Barisan Nasional Perak hari ini bakal menerima tamparan hebat apabila terdapat tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mereka akan mengambil tindakan mengumumkan untuk keluar parti bagi menyertai Pakatan Rakyat - KEADILAN kerana tidak berpuashati dengan pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.
Pada satu sidang media yang diadakan di sebuah hotel, Ketua Penerangan KEADILAN, Zulkifli Ibrahim menjelaskan beberapa Adun telah berjumpa beliau menyatakan tidak puas hati dengan kepimpinan Zambry.
"Barisan Nasional dan Umno Perak sekarang sedang mengalami krisis dalaman yang agak parah, terdapat beberapa Adun mereka telah berjumpa dengan kita serta meluahkan rasa tidak puas hati mereka terhadap kepimpinan Zambry yang dilihat berat sebelah.
"Mereka menjelaskan polisi kerajaan BN sudah semakin tidak stabil dan dilihat sudah jauh dari agenda perjuangan sebelum ini. Sikap Zambry yang memberi keistimewaan kepada Adun bebas melebihi mereka yang berada lebih lama di dalam Umno.
"Layanan istimewa yang diberikan oleh Zamry itu menyebabkan mereka terasa tersisih, ini bukan sahaja berlaku kepada Adun malah kepada Ketua-ketua bahagian," jelasnya.
Beliau juga memberitahu bukan sahaja sikap tidak puashati malah Gerakan Anti Zambry (GAZ) juga sedang bergerak aktif dan mendapat sokongan dari setiap bahagian.
"Saya juga dimaklumkan oleh mereka yang berada di dalam Umno bahawa satu gerakkan GAZ juga sudah bergerak secara aktif sejak sebulan yang lalu, pergerakkan ini mendapat sokongan dari setiap bahagian dalam menyatakan kecewa dengan Zambry.
"Pergerakkan tersebut dilakukan oleh Pemuda Umno sendiri dan melalui pertemuan dengan kepimpinan KEADILAN Perak mereka hanya menunggu isyarat yang sesuai untuk turut bersama dengan KEADILAN.
"Apa yang ingin saya jelaskan, mereka meminta nama-nama mereka dirahsiakan dahulu kerana tidak mahu perkara yang tidak dikehendaki berlaku keatas mereka jika pemimpin tertinggi BN mengetahui hasrat mereka untuk keluar dari BN.
"Pengumuman penting ini akan dilakukan oleh Kepimpinan Negeri bila tiba masa yang sesuai nanti. Kita tidak mahu kejadian yang lama berulang kembali," sambungnya lagi.
Zulkifli memberitahu rakyat dan kepimpinan Umno melihat layanan yang dilakukan oleh BN Negeri terhadap Pakatan, mereka kecewa dengan amalan rasuah yang dilakukan oleh peringkat tertinggi dalam memancing Adun dari Pakatan Rakyat.
"Umno Perak dan seluruh rakyat sudah menilai kerja kotor pimpinan tertinggi BN dengan menawarkan sejumlah wang yang besar kepada Adun Pakatan dan mereka kecewa amalah rasuah bertambah teruk di bawah pemerintahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
"Mereka menyifatkan Umno menggunakan jalan yang salah dalam memastikan kedudukan terjamin di Perak sehingga menghalalkan yang haram seperti mana kelulusan lesen judi," katanya lagi.
Zulkifli juga menambah kebanyakan Adun BN yang bertemu dengannya menjelaskan akan berlaku kemerosotan kerusi BN pada pilihan raya umum yang akan datang, selain itu juga terdapat orang asal yang marah dengan kerajaan negeri kerana tidak mengambil tindakan segera tentang soal tanah mereka.
Beliau juga tidak menolak akan berlaku usaha yang dilakukan oleh BN dalam menghalang usaha ketiga-tiga Adun tersebut untuk menyertai KEADILAN. Selain itu beliau tidak pasti jika perkara tersebut berlaku akan menyebabkan pembubaran DUN kerana pembentukkan kerajaan sudah
memasuki tiga tahun.
Turut hadir bersama pada sidang media tersebut ialah Ketua Biro Strategi Negeri Perak, Md Nasib Rahim dan Ketua Biro Orang Asal Negeri Perak, Arsian Napiteopoeloe.