KUALA LUMPUR 17 Jun - Parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) berbelah bagi dalam menyatakan tahap kesediaan jentera masing-masing menghadapi kebarangkalian Pilihan Raya Umum Ke-13 diadakan lebih awal.
Ini berikutan kenyataan MCA dan MIC yang bersedia untuk itu tetapi disambut sebaliknya oleh PPP sementara parti Gerakan masih menantikan keputusan muktamad Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai perkara tersebut.
Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, MCA dan mana-mana parti politik sekalipun sebenarnya perlu sentiasa dalam keadaan bersedia menghadapi pilihan raya sama ada pilihan raya umum atau pilihan raya kecil.
"Keadaan siap sedia ini terbukti apabila semua parti komponen BN berjaya melalui 10 pilihan raya kecil selepas dua tahun PRU 12.
"Struktur dan jentera parti komponen juga sudah bersedia dan akan meneruskan operasi seperti biasa (sehingga arahan dikeluarkan).
"Dari segi calon pula, MCA sentiasa memantau bakal-bakal calon yang sesuai untuk dikemukakan nama mereka kepada Perdana Menteri mengikut sikap, potensi dan juga persepsi rakyat terhadap calon tersebut," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas tahap kesediaan parti-parti komponen BN jika Najib memilih untuk mengadakan PRU13 lebih awal.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kelmarin dilaporkan berkata, kerajaan boleh menimbang kemungkinan mengadakan pilihan raya umum dalam masa terdekat berdasarkan tahap populariti Najib sekarang.
Bagaimanapun, Perdana Menteri semalam menegaskan tarikh pilihan raya tidak sesuai dibincangkan sekarang kerana tumpuan kerajaan adalah bekerja kuat untuk rakyat dan memperkukuhkan parti terlebih dahulu.
Tinjauan Merdeka Centre mendapati 72 peratus rakyat Malaysia berpuas hati dengan perkhidmatan Najib ketika ini.
Dalam pada itu, Cho Ha berkata, kebarangkalian pilihan raya umum diadakan dalam tempoh terdekat adalah rendah.
"Mungkin Perdana Menteri mahu parti komponen bekerja lebih kuat dan lebih fokus jika berlakunya pilihan raya, bukannya kerana beliau mahu pilihan raya diadakan lebih awal," ujarnya.
Sementara itu, Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu memaklumkan parti tersebut juga bersedia untuk menghadapi kebarangkalian pilihan raya lebih awal pada bila-bila masa.
"MIC sudah bersedia menghadapi PRU 13 sama ada minggu ini, bulan ini ataupun bila-bila masa dalam tahun ini.
"Parti juga telah menyediakan senarai calon yang berkaliber untuk dikemukakan kepada Perdana Menteri jika pilihan raya diadakan lebih awal," jelasnya.
Bagaimanapun, Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk M. Kayveas menyatakan BN belum bersedia untuk menghadapi pilihan raya lebih awal kerana masih banyak perubahan yang perlu dilakukan.
"Saya merasakan BN perlu mengubah imej baru berbanding imej pada 2008 dan beberapa perubahan lain yang belum jelas kelihatan pada pandangan masyarakat umum.
"Namun, kita hanya menunggu arahan Perdana Menteri. Jika pilihan raya akan diadakan lebih awal dan PPP telah menyediakan nama calon yang boleh menang jika mereka dipilih kepimpinan tertinggi BN untuk bertanding," tegasnya.
Timbalan Presiden Gerakan, Datuk Chang Ko Youn ketika dihubungi pula menyatakan tidak sesuai untuk beliau memberi kenyataan buat masa ini memandangkan Perdana Menteri sendiri belum membuat keputusan untuk mengadakan pilihan raya lebih awal.