Selasa, 15 Jun 2010

Najib Pertahan Kedudukan 'Wanita Pertama'nya

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini menjelaskan bahawa ungkapan 'wanita pertama' yang digunakan bagi merujuk kepada isteri beliau, Datik Seri Rosmah Mansor tidak bererti bahawa kedudukannya lebih tinggi daripada Seri Paduka Pertmaisuri Agong.

Bagaimanapun, jawapan bertulisnya kepada soalan yang ditimbulkan oleh ahli parlimen Batu, Tian Chua, - Najib gagal menjelaskan sama ada gelaran berkenaan wajar digunakan oleh Rosmah.

Chua dalam soalannya bertanya sama ada Perdana Menteri menyedari bahawa dengan merujuk isteri beliau sebagai 'wanita pertama' tindakan itu telah menyalahi Artikel 32, Perlembagaan Persekutuan.

Najib dalam jawapan bertulisnya berkata: “Berdasarkan adat, budaya dan amalan protokol di Malaysia gelaran 'wanita pertama' tidaklah menjadi amalan.”


“Ramai yang berpendapat dalam konteks negara Malaysia, 'wanita pertama' adalah merujuk kepada Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong. Secara lateralnya pendapat tersebut adalah tidak tepat.

“Ini adalah kerana kedudukan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong adalah lebih tinggi daripada 'wanita pertama',” kata Najib.

Isu 'wanita pertama' menarik perhatian apabila iklan berwarna dua halaman penuh memaparkan Rosmah disiarkan di New York Times pada April lalu.

Ia adalah iklan ucapan tahniah kepada 'Rosmah Mansor, Wanita pertama Malaysia' kerana menerima anugerah Keamanan dan Harmoni Antarabangsa 2010.

Menurut Bernama, kos iklan berkenaan bernilai dalam lingkungan RM580,000 hingga RM740,000, dan dibiayai oleh keluarga dan sahabat Rosmah di Amereika Syarikat dan juga di Malaysia.

Apabila kali pertama disoal oleh portal berita Nutgraph, New York Times mengakui bayaran dibuat oleh kerajaan Malaysia tetapi kemudiannya menjelaskan ia satu kesilapan.

“Kerajaan Malaysia dan mana-mana agensinya tidak terlibat sama sekali dengan iklan tersebut, sama ada dari segi perancangan, penempahan mahupun pembayaran,” kata Najib.

Menurut jawapan bertulisnya itu lagi, beliau difahamkan bahawa iklan berkenaan ditempah oleh sebuah NGO Amerika bersempana dengan anugerah yang disampaikan kepada isteri beliau.

“Dengan itu, saya kira soal kos kepada kerajaan tidak timbul dan perkara ini tidak lagi menjadi persoalan,” kata Najib.

~ Malaysiakini
Related Posts with Thumbnails