Selasa, 25 Mei 2010

Benarkah? Selangor luluskan 10 lesen judi untuk I City?

Iskandar Abdul Samad
Ketika di dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke rumah, saya telah mendapat panggilan telefon dari Setiausaha PAS Selangor, Sdra Khairuddin Othman, memberitahu bahawa seorang ahli Parlimen mendakwa Mesyuarat Exco telah meluluskan 10 lesen judi untuk I City dekat Shah Alam. YB itu mempersoalkan peranan Exco-Exco PAS. Kenapa tidak membangkang?

Di sini saya ingin menjelaskan Mesyuarat Exco tidak pernah meluluskan lesen-lesen judi untuk I City. Untuk sebulan lepas, Exco ada membincang tentang judi tetapi bukan untuk meluluskan lesen-lesen judi. Lesen judi adalah kuasa kerajaan Persekutuan.

Saya pun hairan macam mana ada yang membuat pelbagai andaian walhal minit-minit adalah rahsia. Ianya dimusnahkan selepas mesyuarat. Sebelum ini ada seorang ahli Parlimen mendakwa bahawa Exco PAS Selangor Dato Hasan Ali tidak pernah bercakap di dalam mesyuarat. YB itu bercakap seolah-olah dia hadir di dalam mesyuarat. Begitulah manusia!

Berbalik kepada judi, saya ada bangkitkan tentang kedai nombor yang dilanggani umat Islam. Ini selepas PAS Pandan telah membuat Ops Kasih di luar kedai nombor Angsana Hilir.

Menteri Besar pula telah mencadangkan agar lesen premis tidak diberi oleh PBT kepada kedai-kedai di kawasan majoriti Islam. Menteri Besar juga mencadangkan agar tidak ada lagi lesen premis baru untuk kedai nombor atau kedai ekor.

Tidak ada agenda untuk meluluskan lesen judi tambahan. Cadangan melanjutkan operasi pusat hiburan hingga jam 3 pagi pun ditentang oleh Exco-Exco PAS ini pula 10 lesen judi baru di Shah Alam atau dengan lebih tepat lagi I City.

Tetapi saya mengakui payah bagi menyahut cabaran UMNO atau Perkasa. Apa tidaknya lesen judi memang dari Persekutuan tetapi lesen premis dari PBT. Kalau PBT tidak memberinya maka tidak ada kedai nombor atau kedai ekor. Kalau semua ahli-ahli Majlis sepakat untuk tidak membenarkan lesen premis maka tidak ada kedai nombor atau kedai ekor.

Ketika kita menentang judi bolasepak, kita ditempelak oleh UMNO yang berkata, 'Bila nak tutup kedai ekor di Selangor'. Memang payah untuk menjawab. Tapi hidup ini bukan mudah.

Inilah juga realiti demokrasi. Itu sebab ada yang berkata demokrasi tidak syar'ie. Tapi kita tidak beriman dengan demokrasi. Ianya sebagai satu jalan untuk mendapatkan kuasa, walaupun sedikit kuasa Telah ada banyak keuntungan kepada umat Islam dan perkembangan Islam di Selangor. Adakah ahli-ahli mahu kita mengangkat kaki dan menjadi penonton sahaja? Adakah saya bercakap seperti UMNO? Menghalalkan cara? Terpulang kepada anda untuk menilainya.

Tapi PAS tetap menentang arak dan judi. Exco, ADUN dan ahli Majlis bercakap dengan lantang tentangnya. Kita bukan seperti UMNO yang membisu tentang perkara-perkara itu. Atau menghalalkannya.

Ingat kes rampasan arak di 7-11? Siapa yang bersuara kalau tidak PAS. Atau kuasa diberi kepada pegawai-pegawai Masjid untuk menangkap orang Islam meminum arak di khalayak ramai. Bukankah Exco PAS mengumumkannya? Tetapi ada pula orang PAS termasuk YB yang tidak setuju.

Setiap parti ada matlamat masing-masing. DAP mahu pilihanraya kerajaan tempatan walaupun ia tidak pernah ada dalam manifesto PAS. Akhirnya cadangan itu diluluskan oleh sidang DUN Selangor. PAS pun ada matlamat.

Pernah saya tulis sebelum ini, saya kagum dengan politik baru di Britain. Walaupun saya tinggal hampir 10 tahun di sana dan membenci Konservatif seperti membenci UMNO tetapi kerajaan campuran Konservatif dan Liberal Demokrat patut membuka mata kita. Ia persefahaman dan pakatan yang penuh tolak ansur.

Contohnya ia memberi kebenaran kepada ahli-ahli Parlimen Liberal Demokrat untuk tidak mengundi menyokong kerajaan dalam perkara-perkara yang bertentangan dengan manifesto mereka. Walaupun ketua Liberal Demokrat, Nick Clegg, adalah Timbalan Perdana Menteri namun mereka boleh tidak menyokong kerajaan. Dua perkara tersebut adalah tenaga nuklear dan yuran IPT.

Ada banyak lagi yang membuka mata kita. Begitulah kematangan politik di sana.


Iskandar Abdul Samad
ADUN Chempaka.
Related Posts with Thumbnails