Ahad, 13 Jun 2010

2 juta Melayu di luar bandar mampu ubah politik negara

Wartawan Kita

KOTA BHARU, 13 Jun:
Masyarakat Melayu yang rata-rata tinggal di luar bandar berjumlah dua juta orang mampu menggerakkan perubahan dalam politik negara sekiranya PAS berterusan mendekati mereka.

Pengerusi Lajnah Tanah dan Wilayah PAS Pusat, Mazlan Aliman berkata, situasi di kalangan orang Melayu sekarang boleh berubah berbanding dahulu.

"Dahulu lain kita sedar payah untuk menyebabkan orang Melayu berubah. Saya yakin melalui kerja keras perubahan akan berlaku dengan syarat semua pihak berganding bahu berlaku.

"Saya yakin perubahan besar akan berlaku pada pilihan raya umum akan datang dengan kesedaran politik orang Melayu di luar bandar," katanya ketika menggulung perbahasan ucapan presiden pada muktamar hari ini.

Beliau juga berkata, Himpunan Anak Peneroka Kebangsaan (ANAK) sekarang mempunyai 47 cawangan di seluruh kawasan Felda di negara ini.

Katanya, ANAK mempunyai seramai 3,500 ahli yang mendaftar, di mana 50 peratus bukan di kalangan ahli PAS. Dan selepas muktamar ini, enam lagi ANAK akan ditubuhkan.

ANAK mensasarkan generasi kedua yang berjumlah keseluruhan 800,000 orang di kawasan Felda di seluruh negara.

Selain itu, kata Mazlan satu lagi pertubuhan yang dikenali sebagai Kesepakatan Antara Peneroka akan diwujudkan di kalangan masyarakat peneroka, di mana boleh mengumpul seramai 112,000 orang.

Menurutnya masyarakat peneroka sedia untuk menyokong pembaharuan sekiranya mendapat akses perkembangan semasa yang berlaku.

Beliau juga berkata, ANAK bermatlamat memperjuangkan masalah hak milik, tanam semula dan gangguan pengurusan Felda.

Kata beliau masalah yang berlaku itu hendaklah dijelaskan dengan pendekatan berhemah dan bukan menyerang Felda.

Katanya juga, ANAK turut memperjuangkan isu tanah di Sabah, di mana kebanyakan didakwa dikuasai pemimpin negeri itui.

"Berdasarkan kepada kunjungan kita pada Mac lalu di Sandakan dan Keningau didapati tanah-tanah penduduk dirampas dan diberi kepada syarakat besar untuk ditanam kelapa sawit.

"Kita pergi juga ke Kampung Landau di Merontai melihat dari dekat apa yang berlaku. Oleh itu kita membuat persiapan rapi untuk menghimpunkan peneroka yang mempunyai tanah tetapi tiada hak milik.

"Malah tanaman ditolak dan kediaman mereka akan dibakar. Pada Oktober nanti kita akan anjurkan perhimpunan raksasa di Sabah dengan membabitkan Presiden PAS, ketua Umum PKR dan Lim Kiat siang," katanya.

Related Posts with Thumbnails