JOHOR BARU, 13 Jun — Umno Johor hari ini menolak sebarang pertaruhan dalam bidang sukan termasuk bola sepak, kata Pengerusi Badan Perhubungannya, Datuk Abdul Ghani Othman.
Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat anggota jawatankuasa badan perhubungan hari ini, Abdul Ghani berkata pendirian itu berdasarkan kepada reaksi diterima daripada seluruh masyarakat di negeri ini.
“Kita (Umno Johor) mendapat satu reaksi yang jelas daripada masyarakat di negeri ini untuk tidak menerima sebarang bentuk pertaruhan dalam sukan.
“Masyarakat melihat satu bentuk perjudian berlaku dan saya percaya pihak yang terlibat dalam perkara ini dapat mendengar suara rakyat tentang perkara itu,” katanya.
Abdul Ghani, yang juga Menteri Besar Johor, berkata beliau akan mengemukakan penolakan pertaruhan itu kepada peringkat tertinggi dalam masa terdekat ini.
Kerajaan sebelum ini bercadang mengeluarkan lesen pertaruhan bola sepak bagi mengelak berleluasanya aktiviti perjudian dan pertaruhan haram di negara ini.
Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussein berkata jika kerajaan tidak mengeluarkan lesen kepada pihak yang memohon, aktiviti perjudian dan pertaruhan haram tetap berlaku tanpa kawalan dan pemantauan pihak berkuasa.
Sementara itu, Abdul Ghani berkata Umno akan bekerjasama dengan persatuan dan badan bukan kerajaan dalam usaha mendekati masyarakat tempatan.
“Kita juga akan meneruskan penganjuran pelbagai kursus termasuk pengukuhan jati diri di kalangan anggota parti di peringkat cawangan sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum akan datang,” katanya.
Bernama