WAN NORDIN WAN YAACOB
(analisis)
Tidak seperti sebelum-sebelumnya, Muktamar Dewan Pemuda PAS ke-51 di Kota Bharu pada 10 Jun lalu 'kurang sengat' apabila hanya menyaksikan ucapan-ucapan sekitar pujian kepada Ketua Pemuda yang membentangkan Ucaptamanya sebelum itu.
Malah laungan takbir jarang sekali bergema walaupun kehadiran kali ini menyaksikan pertambahan bilangan perwakilan berbanding tahun tahun sebelumnya berikutan perubahan perlembagaan yang telah dilakukan.
Meskipun disebut-sebut muktamar Pra-Pilihan Raya Umum ke-13, suara-suara 'nyaring' hanya sesekali sahaja didengari itupun hanya membabitkan perwakilan Kelantan yang membungkam isu celaan bloggers terhadap kepimpinan PAS.
Pengumuman Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi untuk mengwujudkan Pusat Dialog dan Peradaban dalam mendepani isu-isu sokongan bukan Islam 'tidak' dibincangkan oleh perwakilan.
Sebaliknya isu yang boleh dijolok menjadi isu nasional ini hanya diratap sepi oleh perwakilan yang lebih banyak menyentuh soal pentarbiyahan yang 'kurang berjaya' setakat ini.
Lontaran idea untuk mendepankan saf kepimpinan Pemuda PAS bersiap untuk pilihan raya hanya tertumpu kepada cadangan perwakilan Selangor untuk mendapatkan sokongan pengundi muda.
Namun, cadangan bernas Ketua Pemuda untuk mewujudkan Gerakan mendaftar Pemilih dan Ahli Baru (gempa) langsung tidak dipandang perwakilan, sedangkan mengikut perkiraan dijangkakan muktamar ini adalah muktamar terakhir sebelum PRU-13.
Sementara pujian-pujian yang dilontarkan kepada Ketua Pemuda sekadar mahu mengisi ruang dalam perbahasan ucaptama sahaja.
Laungan takbir yang diterjemahkan kurang menepati konteks yang dibincangkan termasuk apabila menyebut hutang Pemuda PAS Kawasan, perwakilan tiba-tiba melaungkan takbir.
Namun secara keseluruhannya isu-isu yang diutarakan hanya sekadar menyediakan pembahas dan bukannya menyediakan fakta untuk berbahas dan menjelmakan idea yang bernas.
Beberapa pemerhati menamsilkan perbahasan yang kurang menyengat malah topik yang dibentang oleh Ketua Pemuda dalam soal ekonomi, menyelamatkan Malaysia, isu rasuah dan salahgunakuasa tidakpun dikocak baik oleh perwakilan yang berbahas.
Kebanyakan pembahas hanya berputar dalam isu dalaman yang tak berkesudahan, sementara cadangan untuk memastikan masalah dalaman tidak diberi perhatian.
Perwakilan juga umpama 'menggangguk' sahaja seruan kepada Tema Ucaptama 'Memurnikan Perjuangan" tetapi tidak memugar dan mengupas perbahasan berkaitan tema "Memaknakan Kemenangan".
Jika diguna alasan bahawa Muktamar kali ini sunyi kerana tiada pemilihan, ia satu kesilapan kerana seharusnya peluang yang lebih besar ini digunakan untuk mencernakan idea yang lebih tepat untuk memajukan pemuda sebagai barisan hadapan parti.
Besar harapan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat terhadap golongan muda untuk melestarikan perjuangan, mempertahan kemenangan dan sepakat menuju Putrajaya, namun akhirnya seolah-olah dipandang sepi perwakilan Pemuda PAS.
Mungkin apabila gendang sebenar PRU-13 dipalu dengan perdana Menteri mmengumumkan pembubaran Parlimen, kala itu Pemuda akan bingkas bangunkan untuk bertindak, mungkin sudah terlambat!.