat 240 kilogram.

Kejadian pukul 11.15 malam itu berlaku apabila kedua-dua suspek menjadi cemas selepas bot fiber berkapasiti 60 kuasa kuda yang mereka naiki dikejar bot berkuasa tinggi Agensi Penguat Kuasa Maritim Malaysia (Maritim).

Difahamkan, selepas dikejar selama lima minit sebaik memasuki perairan Kuala Perlis dari negara jiran, kedua-dua suspek bertindak terjun ke laut bersama-sama ganja berkenaan.

Ganja itu dibalut dengan plastik sebelum dibungkus di dalam lapan guni plastik yang mana setiap guni mengandungi 30 ketulan ganja.

Salah seorang daripada mereka dapat diselamatkan apabila dia hampir lemas selepas kehabisan tenaga untuk mengapungkan diri manakala rakannya masih belum ditemui sehingga semalam.

Ketua Penguat Kuasa Maritim Wilayah Utara, Laksamana Pertama Maritim, Zulkifili Abu Bakar berkata, suspek yang diselamatkan itu merupakan lelaki tempatan berusia 34 tahun.




"Sebaik dapat menyelamatkan suspek, kita kemudian telah melakukan pemeriksaan pada bot itu dan menjumpai dua guni mengandungi 60 ketulan mampat ganja yang tidak sempat dibuang kira-kira tujuh kilometer dari dataran Kuala Perlis.

"Bagaimanapun, ketika melakukan operasi untuk mencari rakannya pukul 9.15 pagi tadi (semalam) kita menjumpai enam lagi guni mengandungi 180 ketulan mampat ganja yang dipercayai telah dibuang oleh suspek," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.


~Kosmo

Related Posts with Thumbnails