DAP Perak bakal mendapat RM10 juta setelah mengambil tindakan undang-undang terhadap dua wakil rakyatnya dari Perak - Keshvinder Singh dan Datuk Hee Yit Foong — kerana melanggar kontrak kesetiaan yang mereka tandatangan selepas pilihan raya umum 2008. Di Perak, wakil-wakil rakyat yang bertindak keluar dikehendaki menandatangani perjanjian setia dengan bersetuju akan mengosongkan kerusi dan membayar denda RM5 juta.
Keshvinder keluar DAP semalam manakala Hee awal tahun lalu.
Pengerusi DAP Perak Datuk Ngeh Koo Ham menegaskan perjanjian yang mereka tandatangan memerlukan wakil-wakil rakyat yang hendak keluar parti mengosongkan kerusi mereka dan bayar RM5 juta sebagai denda.
“DAP Malaysia akan memfailkan saman. Pada prinsipnya, kepimpinan tertinggi sudah bersetuju dengan ini, saya sudah berbincang dengan beberapa pemimpin kanan termasuk Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Karpal Singh dan mereka bersetuju.
“Bagaimanapun sebagai menghormati keseluruhan kepimpinan parti, kami hanya akan memfailkan saman selepas jawatankuasa eksekutif pusat parti mengadakan mesyuarat 28 Jun,” kata beliau pada sidang media di lobi bangunan hari ini.
Kepimpinan DAP Negeri Sembilan dan Perak telah meminta wakil rakyat yang dipilih menandatangai perjanjian kesetiaan selepas pilihan raya umum 2008 bagi mengelakkan tindakan lompat parti.