Isnin, 24 Mei 2010

Pakatan bincang pelan tawan Sabah, Sarawak bulan depan

Oleh Shazwan Mustafa Kamal

KUALA LUMPUR, 24 Mei — Kepimpinan Pakatan Rakyat (PR) akan mengadakan pertemuan mereka bulan depan untuk membincangkan strategi untuk menawan Sabah dan Sarawak yang selama ini dianggap sebagai ‘simpanan tetap’ Barisan Nasional (BN), kata Penasihat DAP Lim Kit Siang.

Lim berkata, keputusan pilihan raya kecil kerusi Parlimen Sibu baru-baru ini dengan sendiir menunjukkan kedua-dua negeri itu tidak boleh lagi dianggap sebagai kubu kuat BN.

Kata beliau, satu pengertian penting keputusan pilihan raya kecil Sibu ialah BN tidak boleh memandang mudah kedudukannya di Sabah dan Sarawak.

Dalam kenyataan dikeluarkan, Ahli Parlimen Ipoh Timur itu menambah, kemenangan tempoh hari telah menyediakan tapak persaingan yang sama rata bagi BN dan PR untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Katanya, tsunami politik Mac 2008 merupakan pemangkin kepada usaha memecahkan penguasaan kuasa politik BN sejak negara mencapai kemerdekaan.

“Keajaiban 516, di mana Pakatan Rakyat Sarawak buat pertama kali meletakkan calon PR di Sarawak dan memenangi satu kerusi yang Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan sebagai kubu kuat, adalah mesej jelas bahawa kemungkinan tsunami politik 308 akan muncul kembali dengan gelombang yang besar di seluruh negara pada pilihan raya umum ke-13,” kata Lim lagi.

Pemimpin veteran ini menambah, meskipun dinafikan berkali-kali pemimpin-pemimpin BN di peringkat nasional dan juga di Sabah dan Sarawak menyedari akan implikasi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Sibu.

PR terdiri daripada PAS, DAP dan PKR, yang ditubuhkan selepas pilihan raya umum 8 Mac 2008.

Kerusi Sibu dimenangi oleh wakil DAP dengan perbezaan 398 undi.
Related Posts with Thumbnails